DUA SISI

Makanan pertama masuk ke perut kami sejurus tiba di Seoul adalah kebab Turki. Profesor Dr Lim Kim Hui yang sudah empat tahun menjadi Profesor Pengajian Melayu di Hankuk University of Foreign Studies muncul di rumah ‘bilik’ kami dengan senyum mesra.

Dia menawarkan diri untuk mengajar kami cara menaiki subway. Tempat pertama yang ditunjukkan adalah Itaewon dan masjid. Di situlah beliau membelikan kami kebab Turki sebagai tanda ‘selamat menjadi penghuni Kota Seoul.’

Setelah itu, Turki antara kalimah popular yang selalu muncul di bibir saya dan suami, gara-gara ‘kebab dan rotinya.’

Sisi Mulia Turki

Membaca fakta perkembangan Islam di Korea abad ke 20, kita akan mengagumi usaha negara Turki. Ketika meletusnya Perang Korea pada 1950 yang menyebabkan negara itu terpecah dua, Turki adalah salah-satu negara yang ditugaskan United Nation (UN) untuk menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Korea Selatan.

Rupanya, kemasukan tentera Turki yang beragama Islam ke Korea adalah ‘pintu awal’ kepesatan agama Tauhid di negara soju dan kimci ini. Meneladani hijrah Rasulullah SAW, kerajaan Turki membiayai penubuhan masjid pertama di Korea iaitu Seoul Central Mosque tatkala tenteranya berjumlah lebih 4500 orang di Korea. Bukan itu sahaja, tamat Perang Korea, sebahagian tenteranya memilih tinggal di sini demi misi dakwah.

Allahuakbar! Saya berasa kagum dengan bangsa Turki daripada aspek ini. Mereka tidak putus asa dan berhenti sekerat jalan. Setelah masjid dibina, mereka mengenalkan Islam kepada penduduk tempatan termasuklah mewujudkan ekonomi Islam. Hampir 66 tahun usaha dakwah Turki di Korea, kita dapat melihat organisasi-organisasi sosial dan ekonomi Islam Korea banyak ditaja Kerajaan Turki.

Bangsanya mengusahakan produk makanan halal di merata ceruk Korea. Orang-orang Korea juga mempelajari budaya dan Bahasa Turki terutama selepas penubuhan Jabatan Bahasa Turki di Hankuk University of Foreign Studies. Mempelajari tamadun Turki bermakna mempelajari juga tamadun Islam Bani Uthmaniyyah.

Sisi ‘Tidak Sihat’

“Cik, bolehkah kami menemubual anda berkaitan Islam di Korea?” tanya seorang lelaki Korea ketika saya selesai solat di bilik pelajar Antarabangsa. Saya mengangguk dan menyertai perbincangan si lelaki dan rakan-rakannya.

“Saya pensyarah di sini, bahagian politik Asia,” kata si lelaki memperkenalkan diri. Kami berinteraksi dalam Bahasa Inggeris.

Setelah saya menceritakan latar-belakang diri, mereka mula ‘menembak’ soalan ‘kencang’ kepada saya.

“Anda selalu menunaikan solat di Masjid Itaewon?” tanya mereka. Saya menjawab sekurangnya sekali atau dua kali sebulan, tetapi suami saya ke masjid setiap minggu.

“Anda pernah menyertai aktiviti di masjid yang berunsurkan ‘ekstrim’?” tanya mereka. Saya mulai geram dan mengawal emosi. Saya terangkan bahawa apa sahaja aktiviti di masjid adalah bersifat kasih-sayang dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Menyuruh para penganut Islam menyebarkan cintaNya kepada seluruh manusia, bukan membunuh dan mencederakan orang lain hatta orang bukan Islam.

“Cik, pernahkah anda diganggu lelaki Muslim ketika anda ke masjid? Kami mendapat tahu ada wanita Muslim yang cuba disentuh dan diusik para pemuda Muslim di Itaewon,” kata si pensyarah ini. Saya menggeleng kepala. Sejujurnya, saya tidak pernah mengalami situasi itu.

Kemudian, saya ditanyakan soalan-soalan yang majoritinya mahu dikaitkan dengan keganasan IS. Perbincangan petang itu saya akhiri dengan persoalan lain buat kumpulan ‘prihatin’ ini.

“Jihad dalam Islam itu luas. Bukan seperti yang anda fahami sebaik membacanya dari sumber yang dikaitkan dengan IS. Jihad utama dalam Islam adalah melawan hawa nafsu sendiri untuk menjadi manusia yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Menjadi orang yang terbaik dalam setiap lapangan terutama ilmu pengetahuan serta memberi manfaat pula kepada manusia lain. Manakala jihad perang itu dianjurkan setelah hak seorang Muslim itu dicabuli dan dirampas.

Anda lihat bagaimana umat Islam dijajah dan dizalimi di seluruh dunia terutama di Palestin? Mereka perlu mempertahankan nyawa dan tanah air mereka. Mereka perlu mengangkat senjata!” Mereka mengangguk; entah setuju atau tidak.

Tiba-tiba, terbit di mata saya beberapa sosok lelaki Turki yang saya jumpa di Itaewon. Gaya mereka tidak mencerminkan akhlak Islam. Mereka berpacaran bebas dengan wanita Korea, meninggalkan solat Jemaah di masjid, mengganggu wanita-wanita yang lalu di depan kedai mereka dengan ‘senyum dan mata menggoda.’ Malah, saya pernah melihat modennya seorang gadis Turki; lebih moden dari wanita Inggeris.

Sungguh ironi dengan sejarah  Islam yang dimulai bangsa mereka sendiri di Korea. Kerana dua sisi inilah: baik dan buruk menyebabkan orang bukan Islam khususnya orang Korea, menjadi keliru tentang Islam yang sebenar.

Ya Allah, ampunilah dosa kami semua. Berilah kami kekuatan untuk menjadi duta agamaMu di manapun kami berada.