PAHIT MULUT DAN KELAZATAN AKLIAH

Pahit mulut ada kaitan dengan deria rasa. Ia berkaitan pula dengan makanan atau minuman untuk memenuhi tuntutan jasmani. Ini penting, maka manusia tetap mencari makanan atau minuman yang lazat (lagi berzat) untuk memenuhi seleranya.

Maka Iman Al-Ghazali pernah mencatatkan tentang kelazatan yang perlu kepada manusia. Pertama, kelazatan badaniah dan keduanya kelazatan akliah. Kedua-dua ini penting dan sudah fitrah manusia. Manusia, haiwan dan tumbuhan perlukan makanan untuk kelangsungan hidup.

Cuma makanan perlu halal, bersih, selamat untuk dimakan  dan ada nilai gizi. Acap kali orang kehilangan deria rasa, hilang selera makan.  Ini dikatakan ‘pahit lidah’. Bersyukurlah atas makanan yang lazat dan bersabarlah kerana berada dalam keadaan pahit lidah.   

Al-Mutanabbi menukilkan puisi tentang hal ini. Maka Imam Al-Ghazali memetik puisi oleh Abu Tayyib Al-Mutanabbi :

Orang yang sakit

mulut merasa pahit

dengan sebab itu

air segar pun pahit.”

(Imam Al-Ghazali dalam ‘Timbangan Amal’ (Terjemahan oleh M. Ali Chasan Umar dan A. Chumaidi Umar daripada ‘Mizanul Amal’)

Nikmati kelazatan badaniah dengan makanan dan lain-lain bentuk keselesaan seperti juga kesihatan. Hargai masa sihat untuk menikmati rezeki dan nikmat Allah dengan makanan kegemaran dengan penuh rasa syukur.

Sebagai pelengkap manusia juga dikehendaki memberi perhatian kepada kelazatan akliah. Bagi Imam Al-Ghazali, kelazatan akliah adalah merasa kemanisan ilmu dan hikmah. Ini dapat difahami sebagai mendalami ilmu dan menikmati buah-buah ilmu serta pemikiran yang membina jiwa. Daripada ilmu yang bermanfaat dan amalan baik,  manusia mendapat hikmah yang banyak daripadanya.

Bukan senang untuk merasa nikmatnya mencari ilmu, apa lagi untuk menghargai hikmah (kebijaksanaan) yang diperoleh. Ilmu didapati melalui pelbagai cara dan kebaikannya datang pelbagai cara pula.

Makanan yang baik dan ilmu yang berguna menambah mutu hidup manusia. Kesihatan dan kebijaksanaan harus menjadi jasad dan jiwa ke arah menjadi umat yang taat beribadah dan berpegang kepada akidah yang benar.

Maka akhirnya, difahami betapa bukan makanan yang tidak lazat, tetapi lidah yang pahit sehingga hilang deria rasa. Akhirnya difahami dengan terbukanya pintu ilmu maka datanglah kebijaksanaan.

            Mafhum Firman Allah : “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya); Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalannya).” [Mafhum Surah Al-Zalzalah [99]:7 dan 9]

Wallahu a’lam.

[Darma Mohammad]

Leave a Reply