Merpati bertelur di atas pancang

Orang yang kuat, tidak akan kuat tanpa pertolongan Allah. Malah ada banyak perkara di dunia ini yang memang tidak mampu diatasi oleh orang yang kuat dari segi fizikal atau dengan kebendaan.

Orang yang lemah, akan kuat dengan pertolongan Allah. Banyak perkara di dunia ini yang mampu diatasi oleh orang yang lemah dari segi fizikal atau kebendaan.

Apa yang penting ialah pertolongan Allah. Allah memberi pertolongan kepada orang yang dipilihnya dan Allah Maha Tahu kepada siapa Dia hendak anugerahkan pertolongan itu.

Berfikir secara mudah, banyak membantu manusia memahami perkara yang dianggap susah. Cara begini acap kali menyingkap persoalan besar.  Baca dahulu puisi yang dituturkan oleh ulama dan pemikir Almarhum Tuk Kenali.

Puisi yang dituturkan oleh Tuk Kenali :

“Bila ada pertolongan Ilahi,

Merpati bertelur di atas pancang khemah,

Sebaliknya bila tidak ditolongi,

Keldai melepaskan kencing di muka harimau.”

(Petikan buku ‘Pusaka Tuk Kenali’ oleh Abdullah Al-Qari Hj Salleh)

Sesuatu yang luar biasa boleh berlaku dengan kehendak Allah. Pernah terjadi bayi yang terhumban keluar daripada kereta, tidak mengalami kecederaan apa-apa; pada hal penumpang lain mengalami kecederaan parah. Bukankah kerja anai-anai yang dianggap begitu kerdil boleh menyebabkan runtuhnya sebuah bangunan.

Perhatikan kisah hamba Allah yang berbadan kurus dan hidup secukup makan mampu melakukan taat kepada Allah seperti bersolat tahajud sepertiga malam, menginfakkan harta mengikut kemampuan dan menutup aurat dengan sempurna.  Ini satu isyarat yang mudah dan berlaku di alam nyata.

Ada di kalangan manusia yang bertubuh sasa, tangkas bergusti atau berdansa, harta melimpah ruah, tetapi tidak mampu melakukan seperti yang dilakukan oleh hamba Allah yang berbadan kurus lagi hidup serba kekurangan.

Sekali lagi cuba gunakan logik mudah untuk melihat kelemahan manusia.

Perhatikan betapa kekuatan manusia bukan segala-galanya di dunia ini. Kecanggihan apa pun tidak akan tewas oleh Kekuasaan dan Kebesaran Allah.  Allah menguji tetapi hanya kesabaran sahaja menjadi penawar.

Di Kelantan telah berlaku bah kuning. Ia menenggelamkan pokok, bangunan dan manusia yang tinggi.  Begitu juga tsunami atau gempa bumi, ia tidak mampu ditewaskan dengan bedil atau mortar atau ahli tinju.  Ini sudah menjadi logik orang bijak, betapa hamba Allah sehebat mana pun makhluk, tidak mampu mengatasi Maha Kuasa.

Inilah yang dikatakan berfikir secara mudah.  Puisi yang dituturkan oleh Tuk Kenali itu membawa maksud yang mendalam. Sehebat mana pun sang harimau (garang dan kuat) tanpa izin Allah kehebatannya akan lemah. Tidak ada daya upaya sang harimau walaupun dia berdepan dengan keldai yang selalu dianggap lemah dan bodoh.

Merpati boleh bertelur di atas pancang khemah, dengan Kehendak Allah. Laut Merah boleh terbelah dengan Kehendak-Nya.

Dengan iltizam, usaha, doa, tawakal dan pertolongan Allah hal-hal yang luar biasa boleh berlaku mengikut Kehendak-Nya.  Jangan secara melulu memperkecilkan orang-orang lemah kerana antara mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Jangan secara melulu kagumi orang kuat kerana antara mereka mempunyai kelemahan tersendiri. Sandarkan semua itu kepada ketentuan Allah.

Mafhum Firman Allah : “Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman. (Mafhum Surah Al-Jathiyah [45]:3)

Wallahu a’lam.

[Darma mohammad]

4 thoughts on “Merpati bertelur di atas pancang

  1. Benar seperti kt Dr Darma.. dpt membuat kami brfikir dn mnginsafi diri, yg adakala mudah lupa

Leave a Reply