Kehangatan Cinta

27 tahun.

Banyak ingatan kelam dan pudar ditelan masa. Namun rasa bahagia menjadi suri hidupnya tidak pernah berubah. Suka dan duka kehidupan menceriakan. Ia ibarat, “bila hari terlalu panas, biar hujan turun selebatnya menyejukkan.” Panas dan hujan bersifat kesalingan.

Saya terkenang saat indah detik pertemuan tatkala hati disunting. Teringat kekalutan tidak bersedia sewaktu Mak dan Ayahnya datang membawa cincin tanya di dalam kocek tanpa notis. Alahai …. orang lama, mereka tahu bila waktu paling tepat mengambil langkah pertama.

Setelah lama saat itu berlalu, kami masih berbual tentang kasih sayang, cinta dan kesetiaan. Kenangan silam muncul tanpa dipaksa. Saya terkenang saat-saat indah yang kami lalui bersama.

Banyak. Terlalu banyak untuk dicatatkan. Misalnya, rasa dicintai membuak bila dia melakukan perkara kecil seperti mengambil batu-bata dan disusun di dalam becak supaya kaki saya tidak terpijak air. Aduhai … hati siapa yang tidak cair bila beliau menjadikan jaket yang dipakainya sebagai payung ketika hujan turun secara tiba-tiba.

Alangkah manisnya.

Saya berbisik kepadanya, “pada saat seorang wanita menerima seorang lelaki menjadi suaminya maka tertutuplah hatinya pada yang lain. Rupa dan paras suami sentiasa kacak dan menawan. Itulah kebahagiaan. Tidak hairanlah jika wanita mudah merajuk bila rasa tidak dipedulikan. Namun saya bertuah kerana sentiasa diterima walaupun diri ini penuh dengan kekurangan.” Jawapan keluar dari mulutnya membuat saya seakan terbang di awangan.

After all these years, rasanya sudah tidak nampak di mana kurang atau lebihnya. I only see you. You are the life that I live in.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).

(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Mudahnya wanita mahu ke syurga. Selain Allah dan RasulNya, suami amat perlu ditaati. Wanita boleh memilih mahu masuk syurga melalui pintu mana yang dikehendaki. Bertuahnya isteri.

(Nota: Bagi wanita yang belum bertemu jodoh, ia tidaklah termasuk di kalangan yang rugi kerana soal jodoh adalah urusan Allah SWT)

Ketaatan berkait rapat dengan keikhlasan dalam memberi dan menerima. Jika ikhlas  melakukan apa jua pun atas rasa cinta, demi mencari reda Allah, bahagia pasti ujud biarpun ada rasa dan emosi yang terkorban.

Mengimbas kenangan sebagai remaja di universiti, saya sering tertanya kala melihat kawan-kawan sekolej yang menangis dan berduka akibat bercinta atau kecewa kerana cinta.

“Andai benar cinta itu indah, kenapa ramai perempuan menangis disebabkan lelaki? Bukankah indah itu dikaitkan dengan senyuman, ketawa ria dan air mata gembira? Jika asyik berendam air mata, menanggung kesedihan saban masa dan sentiasa dicengkam rasa kecewa, di manakah indahnya cinta?”

Seboleh mungkin saya mahukan kisah cinta yang penuh dengan keindahan, diwarnai dengan senyuman dan gelak ketawa. Ia bukan hanya perlu kelihatan bahagia. Ia perlu benar-benar  bahagia walau tiada siapa yang memandangnya.

Saya terfikir apakah sebenarnya resipi yang menjadikan hidup bercinta itu bahagia?

Bagi saya, suami adalah ketua dalam organisasi kecilnya yang dinamakan rumahtangga. Dia juga abang, kawan rapat, kekasih dan pakar rujuk. Buat anak-anak, dia pelindung dan pembuat keputusan.

Dia sentiasa berdiri di barisan  hadapan, saya di belakangnya diikuti dengan barisan anak-anak. Struktur ini tidak boleh diubah biar tinggi mana pun kami berdiri melebihi darinya.

Saya ketawa bila dia ketawa, dan menangis saat dia menangis. Bila dia terjatuh, tangan saya sentiasa ada untuk dia berpaut. Jika ada senjata datang ke arahnya, saya berlari laju menjadi benteng mempertahankannya.

Di matanya, senyuman saya perlu sentiasa ada kerana gundah gulana dan masam wajah saya menyiksa perasaannya. Ketenangannya akan hilang andai saya sentiasa ribut dan kalut. Suara dan kata-kata yang mendesak tanpa henti akan  menyesakkan hati dan fikirannya.

Tidak perlu diungkit dan diulang perihal tanggungjawab, tugas, peranan atau apa sahaja yang boleh menyalahkan satu pihak. Ia hanya akan mencacatkan lukisan indah yang sedang dilukis bersama! Terima dengan reda, ketepikan persoalan siapa mengapa dan bagaimana kerana hari ini dia alpa hari esok mungkin kita yang lupa. Sentiasa ingatkan diri akan had dan peraturan yang perlu dijadikan rukun kehidupan.

Bohong jika tidak ada awan mendung yang datang menggelapkan dunia atau kilat menyambar yang mengejutkan tidor yang lena. Anggap saja ia nyanyian nyamuk kecil yang pendek jangka hayatnya. Selepas seketika, gigitan nyamuk hilang tidak terasa.

Berterus terang lebih baik dari menjeruk rasa!

“Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”

Terjemahan Surah An-Nisaa’: 19

Bila jiwa tenang, fizikal sihat, senyuman akan sentiasa cantik di bibir, MasyaAllah. Hidup ini mudah dan indah jika kita melihatnya  begitu. Kebahagiaan di hati akan terpamer jelas di wajah.

Persoalannya, jika mudah isteri mahu menjadi penghuni syurga, kenapakah Nabi (selawat ke atasnya) ada mengatakan ramai ahli neraka adalah wanita?

Di sepanjang kehidupan, kita sentiasa mendengar keluhan, rintihan, tangisan, teriakan malah tulisan yang menidakkan kesyukuran atas pemberian suami. Segalanya tidak menepati kehendak, lalu kekecewaan demi kekecewaan dihimpun, dibaja dengan rasa kesal dan dendam. Cerita buruk suami dijaja, maruah suami dicampak melata, maruah sendiri entah di mana letaknya.

Ditambah dengan kelemahan sendiri yang sering berburuk sangka, hasad dengki, fitnah memfitnah, membuka aib manusia dan umpat keji. Maka, terbaliklah semua perkara yang membahagiakan suami. Tanpa sedar, sudah tertempah satu tempat untuk isteri di neraka.

Astaghfirullahilazim.

Jauhkan kami dari api nerakaMu.

16 thoughts on “Kehangatan Cinta

  1. Allah hu akbar…. Tersentuh dan rasa insaf di hati ini, sedih juga bila mengenangkan setiap liku perjalanan kehidupan yg di lalui yg adakala tak dpt menjadi seorg penyabar…terima ksh pn. Suria

  2. Sentiasa dikenang kebaikan yang diterima. Ia akan menutup segala keburukannya di mata kita. Katakan pada hati bahawa syurga itu akan jadi milik kita, makanya, sabarlah…

  3. Jiwa saya gementar membaca tulisan puan… Saya juga antara yang amat bertuah atas kurniaan Allah….syukur dan terima kasih Allah atas kasih sayang ini….semoga saya dan jugak puan puan sentiasa bersyukur di atas kehadiran seorang suami.

  4. Alhamdulillah Puan No.
    Sentiasa bersyukur dan terus menyintainya hanya kerana Allah. Syurga buat kita…

  5. Tahniah! direzkikan nikmat kehangatan cinta semasa di dunia lagi, semuga berkekalan bahgia hingga ke surga Nya yg kekal abadi.

Leave a Reply