Teguran

Menegur bukan senang.

Lalu ramai mengambil keputusan mudah dengan membiarkan sesuatu yang perlu ditegur berlalu begitu sahaja. Sungguh … bukan mudah untuk menegur hatta anak sendiri. Ramai yang takut mereka merajuk, menarik muka masam dan tidak mahu menegur.

Masakan menegur itu mudah. Lihat kisah nabi Nuh yang berdakwah hampir seumur hidupnya. Namun isteri dan anak-anak mati dalam keadaan kufur.

Ini kisah beberapa tahun yang lampau. Saya menegur seorang gadis remaja dengan meninggalkan sedikit nota melalui e-mel:

Salam sejahtera anakanda,

Semoga Allah merahmati hidup anakanda dan keluarga. Uncle juga mendoakan arwah Mama dirahmatiNya dan tergolong di kalangan orang-orang yang beriman.

Uncle mohon maaf sangat-sangat jika pandangan uncle ini mengecilkan hati anakanda tetapi kadangkala sedikit kesakitan itu boleh membantu kita.

Begini anakanda, mama anakanda dan uncle tidaklah rapat. Cuma beliau mengenali uncle dan mungkin salah seorang pembaca hasil tulisan uncle.

Uncle tahu anakanda merindui beliau. Namun jangan pula rasa rindu itu menyebabkan arwah mama menderita.

Ini pandangan uncle sahaja. Mungkin tidak sesuai untuk kita up-load gambar-gambar lama arwah mama tambah-tambah lagi yang menampakkan aurat beliau untuk dipertontonkan ke seluruh dunia.

Kalau uncle jadi anakanda, uncle akan cuba sedaya upaya untuk delete kesemua gambar-gambar yang mendedahkan aurat daripada internet atau FB.

Cara yang paling baik untuk melepaskan rindu kepada mereka yang telah tiada ialah dengan bersolat tahajud, bermunajat dan memohon Allah mengampunkan dosa-dosanya. InsyaAllah, Allah akan menghilangkan rasa rindu anakanda kepada mereka.

Sekali lagi uncle mohon maaf yang tidak terhingga jika pandangan uncle menyakitkan hati anakanda. Namun ia ditulis atas rasa kasih sayang yang mendalam pada arwah dan juga anakanda sekeluarga.

Uncle mohon keampunan Allah

Sungguh … saya tidak menduga dengan jawapannya. “Terima kasih uncle,” dengan foto-foto mamanya yang tidak menutup aurat dikeluarkan.

Anak ini terlupa sebenarnya. Dengan sedikit teguran ia membantu.

Leave a Reply