Bahagia? Dunia dan Akhirat

Seandainya manusia memiliki kekayaan, kesihatan serta keluarga maka logiknya kita telah memiliki kesenangan di dunia. Namun hati bertanya:

Apakah ada rasa bahagia kerana memiliki ketiga-tiganya?

Prof. Muhd Kamil Ibrahim (MKI) – barangkali secara main-main – pernah menyatakan kepada saya, “jika awak bukan seorang raja, juga bukan seorang ustaz,  maka menulislah!” Dalam sungguh maknanya sehingga saya tidak main-main mengambil apa yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut.

Tentulah saya rasa teruja dan gembira, malah amat bersyukur kerana – akhirnya – dapat menghabiskan penulisan buku Bahagia? : Dunia dan Akhirat bersama beliau. Diam-diam ia buku keempat tulisan kami. Saya berbahagia kerana dapat menyumbang berdakwah bersama Prof. MKI.

Sungguh, kita mahu bahagia!

Rasanya mudah menyebut kenyataan ini tetapi barangkali termenung sejenak jika ditanya, “apa erti kebahagiaan?” Jawapan kita pasti berbeza. Malah ia jadi lebih sukar memikirkan bagaimana hendak memperolehinya.

Misalnya, ramai di antara kita sentiasa sibuk – siang, malam dan kadang-kadang sehinggalah ke pagi – mencari kekayaan dengan harapan ia boleh membawa kepada kebahagiaan.

Kesemuanya adalah rezeki. Allah SWT mengurniakan pelbagai rezeki kehidupan termasuk makan-minum, keluarga bahagia,  rumah yang luas, rakan-rakan, jiran tetangga yang baik dan kenderaan yang selesa.

Anehnya … ada juga yang masih tidak berpuas hati dengan anugerah ini walaupun sudah seakan-akan memiliki dunia seisinya. Jika begitu, apakah kita bahagia? Itulah petanda-petanda awal betapa hakikat kebahagiaan hati masih belum muncul.

2011.

Saya mengadakan majlis keramaian di rumah dan menerima pelbagai hadiah dari tetamu yang hadir. Namun ada satu hadiah membuka minda dan menambat hati. Ia sebuah buku berkaitan dengan kehidupan bahagia. Tercatat pada halaman pertama,

Semoga ada manfaat, ingat Allah sentiasa.

Saya tersentap buat seketika lalu berfikir dan bertanya, “Apakah pemberi buku ini berfikir aku tidak bahagia?”

Jika Allah SWT ingin memberi sesuatu maka ia jadi terlalu mudah. Buku ini mengajak saya berdiam diri dan merenung erti kebahagiaan. Tulisan yang mengumpulkan100 orang pakar psikologi positif dari 50 buah negara merupakan tarikan semula jadi untuk ditekuni.

Saya mula membaca buku ini – sekurang-kurangnya – kerana mahu mengetahui ilmu kebahagiaan. Penulis berkongsi pengalaman, penyelidikan dan  kefahaman mereka tentang  kebahagiaan di dalam kehidupan.

Ia jadi pemula terhadap minat untuk mendalami ilmu kebahagiaan dengan berkongsi pengalaman kehidupan dengan teman-teman dari perbagaian lapisan masyarakat. Saya meneliti bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengannya dan mempelajari dengan lebih lanjut lagi dengan mereka yang saya fikir boleh membantu terutamanya dengan – Sheikh Said al-Kawari – guru al-Quran yang berasal dari Mesir.

Kemudian, kami – saya dan Prof MKI – melancar buku Merenung Diri. Usai majlis, beliau bertanya :

Apa tema buku kita selepas ini?

Itulah Prof MKI. Beliau selalunya bertanya terlebih dahulu tajuk atau tema yang saya selesa menulis. Prof MKI merupakan penulis  tegar serta berpengalaman dan sudah tentulah sangat mudah menulis apa-apa tema kehidupan yang menyentuh hati.

Lalu saya khabarkan, “saya sedang membaca, mengkaji dan berminat menulis tentang kebahagiaan”. Kami bersungguh berbincang  tentang tajuk ini dan merasakan ia sudah berlambak di pasaran.

Kami putuskan untuk menulis sesuatu yang berbeza agar ia jadi pelengkap kepada yang terdahulu, InsyaAllah. Kami bersetuju menulis tentang kebahagiaan mengikut pengalaman yang telah kami tempuhi dahulu dan sekarang.

Kami menyebut pengalaman ini ketika berbincang. Misalnya, dahulu saya seronok dan gembira menjadi usahawan di awal usia muda. Prof. MKI pula gembira kerana dianugerahi dengan jawatan Profesor termuda di UiTM.

Namun kami sedar bahawa kegembiraan itu hanyalah kecil dan bersifat sementara. Kami tetap menghadapi ujian dan cabaran lain di dalam kehidupan. Sampai masanya kegembiraan itu  hilang dan berlalu pantas!

Kini, kami mahukan sesuatu yang lebih baik dan bersifat kekal. Kami inginkan kebahagiaan yang menjadikan dada kami berasa lapang selapang-lapangnya. Kami mahu jiwa yang tenang tenteram lalu bersedia untuk menemui DIA dengan hati yang damai.

INGAT ALLAH SENTIASA.

Catatan pada buku yang dihadiahkan kepada saya merupakan asas jawapan untuk kami mencari kebahagiaan. Sungguh … Maha Suci Allah, dengan izinnya kami menghadiahkan catatan kami berdua  kepada khalayak pembaca. Moga ada manfaat.

Disini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca mengenai kisah Nabi Adam A.S. yang pernah menemui kebahagiaan di Syurga dan dunia. Kisah ini menjadi asas penulisan buku ini. Sewaktu Nabi Adam dan isterinya berada didalam syurga, Tuhan  berfirman:

Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai.

Kemudiannya apabila mereka diturunkan ke dunia, Tuhan berfirman lagi,

Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka, maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan dari sesuatu yang tidak baik terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Kami sentiasa mendoakan semoga buku dapat memberi petunjuk kepada kita semua untuk mendapat kehidupan yang bahagia di dunia dan  akhirat. InsyaAllah kita bertemu di Firdaus.