Nikmat Sakit di Korea

Apabila bulan Mei tiba, kami menyaksikan cuaca mulai terang seawal 5 pagi. Subuh masuk pada jam 3.30 pagi. Jam 9 pagi, mataharinya seolah-olah menyinari alam sudah lama, terasa lambat dan rugi jika seseorang baru memulakan kehidupannya waktu itu.

Pagi yang awal, saya dibangunkan dengan deringan loceng khas sebelum Subuh. Perut terasa senak kerana sebelum tidur, saya mengalami masalah membuang air kecil. Hanya sedikit air yang keluar.

Di bilik air, masya Allah, kencing tidak mahu keluar. Saya menekan-nekan perut dan berdehem kuat, gagal! Hampir 30 minit, saya gagal kencing. Memikirkan waktu Subuh yang sudah masuk, saya ambil wudhuk dan keluar dari tandas dalam keadaan tidak selesa dan sakit.

Usai Subuh, saya buru-buru lagi ke tandas, rasa mahu kencing membuak-buak. Namun, masya Allah, gagal lagi! Saya menangis, sakit dan takut bersatu. Inilah kali pertama, ingin kencing sehingga menangis.

Apakah maksud ujian Allah swt ini? Dada berombak gelisah, saya keluar dari tandas dan memanggil suami. Dia menggosok belakang, membacakan selawat Syifa’, saya semakin mahu membuang air. Saya masuk ke tandas, malangnya gagal lagi.

Pagi itu, suasana menjadi suram. Anak-anak bangun dan tidak meragam, seakan memahami keadaan saya yang bertarung antara sakit, kecewa (kerana gagal membuang air) dan takut. Suami memandikan anak-anak dan menyiapkan sarapan. Saya berusaha lagi untuk membuang air dengan pelbagai cara. Allahuakbar! Baharulah saya tahu, membuang air kecil adalah satu nikmat yang sangat besar.

“Abang maafkan saya jika saya ada buat salah dengan abang,”kata saya kepada suami sambil mengalirkan air mata. Ujian kesakitan ini barangkali berkait dengan dosa-dosa saya tanpa sedar. “Ya, abang maafkan. Abang pun minta maaf juga. Jomlah kita ke hospital sekarang,” kata suami, risau melihat keadaan saya. “Hantar Darda’ ke sekolah dulu,” kata saya. Anak-anak melihat saya dengan rasa simpati.

Saya tidak tahan lagi, pundi kencing terasa penuh dan tersumbat. Saya capai tudung dan keluar rumah. Saya berjalan perlahan-lahan, mengelilingi kawasan rumah sambil beristigfar dan membaca doa Nabi Yunus AS “LA ILA HA ILLA ANTA SUBHANAKAN INNI KUNTU MINAZ ZHOLIMIN” bermaksud (Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk  orang-orang yang zalim.)

Ketika rasa membuang air kecil menolak, saya berjalan laju pulang ke rumah, langsung masuk ke tandas. Alhamdulillah, sedikir air keluar tapi masih sukar. Hari ini saya perlu mengajar dua kelas di universiti, fikiran runsing mengenangkan amanah.

“Mari kita hantar Darda’ dan terus ke hospital,” kata suami menghidupkan enjin kereta. Anak-anak diangkat ke dalam kereta, saya akur. Tidak tahan menanggung pedih dan sakit. Masya Allah, ketika punggung terenap di kusyen kereta, sakit di bahagian pundi bukan kepalang. Saya jauhkan Dawud dari ribaan. “Maaf ye Dawud, ummi tak boleh riba Dawud, sakit sangat,” kata saya kepada si kecil.

Kami ke tadika Darda’yang tidak jauh dari rumah. Saya hanya memandang suami mendukung anakanda sambil bibir terus beristigfar. Jika ada air yang mahu keluar, saya akan terus membuang di situ, tidak dapat bertahan lagi. Pakaian saya dalam keadaan najis dan meminta suami membasuh keretanya nanti. Begitu sekali apabila Allah Swt menarik salah-satu nikmatnya: manusia terasa begitu lemah dan hina.

Hikmah Ujian

Sementara menunggu giliran bertemu doktor, saya berulang-alik ke tandas. Rasa mahu membuang air kecil tidak surut, namun masih sakit dan gagal. Saya tidak boleh duduk. Wajah tidak mampu senyum. Sebelum nama dipanggil, sempat saya menelefon Profesor Koh Young Hun di universiti, menyatakan keadaan saya yang menghalang hadir ke kelas. “Umi..saya kaget. Jaga diri,” katanya, bimbang.

Doktor meniliti pemakanan saya sebelum sakit. Dia kemudian membuat pemeriksaan badan sebelum menyuruh jururawat  memakaikan tiub polybag untuk mengeluarkan air kencing. Subhanallah, terasa nikmatnya apabila air kencing mengalir ke dalam uncang beg itu.

“Anda tidak dibenarkan ke mana-mana selama tiga hari. Pakai polybag ini dan makan ubat, nanti jumpa saya selepas tiga hari,” pesan doktor setelah mengesyaki kejadian ini disebabkan oleh pemakanan sampingan. Saya berjalan keluar bersama suami dan anak ke tempat parkir, terasa baru lepas melakukan pembedahan dengan tangan memegang tiub dan polybag.

“Mak, Ummu minta maaf pada mak jika ada salah dan silap sepanjang mak tinggal dengan kami di sini,” kata saya melalui telefon. Ibu mentua membalas, “Mak pun samalah. Insha Allah, nanti sembuh,” katanya sambil berpesan beberapa petua kesihatan.

Saya juga menelefon emak dan abah di Malaysia, memohon doa mereka. Tiga hari saya tidak dapat ke kelas, hati sedikit sedih mengingatkan mahasiswa-mahasiswa di kampus. “Ibu Ummi..jaga kesihatan!” bertalu mesej mereka di telefon bimbit.

Suami membuat kerja rumah yang biasa saya lakukan setiap hari: memasak, mengemas, termasuk menguruskan semua hal anak-anak. Saya melihatnya dengan penuh rasa syukur kepada Allah SWT. Di saat ujian, Dia mengurniakan suami untuk meringankan beban saya. “Sayang rehatlah, jangan buat kerja apa-apa,” kata suami.

Tiga hari saya bagaikan dalam pantang, hanya berehat dan membuat kerja-kerja ringan. Saya gagahkan diri menyiapkan bahagian tesis dan artikel jurnal. Waktu yang sepatutnya dipenuhi dengan kelas, saya manfaatkan untuk menulis. Allah ya Allah, syukur kepadaMu. Setiap musibah pasti ada hikmah yang besar. Saya menangis ketika solat, perkara yang sukar sebelum sakit.

“Abang, syukurlah Allah bagi sakit ketika kita sudah ada insuran kesihatan. Bayangkan jika sakit tanpa insuran, aduh, bertambah-tambah sakit dengan bil hospital,” kata saya kepada suami. Bil hospital amat mahal di Korea. Teman saya pernah membayar 500 ribu won (RM1500) hanya untuk mendapatkan rawatan demam dan gastrik satu hari.

Untuk memeriksa bayi dalam kandungan (sebelum melahirkan Dawud), saya membayar 120k won (RM400) sekali pemeriksaan. Sehingga kami memanjatkan doa agar sentiasa sihat di perantauan. Kali ini, bukan hanya doa diberikan kesihatan, malah setiap kali membuang air kecil, saya mengucapkan Alhamdulillah dan bersyukur kepadaNya. Allahuakhbar!

Begitulah kita, hanya dengan ujian kesusahan dan kesakitan, kita menghampiri Tuhan ‘lebih laju’ berbanding waktu senang, lapang dan sihat. KepadaMu ku bersyukur ya Allah.