Kebahagiaan

Siti mengajak Ain bertemu saya dan berbincang lebih lanjut berkenaan kursus yang patut dipilih oleh Ain di universiti. Ain dapat A dalam subjek Prinsip Akaun SPM, justeru itu dia berhasrat untuk mengambil kursus perakaunan di mana-mana universiti tempatan.

Saya gariskan beberapa fakta penting tentang jurusan ini. Peluang pekerjaan dan sebagainya. Selepas panjang berjela, saya tanya Ain, apa yang Ain mahu capai? Kesenangan hidup atau kerjaya hebat? Saya pesan pada Ain yang bidang ini memang senang. Tutup mata pun boleh lulus, dengan syarat, perlu rajin dan usaha keras. Ketawa besar emak Ain mendengar pesanan saya. “Auta”, katanya.

Soalan terakhir Ain membuat saya terkedu.

“Cik Su memang bercita-cita nak jadi akauntan ke dulu?”

Saya ambil masa untuk memberi jawapan. Teringat betapa gembiranya saya tatkala menerima tawaran belajar dalam bidang kejuruteraan. Kononnya mahu jadi jurutera. Arwah Bapak tidak benarkan. Beliau mahu saya memilih bidang yang lebih feminin. “Terkorban” cita-cita, namun saya habiskan pengajian dan hingga kini, melihat Bapak tersenyum bangga di hari konvokesyen merupakan antara momen terindah dalam hidup. Ia sentiasa segar dalam ingatan.

Maha Suci Allah.

Di usia ini, saya sedar tiada yang lebih membahagiakan bagi seorang Ibu selain dari melihat kejayaan anak-anaknya biar apa pun bidang pilihan mereka. Saya masih berdebar setiap kali anak-anak menduduki peperiksaan, tidak kiralah sekolah, universiti mahupun ujian memandu.

Saya masih tidak mampu mengawal juraian air mata ketika melihat mereka berjalan masuk ke dalam dewan konvokesyen apatah lagi bila mendengar nama mereka diumumkan. Rasanya mahu saya jerit dan beritahu kepada dunia bahawa yang disebut namanya itu anak saya. Saya pasti, ia perasaan bahagia yang sama seperti waktu melihat mak dan bapak tersenyum bangga mendengar berita kejayaan saya dulu. Perasaan itu tulus dan jujur.

Saya kisahkan semua ini kepada Ain kerana mahu dia tahu, tidak susah sebenarnya membahagiakan insan yang amat menyayangi kita. Dalam kes Ain, insan itu adalah ibunya. Jangan sesekali dibantah kehendak ibu. Laksanakan apa yang perlu dengan sepenuh hati sambil tidak berhenti berdoa agar Allah beri kesejahteraan buatnya dunia dan akhirat.

Dalam surah Al Imran, dikisahkan bagaimana isteri Imran berniat dan bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi penjaga BaitulMaqaddis. Harapannya tidak kesampaian kerana anak yang lahir itu perempuan, Maryam namanya, yang diserahkan kepada pakciknya Nabi Zakarya untuk dididik.

Maryam membesar sebagai seorang yang amat yakin dengan kekuasaan Allah. Dan akhirnya Allah pilih Maryam sebagai wanita suci yang melahirkan anak tanpa disentuh lelaki. Anak yang dinamakan Isa itu menjadi antara insan hebat di dunia, seorang Rasul Allah yang membawa manusia ke jalan yang benar.

Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.

Terjemahan surah Al Imran ayat 36

Impian kita mungkin berbeza dengan apa yang kita capai kemudiannya, namun semua itu telah ditentukan. Tiada upaya kita untuk menolak ketentuanNya. Dia lebih mengetahui.

Kini impian suami dan anak-anak adalah keutamaan saya. Segala impian mereka, selagi boleh, akan sama-sama saya usahakan untuk menjadi kenyataan. Kadangkala ia amat sukar, namun keyakinan bahawa Allah akan menjadikan ia mudah apabila Dia kehendaki mudah, tidak pernah mengecewakan.

Bahagia itu ialah bila kita dapat membahagiakan mereka yang kita sayangi dan mereka yang menyayangi.

Segala puji hanya bagi Allah.