Kenapa Isyak?

Saya membaca terjemahan hadis ini …

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan Isyak. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjemaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid), sekalipun dengan merangkak.”
Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah).”

(Hadis Sahih Bukhari Jilid 1 :374, Topik adalah Solat)

Dulu … saya terfikir kenapa Isyak. Kesukaran solat subuh berjemaah di masjid lebih mudah difahami kerana ujian tidur. Kata orang, “sukar bangun … bila tidur khabarnya seolah-olah diikat dengan tiga ikatan oleh iblis”.

Kenapa Isyak? Ini satu analogi.

Semalam saya menghadiri majlis perkahwinan salah seorang sahabat keluarga. Majlis bermula jam 6.30 petang sehingga 9.30 malam. Ia jamuan buffet. Maknanya, kami boleh memilih masa hadir.

Kami memilih untuk hadir selepas solat maghrib atas beberapa kekangan walaupun kehadiran pada jam 6.30 petang lebih memudahkan. Lalu kami solat Maghrib di masjid paling hampir dengan lokasi majlis.

Sungguh … ia masa yang hanya mencukupi untuk bersalam-salam dan berbual-bual ringkas dengan teman-teman yang hadir. Makan seadanya. Namun masa berjalan pantas. Maghrib-Isyak merupakan julat masa paling pantas.

Masuk waktu Isyak. Benar … HP sudah bergegar-gegar memberi isyarat supaya beredar. Di sinilah ujian kesukaran muncul. Terasa berat sekali untuk meninggalkan teman-teman yang sudah lama tidak ketemu. Malah ada yang baru muncul.

Saya kuatkan hati mengajak Roza beredar. Inilah salah satu janji saya pada Allah SWT untuk solat lima waktu berjemaah di masjid ketika mahu menunaikan fardu haji pada 2006. Sungguh … saya bersungguh mahu melaksanakan janji ini.

“Minta maaf … saya minta diri … solat Isyak,” tanpa mampu mengajak, “Jom kita ke masjid, azan Isyak sudah berbunyi.”

Sungguh … saya masih lemah bab ini. Apalah salahnya jika saya ucap begitu. Terpulanglah kepada sahabat-sahabat untuk bersama atau terus kekal di meja makan. Hakikatnya … itulah cara saya memaklumkan ajakan untuk berhenti seketika dengan cara yang paling lembut.

Banyak program di Malaysia bermula sebelum masuk waktu Isyak dengan andaian waktu solat ini mempunyai julat masa yang panjang, sampai waktu fajar! Tidak ramai yang berfikir tentang keperluan solat berjemaah di masjid.

Selepas mengucapkan salam, hati berasa lega yang amat sangat. Sungguh … solat berjemaah di masjid yang tidak sampai pun 10 minit melucutkan bebanan di bahu yang terasa berkilo-kilo.

Malah tekanan jiwa dan perasaan sebelumnya terurai begitu sahaja. Saya cukup takut jika Allah SWT menukar hati sehingga beranggapan ia tidak mustahak dan boleh ditinggalkan.

Barangkali … kenapa Isyak terjawab dengan mudah. Baginda SAW memberi kenyataan yang terpakai sehingga ke hari ini.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.