Dia Kesayangan Ku

Isteri buat seorang suami sangat signifikan. Di dalam banyak majlis saya bertanya wanita dengan satu persoalan mudah jawab, ”jika ditakdirkan syurga ini hanya boleh dimasuki oleh dua orang, maka siapakah yang puan mahu di bawa bersama?”. Aneh buat saya sebagai seorang lelaki bila lebih 90 peratus wanita yang ditanya terpaksa berfikir sejenak, mempertimbang pilihan yang ada dan akhirnya menyebut,

Mak!

Ia sungguh berbeza apabila ditanya kepada suami. Mereka – seolah-olah tanpa berfikir – terus memberi jawapan,

Isteri …

Hubungan suami-isteri sangat istimewa sehingga menimbulkan beberapa tanggapan yang tidak selalunya benar. Misalnya, ada yang menyebut, ‟dia takut bini …”. Di kalangan golfers pula sering menyebut-nyebut tentang hubungan mereka dengan isteri, “aku tidak takut bini tetapi bini juga tidak takutkan aku”. Itulah gurauan apabila teman-teman tidak dapat keluar bermain golf pada hujung minggu akibat tegahan isteri.

Namun – secara peribadi – pengaruh seorang isteri kepada suami sangat luar biasa. Isteri mempunyai kekuatan yang sangat besar dalam kehidupan seorang suami sehingga berjaya mempengaruhi suami sama ada di rumah mahupun di pejabat.

Tentu sekali saya terkenang bagaimana rakan-rakan mengaitkan kenaikan pangkat teman yang lain kerana hubungan baiknya dengan isteri bos. Tentu sekali ia satu kekeliruan besar. Allah SWT menyatakan melalui surah Saba, ayat 36 yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

Ramai orang sayangkan isteri. Saya tidak terkecuali. Malah saya sangat bersyukur kerana ditemukan dengan Roza, berkahwin, dan dianugerahi anak-anak. Beliau sangat membantu dalam pendakian kerjaya dan kehidupan. Malah, saya fikir beliau menjadi penyebab kuat dalam usaha mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT. Dorongan dan kesabaran beliau sangat terpuji. Benar … saya fikir begitu!

Perhubungan kami berdasarkan sifat saling hormat-menghormati. Misalnya, kami pernah bekerja sebumbung di dalam organisasi yang sama. Ia kelihatan sukar kerana saya merupakan bos nombor satu. Di pejabat, kami mempunyai watak yang berbeza-beza.

Pertama, beliau adalah isteri saya dan secara automatis bertindak sebagai isteri pengarah di mana tempat kami bertugas.

Kedua, secara semulajadi beliau perlu memegang jawatan Yang Dipertua persatuan wanita.

Dan ketiga, sebagai pensyarah pengurusan universiti.

Di rumah beliau adalah seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kami. Melakonkan watak-watak ini memerlukan kekuatan. Jika bersama saya menaiki kereta rasmi, beliau sekali-kali tidak dibenarkan memberi arahan kepada pemandu. Jika mahu berhenti sekalipun, beliau akan membisikkan kepada saya keinginan tersebut. Malah atas sifat seorang isteri, beliau tidak dibenarkan mengganggu saya di pejabat.

Para pelajar selalu bertanya: “Prof tidak bawa isteri?,” soalan rutin yang disoal apabila menghadiri majlis-majlis anjuran mereka seperti jamuan hari raya, jamuan tahunan ataupun majlis santai yang lain. Saya memberi jawapan: “beliau sangat ingin menghadiri majlis ini tetapi jemputan hanya untuk Pengarah dan bukannya Pengarah dan Isteri”.

Barangkali mereka tidak memahami pelbagai peraturan atau batasan yang perlu dipikul oleh seorang isteri kepada ketua jabatan.

Bukanlah satu perkara yang pelik untuk melihat isteri yang berpengaruh kepada suami dan menunjukkan pengaruh tersebut secara terbuka. Ia memberi kesan yang sangat negatif kepada kewibawaan suami sebagai seorang ketua. Gangguan-gangguan kepada staf pejabat atau tindakan-tindakan suami yang “tidak rasional” sering terpantul atas pengaruh tersebut.

Dan lebih merungsingkan jika tingkah-laku tersebut langsung tidak disedari. Di hujung-hujung orang tersenyum dan berkata “dia takut…..” atai “dia di bawah pengaruh….”. Adalah agak malang apabila di bawah pengaruh isteri @ suami menyebabkan perhubungan sesama keluarga menjadi sukar. Alahai …. sehinggakan ingin memberi sedikit sumbangan kepada ibubapa terpaksa dilakukan secara “sembunyi-sembunyi”.

Dalam konteks diri sendiri, pengaruh seorang isteri sangat penting dan bermakna dalam lingkungan yang munasabah dan wajar kepada seorang suami. Sungguh … saya menyayangi isteri tetapi tidak sekali-kali membiarkan beliau melampaui batas. Saya sentiasa mengenangi ayat 8, surah Ghafir yang bermaksud:

Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam syurga Adn yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka):

 

Orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ia sangat penting. Saya fikir begitu!