Ramadan Dua Negara

Tahun ini,  kami menyambut Ramadan ketiga di Seoul. Tiada angin kemeriahannya di kaca televisyen mahupun radio melainkan, kami sendirilah yang ‘mendatangkan’ angin itu. Saya mengajak suami mengemas rumah seolah-olah ada ‘tetamu’ yang akan bertandang. Di laptop, saya pasangkan nasyid-nasyid bertemakan Ramadan. Secara tidak langsung, jiwa dan fikiran kami terbawa ke perkampungan Ramadan yang mulia.

Rutin dijalani seperti biasa. Kepada ‘perut’ saya memberitahu yang ‘ianya’ tidak perlu bekerja selama 17 jam walaupun anggota fizikal seperti kaki, tangan, dan tubuh akan dipaksakan berjalan kaki, menaiki subway dan bas serta memanjat bangunan universiti tanpa ‘makan di siang hari.’ Luar biasa! Keberkahan Ramadan membuatkan saya berasa lebih semangat, lebih sihat dan lebih ceria dengan rutin rumahtangga, pengajian Phd dan pengajaran universiti.

Entah mengapa, kedatangan Ramadan juga sering membawa fikiran kepada kenangan-kenangan dulu terutama pada gemulah Tok Piah; insan yang sangat sibuk menyediakan juadah untuk anak cucunya ketika sihat. Saya begitu rindukan Tokwan Haji Tahir yang berada jauh di utara Malaysia. Setiap Ramadan, sekurang-kurangnya dia mengkhatami al-Quran sebanyak tiga kali. Bayang emak dan abah bermain-main di mata, bagaimanakah kesihatan mereka di usia menjejak 60-an kini?

Hari pertama Ramadan, suami membawa saya dan anak-anak berbuka di Masjid Itaewon. Dalam kereta, nasyid tentang bulan Ramadan menyusup ke telinga dan hati kami. Ajaibnya, kami berdua tidak terbayang tentang bazar Ramadan, cuma sekadar makanan yang dapat menghilangkan rasa lapar dan beribadah di masjid. Saya hanya keletihan melayani keletah anak-anak yang aktif. Darda’ yang amat peramah, Dawud yang tidak mahu kalah dengan abangnya.

Tiba-tiba ingatan sekilas pada abah ketika saya berumur 9 tahun. Waktu itu bulan puasa, saya dan adik-adik sudah lapar dan tidak sabar menunggu waktu iftar. Jam menunjukkan pukul 6 petang, terasa amat perlahan mendekati jam 7. Abah lalu mengajak saya dan adik-adik masuk ke bilik, dia kemudian membacakan kami buku cerita. Dia melekakan kami seketika agar tidak terfokus kepada makanan. Sehingga saat berbuka, baharulah kami sedar yang kami sedang lapar!

Masjid Itaewon dipenuhi Muslim pelbagai bangsa dan negara. Majoritinya daripada India, Pakistan, Bangladesh, Afrika, Turki, Arab Saudi dan Indonesia. Saya akan berasa takjub jika melihat Muslim Inggeris Amerika, Eropah (terutama Jerman) atau Korea datang iftar di masjid. Terasa begitu universalnya Islam. Juadah berbuka lazimnya adalah tamar, buah tembikai dan pisang, air kotak susu dan air mineral.

Ringkas dan signifikan sebagai falsafah ‘berbuka’ yang merujuk kepada ‘permulaan makan’. Perut tidak ‘dihanyutkan’ dengan rencam makanan sehingga liat menunaikan solat Jemaah. Saya melihat suasana pelbagai bangsa ini penuh pengajaran. Dari sisi positifnya, benarlah Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 bahawa Dia menjadikan manusia berbilang bangsa untuk saling berkenalan; ada warna kulit putih, kuning langsat, coklat dan hitam.

Tetapi Allah swt hanya memandang kepada ketaqwaan dalam diri setiap manusia. Dari sisi negatif, saya menilai kelakuan setiap bangsa ini. Orang Afrika misalnya lebih ‘keras dan kasar’. Tetapi benarkah nilaian saya bahawa semua orang Afrika begitu? Cepat saya padamkan ‘umpatan spontan’ ini dengan istigfar.

Anak-anak kecil berlari, ada yang menangis dan menarik pakaian solat ibunya. Suasana sungguh kacau, mengganggu ketenangan di bilik solat wanita. Hari berikutnya, saya arahkan Darda’ membawa mainan binatangnya. “Nanti main dengan kawan-kawan di masjid ya,” kata saya dengan niat permainan itu dapat melekakan anak-anak daripada mengganggu ibu-ibu mereka. Ternyata, hal itu sedikit membantu. Lucu sekali melihat anak-anak pelbagai bangsa: Pakistan, India, Arab, Turki dan Asia Tenggara tetapi mereka berkomunikasi dalam bahasa Korea!

Ramadan di Korea kami lanjutkan di Malaysia setelah cuti semester bermula. Sudah kami sematkan di hati, setiap cuti semester akan pulang menziarahi datuk dan ibubapa kami di Kedah dan Pahang. Syukur Allah SWT mengabulkan doa kami di perantauan.

Cabaran Kenikmatan

Di celah kemeriahan suasana Ramadan versi Malaysia terutama di masjid,  televisyen, radio, kain rentang dan bazaar, hati mulai diterbak ujian. Terlalu banyak difikirkan sehingga mengganggu fokus Ramadan seperti di Korea. Jadi, mulalah saya mencari warna tema baju raya, biskut raya yang lazat, duit raya untuk anak-anak saudara malah makanan apa yang tidak kami temui di Korea! Allahuakbar. Malu kepada diri sendiri, malu kerana seolah telah menipu Allah swt.

Di pandangan mata, seolah-olah suasana Ramadan di Malaysia memudahkan diri untuk beribadah: masjid di mana-mana, rancangan agama di televisyen dan radio, program ihya’ Ramadan dan iftar percuma. Dan di Korea lebih sulit untuk berpuasa: negara non Muslim, masjid hanya satu di Seoul, tiada bazar dan program-program ihya’ Ramadan terutama di tv dan radio tempatan. Namun, telahan fizikal ternyata salah.

Dari situ saya mempelajari mengapa para sahabat Rasulullah SAW mereka begitu teguh keimanan dengan pelbagai ujian dan sedikit sekali kemudahan, dan mengapa di kala Islam tersebar luas, umat Islam jatuh dalam kemungkaran tatkala kemudahan untuk beribadah semudah memetik jari? Itulah cabaran kenikmatan: cabaran hawa nafsu!

Akhirnya, ke mana kita menghalakan matlamat Ramadan kita walaupun berada di negara yang berbeza? Muhasabahlah wahai diriku, matlamatnya tetap satu; meraih redho Allah SWT. Ujian dan nikmat bukan alasan.