Pakej Kelebihan dan Kekurangan

Siang Ramadhan yang menguji iman. Subhanallah. Terik sungguh matahari menyinar. Bahangnya cukup terasa lalu sesekali, anak-anak mengeluh dahaga. Terkeliur lihat air masak, kata mereka. Melihat wajah masing-masing yang tampak benar keletihan seusai pulang dari sekolah,  aduhai.. tersentuh naluri keibuan saya. Kasihannya..

Saya cuba mengalih fokus mereka dengan bercerita. Namun, ternyata telatah Hadif Ihsan yang berusia satu setengah tahun itu lebih mencuit hati.  Alahai.. si comel itu sudah pandai buat kelakar, memujuk dan pura-pura merajuk! Begitulah bantuan Allah. Sela masa menunggu yang cukup menguji hati akhirnya terisi dengan sembang-sembang dan gurau senda kami.

Waktu berbuka semakin hampir. Anak-anak  mula membantu saya menghidangkan makanan. Dua jag air sudah tersedia di atas meja. Tidak cukup agaknya, lalu saya lihat Najla sudah mengambil satu botol air sejuk lagi khusus untuknya. Saya hanya mampu tersenyum mendengar dia berkali-kali meluahkan rasa dahaganya. Faham. Memang cuaca cukup panas!

Azan Maghrib berkumandang. Apa lagi, berkobar-kobar semangat anak-anak memulakan iftar dengan doa berbuka sebelum mula menjamah kurma. Selepas itu,  masing-masing mengelepar mencapai gelas air sejuk. Alhamdulillah. Berakhir juga mujahadah mereka. Saya turut lega.

Namun suasana yang tenang bertukar kalut dengan tiba-tiba. Anak-anak menjerit. Ya Allah! Kelihatan air sudah mengalir laju di atas meja lalu menitik-nitik ke lantai.  Saya hanya mampu menarik nafas dalam-dalam. Allahu Akbar. Hadif Ihsan, si comel itu memang tidak tahu duduk diam! Ada-ada sahaja yang mahu dicapai. Lalu, natijahnya, begitulah.. sebotol besar air sudah tumpah.

Najla berlari ke dapur mengambil kain buruk. Sambil mengelap air yang melimpah, mulutnya mengeluh tidak sudah-sudah. Memang dia marah. Mengingati betapa sabarnya dia menadah air sejuk itu dari mesin penapis air tadi, saya digayut simpati. Subhanallah. Tentu sahaja saya faham betapa kecewanya dia melihat sebotol besar air tersebut terbazir begitu sahaja. Sia-sia!

“Ihsan kecil lagi. Manalah dia faham apa-apa. Sudahlah. Minum dulu mana yang ada.” Saya cuba memujuk Najla dengan mengingatkannya bahawa masih ada jag berisi air di atas meja. Gagal. Ternyata hatinya benar-benar sedang melayan rasa sebal yang singgah. Mulutnya masih marah-marah menyalahkan si kecil yang masih tidak mengerti apa-apa itu. Allahu. Mood berbuka puasa kami mula terganggu.

“Baru sekejap tadi angah seronok sangat main dengan Ihsan, kan! Asyik puji dia comel, kelakar, pandai. Bukan main cakap sayang sangat dia. Sekarang, apa dah jadi? Dah benci?”  Najla diam. Wajahnya masih masam.

“Allah datangkan orang dalam hidup kita ni ada pakejnya. Ada baik, ada buruk. Ada yang kita suka, ada yang kita tak suka. Anak-anak mama semua ada sisi baik, ada sisi buruk. Mama dan abah pun sama, ada baik dan ada buruk juga. Kena terimalah. Takkan nak yang bagus-bagus saja. Yang tak bagus pun kenalah terima juga. Namanya pun pakej, kan!”

Alahai. Seperti biasa, seorang ibu memang pakar memulakan ‘sesi ceramah tidak berbayar’. Sambil menikmati makanan, saya dan suami terus berpesan-pesan. Isu utamanya tentang pakej kehidupan. Apa yang kita ada, siapa yang hadir dalam hidup kita, semuanya itu ada nilai pro dan kontranya.

Sungguh. Kita tidak dapat lari dari konsep pro dan kontra sesuatu perkara.  Misalkan dalam hal membeli kereta. Kalau pun ada yang cantik dan selesa, mahal pula harganya, bahkan tinggi juga kos penyelenggaraannya.

Demikian juga manusia. Tidak perlu pergi jauh. Bermula dari ibu ayah kita sahaja pun, kita sudah mampu memahami hakikat ini. Dalam menyenaraikan sebegitu banyak budi mereka, tentulah ada juga sedikit sebanyak tingkah dan pemikiran mereka yang tidak serasi dengan kita. Namun, ibarat dacing yang mengimbangi timbangan, kelebihan dan kekurangan memang sangat kita perlukan. Tak boleh baik-baik sahaja, nanti berat sebelah. Nanti kita lupa hakikat pergantungan kita pada Allah!

Masya-Allah.  Ternyata isu tentang kebaikan dan kekurangan telah pun disebut di dalam al-Quran. Allah menyatakan dengan jelas tentang amaran dan panduan untuk berdepan dengan hakikat kelebihan dan kekurangan menerusi ayat ini:

“Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.(QS. An Nisaa: 19)

Begitulah. Dalam bergelut kekurangan sendiri, mari kita bersikap adil dan realistik tatkala berdepan dengan kekurangan orang lain juga. Kita tak sempurna. Orang lain juga tak sempurna. Lalu, pujuklah hati kita setiap kali diduga dengan sesuatu peribadi atau ujian yang kita tak suka.

Sebagaimana saya cuba memberi faham kepada anak-anak saya mengenai ‘pakej Hadif Ihsan’ tadi,  itulah yang cuba saya kongsikan di sini.  Ya. Isunya.. bila kita menerima sesuatu perkara, bersedialah menerima kehadirannya sebagai satu pakej yang sempurna. Ada sisi buruk dan baiknya. Kalau kita boleh berasa bangga dan gembira dengan sisi baiknya yang membahagiakan, pujuklah hati untuk redha dengan hal-hal buruknya yang buat kita tertekan. Jangan kerana satu kesilapan, kita lupa segala kebaikan yang pernah dicurahkan.

Kalau rasa bahagia dapat isteri cantik jelita, janganlah dirosakkan bahagia itu dengan memfokus pada sikapnya yang kuat berleter pula. Berbangga dapat suami tampan bergaya, bersedialah juga sekiranya terpaksa berdepan dengan kerenah ‘buaya’nya. Mahu berkawan dengan orang kaya dan ternama, bersedialah jika terpaksa berdepan dengan ego mereka. Mahu sangat ada anak, janganlah pula bila dia meragam, jiwa kita memberontak.

Sahabat-sahabat yang baik, dalam berdepan dengan ragam ujian, hati kita mesti dibawa kepada hakikat kelebihan dan kekurangan. Ingatlah. Apa yang kita rasakan adalah berakar umbi dari pemikiran. Justeru, perkara pertama yang perlu dibuat ialah, jaga fokus kita. Setiap kali terjadi sesuatu yang menyakitkan hati, halakan fokus kita kepada sesuatu yang membahagiakan. Fokus kebaikan.

Fokus pada sesuatu yang boleh membantu mengurangkan tekanan. Misalnya, ketika rasa tertekan dengan sikap suami yang malas membantu urusan rumahtangga, mungkin kita boleh bersyukur dengan sikapnya yang suka berjenaka dan pandai memujuk kita. Mungkin kita boleh bersyukur dengan sikapnya yang jarang meninggikan suara dan tidak pernah memukul kita. Ya. Fokuslah kebaikannya yang boleh buat kita bersyukur kepada Allah. Begitu lebih mudah.

Namun, kalau sukar mengawal apa yang kita fikirkan, kawallah apa yang keluar dari mulut kita. Sungguh. Banyak masalah kecil yang akhirnya membarah kerana kejahatan mulut yang mengeluh, mencaci dan mengeji. Justeru, jaga mulut kita. Saat berdepan dengan pakej kehidupan yang membuat kita tertekan, ingatlah pesanan Rasulullah ini.

“Ajarilah, permudahlah dan jangan menyusahkan. Apabila salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia diam.” [HR Ahmad]

 Subhanallah. Mengurus tekanan tidaklah begitu sukar jika kita memahami hakikat kehidupan. Sempurna itu bukanlah datang dari semua perkara yang baik-baik. Kesempurnaan itu cuma akan hadir saat kita mampu bersyukur berdepan dengan sesuatu yang kita sukai dan bersabar dengan sesuatu yang kita benci. Sungguh. Kehidupan ini menawarkan kita satu pakej ujian yang isinya adalah senarai kelebihan dan kekurangan.  Terimalah seadanya!