Kebahagiaan Teragung

Logik manusia mudah. Kekayaan, kemewahan serta kesenangan dirasakan boleh memberi kebahagiaan. Namun ia tidak semudah itu. Alasan utamanya kerana kekayaan, kemewahan serta kesenangan bersendirian tidak bertepi. Hujungnya tidak kelihatan. Fitrah manusia inginkan kekayaan lebih berbanding sedikit. Tiada kepuasan dalam diri. Tiada nilai mutlak di sini. Ketiga-tiga elemen itu bakal memberi kebahagiaan apabila terdapat satu elemen besar:

Ingat Allah sentiasa!

Kenyataan bercorak khutbah, “hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi  tenang. Jiwa tenang membuat hati menjadi tenteram, dada berasa lapang dan fikiran jadi bijaksana. InsyaAllah, kita menikmati kehidupan bahagia.”

Saya mendengar kenyataan ini berulang kali. Namun ia boleh dipertahankan. Misalnya, jika kita mengingati dan mentaati segala suruhanNya bermakna kita telah melakukan kebaikan.

Allah membalasnya dengan sebaik-baik kehidupan di dunia dan pahala yang banyak untuk bekalan di akhirat. Konsep baik dan buruk ini menjadi lebih luas. Misalnya, kita gembira mendapat ujian suka dan kelihatan redha bila ditimpa bencana. Itulah nilai kebahagiaan berlawanan dengan konsep kaya dan mewah material semata-mata.

Bagaimana untuk mengingati Allah sentiasa ?

Pada setiap pagi hari Isnin, Sheikh Said datang ke pejabat untuk bertalaqi dan menghurai rahsia Quran. Hari itu kami bertalaqi surah Al-Muzzammil. Beliau menegaskan bahawa surah ini amat cantik untuk dibaca dan merupakan kunci utama mengingati Allah sentiasa. Lantas, beliau terus membaca petikan dari surah tersebut;

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

(Terjemahan surah al-Muzzammil: 1-4)

Tiba-tiba Sheikh Said berpaling dan bertanya, “sudah siapkah buku baru awak mengenai kebahagiaan itu?” Saya berfikir seketika kerana sedang mengaitkan orang berselimut dengan buku yang hampir ke penghujung.

Hampir siap, saya sudah habis 24 bab dan sedang menunggu ilham untuk bab terakhir.

Baguslah … mungkin kamu boleh menulis tentang “orang bangun malam”.

Saya rasa rakan penulis – Prof. MKI – sudah kerap menyarankan  tentang bangun malam. Setiap kali berceramah beliau menyebut bangunlah … bangunlah … bangunlah … bangunlah pada 1/3 waktu malam tersisa. Jika berdoa Dia makbulkan, jika bertaubat Dia ampunkan dan jika meminta Dia beri apa yang diminta. Mintalah apa sahaja.

Saya rasa itulah sebenarnya permintaan terbaik pada waktu malam untuk mendapatkan kebahagiaan teragung kehidupan baik, tiada siksa kubur dan  terus menerus bergembira di Syurga. Sheikh Said hanya senyum dan menyarankan:

Tidak mengapa … perkara ini penting dan mustahak untuk kita semua. Ia boleh diulang-ulang agar pembaca dapat mengingati betapa pentingnya bangun malam untuk berdamping dengan Allah. Ia amalan  pembersih jiwa.

Setelah berdoa dengan yakin – InsyaAllah – hilang segala kebimbangan. Kita  hanya Allah menjadi pelindung  dan penolong. Setelah meminta ampun daripada Allah maka kita tidak lagi berdukacita terhadap dosa-dosa lampau.

Diam-diam saya bersetuju dengan apa yang disarankan. Kami teruskan pembacaan bersama Sheikh Said. Kemudian beliau menjelaskan satu persatu rahsia ayat-ayat tersebut terutamanya bangun di sebelah malam untuk bertahajud dan membaca al-Quran.

Di sebelah siang kita sentiasa sibuk hal dunia. Maka di sebelah malam perlulah kita berehat dan beribadah.

“Berehat?” saya bertanya memikirkan tidurlah sebaik-baik cara untuk berehat. Sheikh terus menjawab, “Ya merehatkan  badan yang penat bekerja lalu menceriakan  jiwa dengan beramal ibadah. Tentu sukar untuk bangun dari tidur kerana ia memerlukan disiplin yang tinggi.

Staf – Shah, Jamal, Nasrul dan yang lain-lainnya – memandang kepada saya. Sheikh Said perasan tindakan spontan ini lalu bertanya, “kenapa wajah kamu kelihatan pelik?” Shah menjawab,

Kami semuanya tidak ada masalah bangun malam malahan berjaga sampai ke pagi pun tidak mengapa.

Bagus …. Allahamdulillah. Awak semua tidak tidur … bertahjud?

Zariff menjawab dengan tergelak, “bukan … bukan … kami sering keluar malam bersama kawan-kawan. Ada kalanya berbincang mengenai kerja tapi selalunya melepak.”

Masya Allah, awak tidak bertahajud?

Semuanya diam. Semua tunduk.

Jadi apa yang awak lakukan di sepanjang malam?

Kami mula jelaskan suasana kehidupan Kuala Lumpur di malam hari. Nyata sekali Sheikh Said sangat naif tentang dunia hiburan di Kuala Lumpur. Kami mempelawa dengan nada bergurau:

Sheikh mahu melihat keseronokan kehidupan di malam malam hari di sekitar Sungai Wang? Makan, minum, cahaya terang benderang di kelab-kelab malam dan pusat karoake?

Siapa yang mengunjunginya?

Ramai orang. Kesemuanya ingin enjoy dan berseronok  termasuklah segelintir orang Arab. Orang Mesir dari tempat  Sheikh pun ada.

Iakah? Masya Allah!

Sheikh mahu mencuba?

Baiklah, saya akan ikut kamu semua melihat hiburan di malam hari. Tetapi kamu berjanji untuk ikut saya ke masjid pada pertengahan malam hari untuk bertahajud.

Tentu sekali staf saya tersenyum. Mereka fikir Sheikh masih belum memahami keadaan di Kuala Lumpur.

Sheikh, mana ada banyak masjid yang di buka  pada malam  hari?

Tiada masalah, masjid tutup tidak mengapa. Kita ke rumah saya sahaja.

Sheikh bersungguh-sungguh bercerita tentang bangun malam. Hakikatnya, ramai yang sudah bangun malam di Kuala Lumpur tetapi dengan melakukan perkara yang melalaikan. Pilihannya begitu. Ramai yang berfikir mereka bahagia mengejar keseronokkan dunia walaupun kehabisan duit dan badan pula menjadi penat lesu. Ada kalanya sehingga lewat pergi ke tempat kerja. Nasib baik tidak dibuang kerja. Sheikh Said menyarankan,

Walaupun kehidupan kelihatan aman, tenteram serta bahagia tetapi tanpa mengingati Allah, sedikit demi sedikit menyebabkan kita lalai sehingga akhirnya mengingkari nikmatNya. Malahan kita  manjadi lupa akan diri sendiri. Kemudian, hilanglah kebahagiaan.

Beribadah mengingati Tuhan dengan bersolat sendirian di tengah malam memberi ketenangan jiwa, hati sihat dan akal fikiran waras. Keesokan harinya – InsyaAllah – kita akan mempunyai semangat luar biasa. Tubuh cergas  dan jiwa ria menjalani kehidupan harian.

Kebahagiaan ini akan berpanjangan. Moga ia berakhir dengan kematian dan InsyaAllah mereka yang sentiasa mengingati Allah tidak akan dilupakanNya. Syurgalah kediaman kekal abadi. Penghuni syurgalah yang bakal mendapat kegembiraan teragung yang sebenar-benarnya.

Biar kita termasuk dalam golongan tersebut.