Berada di Satu Ufuk

Tidak semua manusia akan sampai ke satu ufuk; iaitu ufuk usia tua.

Masa mengalir tanpa henti atas ketentuan Ilahi. Manusia bernafas sehingga rezeki usia yang dibekalkan Allah sudah habis untuknya. Tidak ada siapa yang tahu ukuran keranjang usianya.   Mengiringi usia itu, sejumlah catatan amal baik atau amal buruk. Mengiringi usia itu, sejumlah perubahan fizikal yang dapat dilihat dengan mata kasar. Manusia seharusnya menjadi kaya dengan pengalaman dan tajam pemikiran. Ada yang berlaku sebaliknya.

Pokoknya, tidak semua orang mendapat rezeki usia tua. Ajal maut di tangan Tuhan dan manusia dikehendaki reda atas segala ketentuan Allah. Oleh sebab itu orang yang mendapat rezeki panjang umur hendaklah banyak-banyak bersyukur dan bersegera membaca catatan sejarah diri sendiri.  Membaca bukan sekadar membaca, tetapi membaca dengan air mata.

Ini satu peluang yang luar biasa. Inilah waktu membasuh jelaga keburukan masa lampau. Bagi insan yang bijaksana, inilah ufuk keemasan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada dirinya. Inilah ufuk penyesalan dan tangisan yang paling berharga.

Abul Atahiyah cukup terkesan dengan ufuk ini (usia tua) ini. Di sana terkumpul segala kelemahan fizikal seorang  insan dan keresahan jiwa mengenangkan apa yang terjadi pada zaman muda. Inilah sebuah puisi yang tulis oleh Abul Atahiyah yang dikutip oleh Dr. Aidh Albdullah Al-Qarni: :

“Kutinggalkan masa muda dengan cucuran air mataku 

tetapi apalah gunanya tangisan dan rintihan itu

Aduhai kiranya masa muda kembali sehari saja 

maka aku akan memberitakan kepadanya

apa yang dilakukan di masa beruban”.

[Petikan ‘Menyucikan Qalbu’ (tajuk asal ‘Siyaathul Qulub’) oleh Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni, edisi bahasa Melaysia oleh S.A.Majeed].

Ini boleh dilihat sebagai satu kiasan, malah satu realiti betapa manusia (yang bertakwa) merasa gelisah atas kesalahan zaman muda yang sempat diharunginya. Masa muda tetap tidak akan kembali lagi, malah masa muda itu sudah lebur. Ia sudah pergi jauh namun jejaknya masih melekat di dalam batin.

Air mata penyesalan akan menjadi rahmat. Kegelisahan akan menjadi tenaga penggerak ke arah makruf dan penyucian jiwa.  Orang yang dikurniai Allah sampai ke ufuk ini pasti satu rezeki yang tidak ada tolok bandingnya. Namun setelah manusia ditakdirkan mencecah usia renta, dia akan kembali menjadi teramat lemah.

Mafhum Firman Allah : “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah (air mani yang hina), selepas keadaan lemah itu (zaman kanak-kanak) Dia menjadikan kamu kuat (ketika muda). Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.” (Mafhum Surah Al-Rum [30]:54)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]