Tip Haji (2): Kematian

Bolehkah kita menduga saat-saat kematian?

Tentu sekali kita boleh menduga tetapi yang akan menentukan ajal maut hanya Allah SWT. Ia jelas lagi nyata melalui surah Al-Munafiqun melalui ayat 11 dan 12

Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:

“Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Tips kami buat bakal jemaah haji, ambillah masa sejenak untuk merenung dan membayangi saat-saat kematian yang pasti tiba dalam siri perjalanan manusia menuju ke titik akhir, syurga yang kekal abadi. Bayangan kematian ini hanyalah satu refleksi betapa kita merupakan manusia yang lemah, fakir dan kerdil yang akhirnya akan kembali kepada dia dalam keadaan yang lemah lagi tidak terdaya.

Kami mencatatkan syurga sebagai satu titik akhir kerana itulah titik nokhtah manusia yang akan kekal selama-lamanya. Siapakah yang mahu ke neraka? Siapakah yang mahu singgah sebentar, merasai keperitan yang tidak tertanggung dan barulah beredar memasuki syurga dalam keadaan dahi yang bertanda. Atau adakah manusia yang mahu kekal selama-lamanya di sana?

Membaca kisah-kisah peringatan dan amaran Allah di dalam al-Quran tentang azab neraka sepatutnya menggoncangkan perasaan. Kami fikir, tidaklah kami mahu singgah walau sesaat di dalam neraka bagi menghadapi pembalasan di atas keingkaran dan kerosakan yang dilakukan semasa hidup di muka bumi. Salah satu peringatan Allah betapa dasyatnya azab neraka melalui surah Al-Nisaa ayat 56,

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah maha kuasa, lagi maha bijaksana

Tidak kira siapa kita, sultan, raja, perdana menteri, profesor, pengarah, ahli perniagaan, pemain bola, guru, tukang masak pemandu, penulis, suami atau isteri pastinya akan menghadapi saat-saat nyawanya ditarik perlahan-lahan sehingga akhirnya berpisah dengan jasad.

Bayangkanlah dengan cara yang mudah. Bilakah majoriti manusia menemui ajalnya? 60 tahun? 70 tahun atau 80 tahun? Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, secara purata rakyat Malaysia meninggal dunia ketika berumur 74 tahun. Lebih spesifik, wanita lebih panjang usianya (76 tahun) berbanding dengan kaum lelaki (72 tahun).

Baiklah, marilah kita menggunakan angka 74 sebagai umur kematian. Ambillah 50% daripada umur tersebut, iaitu 37 tahun. Jika kita menunaikan fardhu haji ketika usia tersebut – 37 tahun – maka apabila pulang daripada Mekah dan Madinah, masa yang tinggal lebih pendek daripada masa yang telah kita lalui. Maksud kami, saat-saat kematian sebenarnya sangat hampir berbanding dengan masa yang telah kita lepasi.

Bagaimanapun, angka tersebut hanyalah dugaan berdasarkan purata umur kematian. Sekali lagi, ajal maut di tangan Allah. Ia tidak lambat sesaat dan tidak cepat sesaat. Ada orang yang disahkan mengidap kanser dan dijangka hanya dapat bertahan selama enam bulan terus hidup bertahun-tahun lamanya. Ada pula yang segar-bugar tiba-tiba tersepak tunggul kayu, jatuh dan terus meninggal.

Buat bakal jemaah haji, nikmat mana lagi yang hendak kita dustakan? Allah memberi peluang untuk menunaikan fardhu haji, kemudian dosa-dosa diampunkan, pahala digandakan dan seolah-olah kita dilahir sesuci bayi. Bayangan kematian pula nyata sangat-sangat menghampiri. Mahukah kita kembali melakukan sesuatu yang tidak diredha Allah? Apa lagi motivasi yang perlu dilontarkan?

Sepanjang perjalanan melakukan ibadat haji, kita akan melihat pelbagai bayangan tentang kehidupan, kematian, Padang Masyar, dan tingkat-tingkat manusia di sisi Allah. Ia datang secara semulajadi bagi mereka yang mahu berfikir tentang kebesaran Allah.

Bayangkan bagaimana manusia bertawaf dan bersaie, bergerak menuju ke Arafah, bermalam di Mudzalifah, melontar di Mina dan pelbagai kegiatan harian yang berteraskan amal ibadat kepada Allah semata-mata. Ia dilakukan bersama jutaan manusia lain. Setiap satunya mengandungi pelajaran yang perlu ditekuni dan diamati.

Bayangkan cerita-cerita yang dilontar oleh jemaah yang terdahulu. Ada yang tidak langsung bermasalah, ada yang sesat berjam-jam lamanya, terdapat yang menderita kesakitan, ada yang segar bugar dan ada pula yang dengan senang hati sentiasa berada di Masjidil Haram atau Masjid Nabi. Bagaimana pula yang hanya berehat-rehat di hotel?

Bayangkan pula ada yang diberi peluang untuk solat di saf pertama. Ada pula yang tempat solatnya sentiasa di atas tangga. Malah ada jemaah yang sentiasa bersolat di luar masjid, tidak kira di awal atau di hujung musim haji. Bayangkan pula ada jemaah mampu berada di Hijir Ismail dan Raudhah hampir setiap hari walaupun ia ruang yang sangat sempit berbanding dengan jumlah manusia yang hadir.

Segala-galanya merupakan anugerah, perbandingan, ujian, pengajaran yang mahu disampaikan Allah kepada setiap jemaah yang mahu berfikir. Barangkali, inilah rupa pembalasan selepas hari kematian di mana manusia yang dipanggil mengadapnya akan dibicarakan. Sepanjang pembicaraan tersebut layanan yang diberikan sangat berbeza-beza berdasarkan hubungan dengan penciptanya sepanjang jemaah diberi peluang bernafas di atas muka bumi.

Sebelum berangkat ke Tanah Suci, renunglah sejenak soal kematian. Fikirkan tentang Padang Masyar. Bayangan tersebut – insyaAllah – akan muncul semula di Mekah dan Madinah tetapi kali ini ia boleh menusuk hati dan perasaan. Perasaan yang mahu dibawa pulang!