Saat Seoul Menjadi Hijau

Mengenangkan saat-saat pertama kami tiba di Seoul, jiwa menjadi sebak yang kemudiannya, tanpa sedar, tidak mahu saya mengulanginya lagi. Ianya bukan seperti kenangan-kenangan ‘sukar’ tetapi indah dan manis pernah saya lalui ketika kanak-kanak dulu, ada banyak yang mahu saya ulanginya lagi tetapi yang ini; geleng kepala.

Juzuk-juzuk awal kami di Korea adalah juzuk pengajaran dan pengalaman. Kami datang dengan bekal tawakal yang membuahkan rasa seorang hamba. Sesekali terbit rasa lucu (pada diri sendiri) mengapa begitu ‘berani’ mahu merantau ke sini tanpa bekal bahasa dan ‘wang ringgit’ yang sewajarnya? Tetapi uniknya, ketika itu yang kami (saya dan suami) fikirkan adalah Tuhan ada, Tuhan yang melorongkan jalan dan Dia yang akan memberi kemudahan. Syukurlah, Allah SWT memudahkan segalanya sehingga kini.

Saya cuma tidak mahu mengulangi saat-saat meninggalkan suami dengan anak kecil yang menangis di pagi hari. Kemudian menunggu bas dalam cuaca sejuk mencengkam, bersama fikiran antara topik yang bakal dibincang pensyarah di kelas dengan anak kecil yang mahukan susu ibunya sendiri. Saya tidak sanggup lagi membayangkan wajah suami yang diam bertarung sabar apabila saya pulang agak lewat dek tugasan kuliah. Diamnya bukan marahkan saya tetapi memujuk hatinya yang gelisah kerana bayi kami terus meraung.  Ditambah ragam anak sulung yang gemar mengganggu adiknya.

Dalam sebuah rumah yang bernama bilik, di situlah dunia kami empat beranak. Saya terus menyusukan bayi sehingga dia tidur, kemudian baharulah dapat melakukan hal lain; solat, memasak, membasuh, melayan anak sulung dan jika fizikal masih kuat, saya menyiapkan kerja kursus. Acapnya, saya tidur dalam keletihan otak yang terus bekerja. Selama satu tahun setengah, rutin itu kami jalani dengan tabah. Saya dan suami saling berdiam dan sesekali bertengkar kecil, namun kemudian kami bermuhasabah. Konflik tidak dapat dielakkan dalam keadaan sulit begitu, dia cuba memahami saya, begitu juga saya terhadapnya. Cara fikirnya lebih tenang, saya pula berbeza. Kadangkala sebaliknya.

Sewaktu membawa anak-anak ke kedai, anak sulung kerap merengek mahukan permainan yang disukainya. Melihat harga yang ‘sangat mahal’, kami menggeleng kepala langsung memujuknya, “Kita beli yang lain ya, yang ni mahal sangat, umi tak ada duit lagi, bila ada duit kita beli ya.” Syukur, si kecil 4 tahun itu memahaminya. Allah SWT itu Maha Kaya. Tanpa meminta di mulut, Dia Maha Mengetahui apa yang terkandung dalam hati kami. Selalu sahaja nikmatNya muncul tak diduga. Misalnya, kami berhasrat untuk mengunjungi Gunung Seoraks, gunung nasional Korea Selatan yang terletak di utara. Perancangan Allah SWT sungguh luar biasa apabila rakan-rakan dari Malaysia menyewa MPV dan mengajak kami bersama mereka ke gunung terkenal itu. “Tak perlu bayar apa-apa,” kata mereka. Allahuakbar!

Di saat wang sudah kehabisan, Allah SWT menggerakkan hati Profesor Koh Young Hun memberi sedikit kerja tambahan untuk saya selesaikan dari rumah. Tidak perlu ke tempat lain dan tidak mengambil masa saya dengan suami dan anak-anak. Waktu yang paling ‘memalukan’ dan tidak ingin saya ulangi lagi (dengan izin Allah) adalah ketika saya dan suami mula berkonflik kecil. Semuanya gara-gara si sulung yang ligat. Waktu saya ke kelas, si sulung gemar mengganggu adiknya membuatkan rumah bingit dengan tangisan. Suami yang sabar mula keletihan. Saya pulang dengan wajah suami yang tidak ceria. Anak sulung sering menjadi tempat saya melepaskan tekanan dek aktifnya yang luar biasa.

Saya lalu bercakap pada diri. Sesuatu perlu dilakukan dan kemudiannya, dengan tebal muka, saya menelefon penyelia. “Prof, adakah kerja tambahan untuk saya? Saya mahu masukkan anak ke tadika dan yurannya agak mahal.” Setelah telefon ditutup, saya pejam mata. Itulah pengorbanan seorang ibu kepada anaknya. Dan pengorbanan isteri untuk suami yang sering berkorban. Ya Allah, semoga ianya tidak berlaku lagi.

Musim bergantian, Ogos 2016 menyaksikan pohon-pohon menghijau di seluruh Korea. Bila Oktober menjelang, pohon-pohon menjadi merah, kuning, oren, ungu dan pelbagai lagi. Allahuakbar! Sebaliknya pada hujung Disember, dedaunan meninggalkan batang. Terpacak tanpa mahu ditemani sesiapun hatta burung atau kumbang. Gara-gara suhunya yang membeku. Begitulah Allah SWT mahu menceritakan kepada manusia bahawa kehidupan tidak selamanya indah, tidak juga selamanya susah. Ianya bergantian. Kerana destinasi syurga bukan di dunia.

 “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?” (Al Fussilat:53)

Saat Seoul menjadi hijau, saya terus mencari ibrah permusafiran yang dapat mengukuh keimanan pada Allah SWT.