Rumah Sakit: DIA Mahu Saya menangis

coverrsakitKATA PENULIS

RUMAH SAKIT: DIA Mahu Saya Menangis bermula sejurus kami menamatkan kursus Penulisan Gaya MKI pada 2015. Salah seorang peserta bertanya, “Prof … saya ingin menulis kisah ujian menjaga suami diserang sakit jantung. Banyak yang boleh diceritakan. Boleh Prof?”

Kelihatan ia cadangan menarik. Kenapa? Kehidupan keluarga sendiri juga tidak dapat dipisahkan dengan kisah-kisah bencana tubuh. Ayah dan Wan sudah lama meninggal. Rumah sakit sering dikunjungi mereka. Ayah menghadapi masalah lemah jantung, diabetis dan tekanan darah tinggi. Wan pula telah diserang angin ahmar. Dua jari kakinya terpaksa dipotong akibat komplikasi diabetis. Dan kedua-duanya meninggal di kala berusia 59 dan 58 tahun.

Saya dan kita sering melihat ambulan. Sirennya ada kesan kepada jiwa dan perasaan. Bagaimana rasa berada di dalam ambulan menghantar ayah sendiri ke rumah sakit? Bagaimana pula jika diri sendiri berada di dalamnya sebagai pesakit. Tidak semua dapat bercerita kerana tiada pengalaman. Jika ada sekali pun masih terdapat halangan. Mereka mahu bercerita tetapi tidak boleh dan mahu menulis. Bagi yang berfikir secara kritikal, setiap peristiwa ada pandangan sisi yang boleh dinyatakan untuk berfikir. Lebih bermanfaat jika ia membawa diri lebih hampir kepadaNya.

Realitinya, saya berpenyakit. Ada diabetes, darah tinggi, masalah jantung dan urat saraf, batu karang, psoriasis, Bell’s Palsy, pernah menaiki ambulan, beberapa kali masuk wad, pernah melakukan prosedur angiogram dan angioplasty, ECG dan pelbagai lagi yang dikaitkan dengan sakit dan rumah sakit.

Di sebalik segala-galanya, usia sudah melebihi 50 tahun. Aktif ke sana-sini dan mampu melakukan banyak perkara yang saya teruja, gembira dan suka. Saya cuba mengawal segala-galanya. Lalu kesemua penyakit-penyakit ini hanya menjadi isyarat untuk bersedia menghadapi satu lagi detik penting dalam kehidupan iaitu kematian. Ia bukan penyakit. Namun segala penyakit yang ada boleh dijadikan sebab atau disebut orang sebagai asbab menemui ajal.

Hakikatnya, ajal maut tidak lambat dan tidak cepat sesaat. Kita tahu begitu tetapi amalan kehidupan menggambarkan sebaliknya. Kematian semakin tiba bila usia kita bertambah. Sihat atau sakit bukan kriterianya. Namun ia boleh jadi penyebab bila masa dan saat itu sampai.

Namun – melalui ilmu yang dipinjamkan – saya melihat sakit dan rumah sakit melalui kerangka yang lebih luas. Kita sebenarnya hidup dalam rumah sakit terbesar lagi canggih. Dunia – mengikut pandangan sisi – seolah-olah begitu. Penyakit dihadapi bermula sejak akil baligh. Paling kronik penyakit syirik atau menduakan Allah. Hampir 80 peratus penduduk dunia sedang menghadapi wabak ini.

Mereka yang discaj dalam keadaan mengidap penyakit ini akan terus sakit sampai bila-bila. Ia satu-satu penyakit yang tidak boleh disembuh. Lalu pastikan kita meninggalkan rumah sakit terbesar dalam keadaan sihat sejahtera. Paling tidak kita meyakini Allah SWT itu yang kita sembah dan Nabi Muhammmad SAW sebagai pesuruhNya.

Sungguh … banyak lagi penyakit lain seperti hasad, dengki, khianat, fitnah, bakhil, buruk sangka dan jika disimpulkan dengan kenyataan mudah, penyakit “meninggalkan suruhan dan melakukan larangan” Allah SWT. Penyakit-penyakit ini memberi kesan besar sehingga melekat DOSA pada tubuh badan.

Kesemua pesakit akan discaj daripada hospital apabila masanya telah lupus – kematian – bukan kerana telah sembuh. Itulah satu-satu jalan meninggalkan rumah sakit terbesar ini. Mereka yang sihat sejahtera – akhirnya – dapat memasuki syurga di mana tiada lagi rumah sakit dibina. Mereka hidup selama-lamanya tanpa rasa sakit lagi.

Sebaliknya, jika pesakit discaj dalam keadaan belum sembuh sepenuhnya, mereka perlu tinggal di perkampungan neraka sebelum dihantar pulang ke syurga. Ada yang kekal selama-lamanya, tidak sembuh-sembuh dan menanggung penyakit kronik yang tidak baik-baik. Bagaimana mahu sembuh jika kulit yang dibakar akan sentiasa diganti baru dan dibakar semula. Ia proses berulang-ulang sampai bila-bila.

Cadangan mahu bersama menulis pengalaman sakit dan rumah sakit ini tidak kesampaian. Banyak halangan. Saya tinggalkan catatan-catatan yang telah ditulis beberapa bulan sehinggalah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan penyakit jantung kronik pada 1.6.2016 sejurus menyambut tarikh kelahiran ke 52 pada 19.5.2016. Ia berlaku selepas 10 tahun melaksanakan prosedur Angiogram yang menyebut, “membaca laporan Dr Nizar (melalui Dr Rahman – DEMC) membolehkan saya menyatakan yang jantung Prof boleh berfungsi lebih 10 tahun lagi.”

Banyak perkara dapat saya kutip sepanjang seminggu dirawat di rumah sakit kali ini.  Dikatakan diabetes yang saya hidapi hampir 20 tahun merosakkan urat saraf yang sepatutnya menghantar isyarat sakit ke otak. Lalu serangan jantung kronik tidak memberi rasa sakit keterlaluan. Maksudnya, saya boleh menemui kematian dalam diam.

Namun ajal saya tidak tertulis pada tarikh tersebut. Saya memilih untuk ke hospital walaupun dalam keadaan biasa memilih untuk menyapu minyak panas dan berehat di katil. Hadir ke hospital juga bukanlah penentu untuk nyawa terus panjang. Setiap hari ada sahaja pesakit yang telah discaj daripada PPUM dan hospital terbesar. Mereka tidak akan kembali lagi.

Benarlah, ajal maut di tangan Allah SWT. Lalu tidak mahukah saya menangis melihat kekuasaanNya? Saluran darah yang tersumbat 100 peratus telah dibuka. Apakah itu boleh menjamin saya boleh hidup 10 atau 20 tahun lagi mengikut purata kematian bangsa Melayu? Tidak. Benar … kita berusaha kerana tidak tahu bila perkara ghaib ini – kematian – akan berlaku walaupun ia pasti berlaku.

Saya hulurkan RUMAH SAKIT: DIA Mahu Saya Menangis ketika hati tua saya terasa begitu sebak dan sayu sekali. Saya menangis hampir setiap malam ketika berada di PPUM. Saya telah discaj dari PPUM tetapi saya tahu masa untuk berada di hospital yang lebih besar tidak berapa lama lagi.

Banyak kerja-kerja belum diselesaikan. Dia memberi sedikit pinjaman masa untuk lebih bersedia, bersungguh melakukan pelbagai perkara bermanfaat dan sungguh …. saya berdoa agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa agar bila pergi, saya pergi dalam keadaan sihat sejahtera. Pergi tanpa penyakit!

Kami mohon keampunanMu.