Hidup sesaat

Sungguh … saya menyedari begitu banyak kekhilafan pemikiran berlaku ketika mula berfikir dan mencari-cari apakah kebahagiaan agong yang telah dinikmati sepanjang kehidupan di dunia.

Hanya ada satu keadaan atau arahnya sehala yang membolehkan manusia mengukir kata, “aku bahagia.” Selainnya, ia bersifat pembohongan perasaan, khayalan atau kata-kata. Ramai berpura-pura dengan nilai kehidupan. Kita amati kenyataan berikut,

(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertakwa.

(Terjemahan surah Hud : 49)

Hampir 80 peratus penduduk dunia tidak bertaqwa. Stastik terkini (semasa bab ini ditulis) menunjukkan itulah jumlahnya manusia syirik dan menduakan Allah. Jika kekal begitu sehingga dijemput pulang maka mustahil mereka bahagia. Baki 20 peratus meyakini ada Allah, Dia yang patut disembah, wujud hari penghakiman dan mereka percaya syurga dan neraka. Perhatikan hadis ini,

Allah SWT berfirman pada hari kiamat: “Hai Adam! bangkitlah, siapkanlah sembilan ratus sembilan puluh sembilan keturunanmu (untuk ditempatkan) dalam neraka dan satu akan ditempatkan dalam syurga.

(Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

Latar ini amat menarik untuk difikirkan. 1/1000 merupakan nisbah sangat kecil meskipun yang mempercayai Allah SWT di sekitar 20 peratus penduduk dunia. Maksudnya, ada di antara manusia mempercayai dan meyakini Allah SWT tetapi tetap melanggar perintah dan meninggalkan suruhanNya. Jika mereka perlu dihisab dan keputusannya perlu berada di dalam neraka terlebih dahulu, tentulah mereka bukan daripada golongan bertaqwa.

Benarkah begitu? Lalu bahagiakah mereka di dunia? Kebahagiaan dunia dan akhirat hadirnya bersifat kesalingan. Bahagian dunia kerana ingin mencapai kebahagiaan di negeri akhirat. Dunia ini bersifat sementara. Maksudnya, sesuatu yang tidak kekal, maka apa yang terkandung di dalamnya juga bersifat sementara.

Tidak mungkin ia bersifat mutlak. Sebagai satu misalan, kita berbahagia menyambut kelahiran anak, dianugerahkan PhD, bergelar profesor, berjaya dalam perniagaan dan pelbagai lagi namun rasa bahagia itu menyusut selepas beberapa ketika.

Kenapa? Fitrah manusia tidak pernah mencukupi kecuali mereka bersyukur kepadaNya. Lihatlah … mereka yang rasuah terus-terusan melakukannya walaupun sudah kaya, berpangkat dan berkuasa. Renunglah kenapa rumah Allah SWT tidak penuh-penuh. Perhatikan wanita-wanita yang tidak menjaga aurat dengan sempurna.

Mereka mengejar “kebahagiaan” dunia sehingga melupakan bahagian yang lebih mustahak, keperluan menyembah dan beribadat kepadaNya. Kejadian manusia itu sendiri bersebab. Allah SWT telah menyatakan melalui ayat 56, surah adh-Dhariyat yang bermaksud:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Lalu kebahagiaan hakiki sebenar berkisar kepada tujuan manusia dijadikan. Ia perlu selari. Namun kebanyakan manusia tidak berfikir begitu. Dunia melebihi akhirat dan tidak sebaliknya. Allah SWT memberi amaran melalui ayat 26, surah ArRa’d yang bermaksud,

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya dan mereka (yang ingkar): Bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.

Saya termenung memikirkan dengan apa yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui ayat 45, surah Yunus yang bermaksud,

Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

Nilainya satu saat berbanding kehidupan di syurga Allah? Apakah kebahagiaan yang perlu dicari untuk nilai selama itu? Sungguh … kami mohon keampunan Mu ya Allah.