Siapa minat aiskrim?

Saya peminat tegar ais krim!

Saya mempercayai ais krim campuran susu tulen sentiasa menyegar dan menyihatkan tubuh badan. Ia dapat menggembira hati  lalu menghilangkan stress.

Saya teruja apabila mendapat tahu sebuah muzium ais krim akan dibuka di New York. Muzium tersebut akan dibuka selama sebulan bermula 29 Julai hingga 31 Ogos 2016 dengan bayaran USD18 untuk dewasa dan USD12 untuk kanak-kanak. Alangkah seronoknya andai kami sekeluarga berkesempatan menghadiri majlis pembukaan muzium tersebut dan menikmati berbagai rasa dan aneka ais krim dari seluruh dunia.

Baru-baru ini ketika membawa anak-anak beriadah di Taman Tasik Perdana, saya melihat seorang anak kecil sedang menangis dan tidak  menghiraukan pujukan ibunya. Namun apabila bapanya datang dengan membawa ais krim potong dengan sekelip mata budak itu berhenti menangis dan tersenyum girang. Budak itu kemudiannya meghulur ais krim ke arah ibunya. Ibunya malu-malu kucing menjamah ais krim tersebut sambil dilihat oleh keluarga yang gelak ria  melihat gelagat anak itu.

Saya teringat ketika di zaman kanak-kanak dahulu, emak dan abah selalu membelikan ais krim “Walls” untuk saya. Setiap kali mendapat ais krim emak akan bertanya, “sayang emak tak?” Sudah tentulah jawapan saya  “saya sayangkan emak.” Emak tersenyum dengan sindiran, “nanti besok dapat lagi tapi mesti sayang lebih lagi”.

Emak tahu saya sukakan ais krim dan kalau boleh setiap hari saya ingin menikmati kelazatannya. Pada masa dahulu ais krim berjenama “Walls”  harganya mahal. Kami tidak mampu membelinya setiap hari. Sebagai ganti emak akan membuat ais krim Malaysia dengan berbagai rasa, milo, kopi  dan nenas.

Setiap petang saya akan makan ais krim Malaysia hasil tangan emak saya. Ada kalanya emak akan memberi kepada rakan-rakan. Apa lagi, mereka semuanya gembira seronok menyonyot ais krim tersebut.

Terima kasih Makchik, ehh Akak, nanti besok jumpa lagi

Alangkah indahnya takdir hidup saya bila ditemukan jodoh dengan  seorang peminat ais krim. Kami sama-sama suka menikmati ais krim “Magnum”. Kini Magnum mempunyai berbagai-bagai rasa seperti Brownies, Almond dan Truffle. Kami sukakan semuanya walaupun kegemaran masih lagi Magnum Classic. Di dalam peti sejuk kami sentiasa mempunyai perbagai stok Magnum. Kami teruja menjamu tetamu dengan ais krim ini.

Kemana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

Kesemua anak-anak sukakan ais krim. Bezanya, mereka mempunyai citarasa berbeza. Anak sulung sukakan ais krim di McDonald terutamanya perasa cendol yang baru diperkenalkan. Saya beritahu kepada beliau, “kalau Papa inginkan cendol mestilah di gerai mamak di bawah pohon.”

Elysya pula suka makan ais krim di Mall seperti Baskin Robin.  Beli semangkuk dan boleh ditambah dengan kekacang, bijirin dan buah-buahan. Ianya amat sedap dan mengenyangkan. Zayani pula suka ais krim tutti frutti yang campuran ais krimnya boleh dibuat mengikut cita rasa sendiri. Saya dan isteri beruntung kerana akan tumpang sekaki merasai kesemua ais krim mereka.

Pada bulan Ramadhan tahun ini, kami sekeluarga telahpun berbuka puasa dengan makan ais krim Godiva di Pavillion. Walaupun harganya mahal sedikit RM22.25 untuk satu ‘scoop’ namun amat berbaloi kerana rasanya amat sedap. Ianya memulihkan tenaga dan menyegarkan badan dari dahaga dan kepenatan berpuasa di siang hari.

Kami juga gemarkan ais krim Haagen Dazs. Pernah satu ketika saya ingin mencuba flavor ‘Raisin & Ram’ kerana ramai kawan mengatakan ianya amat sedap sekali. Si penjual ais krim memandang saya lalu bertanya “Maaf Encik, adakah Encik orang muslim?”

Di dalam hati saya tertanya-tanya apakah kaitannya di antara ais krim dengan muslim. Si penjual ais krim menjelaskan kepada saya bahawa ais krim tersebut mengandungi alkohol. Saya terkejut dan bertanya “ habis yang mana tiada alkohol?” Beliau menjawab “hanya ‘Raisin & Ram’ mengandungi alkohol, yang lain tiada alkohol.” “Okeylah, saya ingin ais krim ‘chocolate  and nuts’.

Seandainya saya ke muzium ais krim di New York nanti, saya akan cuba kesemua jenis ais krim tanpa alkohol dan ais krim berasaskan yogurt. Apabila sudah berusia setengah abad ini kenalah berhati-hati dan ais krim yogurt adalah pilihan yang utama kerana ia sedap dan lebih sihat untuk dimakan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, nikmatilah ais krim kesukaan anda sebelum ianya cair. Begitu jugalah hakikat kehidupan ini, berusaha beramal kepada Allah untuk menikmati syurga sebelum terlambat.

Ibarat aiskrim yang sudah cair!