Bahagia Berganda Menurut Zamri

Buat pertama kalinya saya memilih tempat semata-mata mahu menulis ayat-ayat ini. Maka, dari dalam koc C kerusi nombor 10C, saya duduk pada kedudukan kerusi membelakangi perjalanan. Lelaki asing di sebelah diam dalam tidur, tubuhnya mula condong ke arah saya dan gerakan terhenti kerana kedudukan kerusi yang ditegakkan menahan kepala beliau.

 

Lelaki yang duduk di hadapan beralih menuju ke kafe dalam koc yang sama. Beliau meninggalkan beg sandang di atas kerusi, tanda kerusi kosong itu sudah dimiliki oleh pemegang tiket.

 

Bukan semua orang selesa melihat pergerakan dari luar gerabak dalam keadaan terbalik, seolah-olah semua objek di luar sedang meninggalkan mereka. Jika beralih kerusi dan duduk pada posisi selari mungkin lebih selesa. Mata kita melihat gerakan di luar sedikit berbeza. Seolah-olah mendekati setiap satu objek yang dilihat.

 

Tetapi akhir sekali, apa kedudukan sekali pun, kita tetap sampai ke tempat mahu dituju. Cuma bagaimana rasa keluar dari gerabak, itu yang berbeza. Ada yang rasa mual, ada yang rasa senang hati dan ada pula yang rasa tidak selesa.

 

Jika saya dapat tamsilkan hidup ini seperti sebuah perjalanan keretapi, terus dalam fikiran membayangkan gerabak-gerabak itu petak-petak umur dan kerusi-kerusi yang tersusun itu merupakan petak-petak cerita. Manakala ruang lorong laluan tengah seperti lorong masa yang sedang berjalan.

 

Buku ini merupakan gabungan gerabak-gerabak umur yang sudah dilewati oleh kedua-dua orang penulisnya, Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim dan Dato Dr Mohd Zaini Mohd Ariff . Mereka beralih dari satu kerusi ke satu kerusi mewakili episod hidup mereka.

 

Pada setiap peralihan, mereka mentafsir semula peristiwa dalam kerangka mencari maksud bahagia. Lalu dengan izin Allah, peristiwa tidak hanya difahami bagi menjawab soalan siapa, apa dan di mana. Soalan-soalan mula melangkaui kenapa dan bagaimana bahagia timbul dalam situasi begitu.

 

Jawapan pada soalan-soalan ini disimpan kemas dan dilontarkan pada pembaca secara mudah. Saya yakin apa yang mudah dan memudahkan dalam cerita tidak lain tidak bukan bertujuan menguraikan kekeliruan kita menggapai bahagia.

 

Sehingga perenggan ini ditulis, saya sudah melepasi beberapa stesen. Berbaki setengah jam lagi saya akan tiba di tempat yang dituju. Dari pandangan sisi mata, padang, bukit-bukau dan hutan  hijau yang mengiringi landasan dapat dilihat jelas. Sungguh mendamaikan kerana apa yang dapat dilihat memberi rasa lapang berfikir dan seolah-olah memberi saya masa mengingati episod-episod hidup yang penting.

 

Membaca bab demi bab buku ini memberi rasa yang sama, bab demi bab menjadi pandangan sisi dalam menjelaskan maksud takdir yang dilalui. Kematian, kehidupan, pertemuan dan perpisahan. Ada bab-bab hidup selektif yang menguatkan hati yang akan diingati dan pada masa mesti dilupakan.

 

Kehidupan kita sentiasa tidak berhenti membajak kebenaran dan menyuburkan hikmah yang diwakili dalam kumpulan perkataan yang memberi makna. Semuanya semata-mata mahu membuka sangkar ketakutan dalam kita bercerita mengenai bahagia.

 

Bahagia dalam buku ini cuba disampaikan dalam pelbagai suara. Maka kita melihat pesan-pesan dalam buku ini dalam wajah berbeza. Pesan-pesan daripada bapa kepada anak, seorang rakan kepada rakan, seorang suami kepada isteri dan seorang penulis kepada pembaca terangkum dalam naskhah ini.

 

Sifat bab demi bab dalam buku ini memujuk agar kita dapat memperhalusi maksud secara santun dan tekun sehingga akhir halaman ini. Inilah naskah yang mengingati dan diingati dan menjadi naskhah yang dikenang-kenang.

 

Dalam buku ini saya terkesan dengan kisah dugaan hidup lelaki bernama Jason Lim yang terus memberi dalam sabar ketika musibah melanda usaha tani beliau.  Jason, dia tidak berhenti memberi kepada sahabat dan menjadi manusia yang bersangka baik kepada Tuhan melalui kunci sabar.

 

Kepada Allah, kita memohon hidayah buat Jason yang tidak pernah membuang kunci bahagia (sabar) dalam hidup.

 

Saya yakin dan percaya setiap orang akan membaca satu persatu bab dalam buku ini dan akan membawa keluar beberapa kisah yang melekat dalam hati dan fikiran. Situasi ini lebih mudah berlaku apabila ia menyentuh pengalaman personal kita secara halus.

 

Saya mengakhiri kata-kata pendulu ini dalam memasuki terowong stesen akhir dengan kata-kata seorang murid yang dimuliakan oleh gurunya bagi menulis kata pembuka. Meskipun sudah menulis lebih 25 buah buku, rasanya tidak serupa berbanding rangkuman rasa yang diwakili dalam kumpulan kata ini.

 

Sesungguhnya saya juga berbahagia meninggalkan kata-kata dalam buku ini dan berpeluang mengulit makna baharu melalui kata-kata yang ditinggalkan jejak oleh Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim dan Dato’ Dr Mohd  Zaini Mohd Ariff. Nikmat mana lagi mahu saya dustakan? Apa yang saya terlupa dilupakan, maka diingatkan, mana yang bengkok diluruskan dan apa yang tidak diketahui maka diajarkan. Nikmat mana lagi mahu saya dustakan?

 

Para pembaca, selamat melewati gerabak demi gerabak sambil beralih duduk dari satu kerusi ke satu kerusi cerita bahagia yang akan memberi makna baharu dalam hidup anda. Izinkan diri tenggelam bersama dalam memaknai kehidupan melalui buku ini.