Berputar-putar pada perkara sia-sia

Hidup bererti, mati bererti. Maksudnya hidup bermanfaat dan selepas mati masih mendapat manfaat daripada kehidupan.

Maka itu manusia harus membuat perhitungan. Tidak ada dolak-dalik. Tidak ada pura-pura. Setiap orang sudah mendapat peraturan hidup dan sudah membacanya. Maksudnya manusia diutus Rasulullah (s.a.w) yang menyampaikan ajaran al-Quran dan sunah.

Hidup ini terbatas dalam keterbukaan. Ini bermakna ada pilihan antara mensia-siakan hidup dengan memanfaatkan hidup. Ada pilihan antara amanah dengan khianat. Ada pilihan antara ikhlas dengan pura-pura. Begitulah seterusnya dan seterusnya.

Begitu atau begini dalam menjalani kehidupan tergantung kepada pertimbangan akal. Akal dan iman selalunya menunjuk jalan kebenaran. Pilihan terbaik buat manusia. Elok sama-sama cernakan pesan-pesan Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah untuk memberi erti akan kehidupan akhirat itu.

Pastinya ini berkait dengan hidup bererti dan mati bererti.

Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menyebut sepuluh perkara yang tidak bermanfaat kepada seseorang. Pada kesempatan ini diperturunkan lima perkara sahaja untuk direnungi bersama. Ibnul Qayyim mencatatkan :

*Ilmu yang tidak diamalkan  

*Amal yang tidak ikhlas

*Harta yang tidak dipersembahkan untuk akhirat

*Pemikiran yang berputar-putar pada sesuatu yang tidak bermanfaat

*Pengabdian yang tidak mendekatkan diri kepada-Nya (Allah)

(Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam ‘Terapi Mensucikan Jiwa’ (terjemahan oleh Dzulhikmah daripada judul asal ‘Al-Fawa’id’)

‘Manfaat’ dan ‘tidak bermanfaat’ (di dunia dan di akhirat) menjadi pemacu akal. Sebarang tindakan mesti berorientasikan ‘manfaat’. Jika tidak hidup menjadi sia-sia.  Kuat mencari ilmu yang berguna dan mengamalkannya. Kuat beramal dan beramal dengan hati yang ikhlas. Ilmu dan amal menjadi kembar yang intim. Satu melengkapkan yang lain.

Seterusnya harta mesti dicari dan didapati dengan cara yang halal. Setiap sen yang didapati hendaklah di manfaatkan di dunia dan (sangat penting) nanti memberi manfaat juga di akhirat.

Berfikirlah secara bijaksana dalam apa jua situasi. Akal digunakan untuk memikirkan hal-hal yang mendatangkan faedah di akhirat. Manusia tidak perlu sibuk memikirkan perkara-perkara yang sia-sia apa lagi yang mungkar.

Manusia dikehendaki mengabdikan diri hanya kepada Maha Pencipta. Hanya Allah layak disembah dan tempat meminta pertolongan. Semua makhluk tidak layak disembah.

Apakah wajar manusia hidup puluhan tahun di dunia, tidak memberi apa-apa manfaat kepada hidupnya di akhirat?

Mafhum Firman Allah : “Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan  dengan kesabaran.” (Mafhum Surah Al-‘Asr [103]:1-3)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]