BUKAN 50-50

Saya berkahwin ketika usia 22 tahun dan mendapat anak pertama pada usia 23 tahun. Satu usia yang sangat muda apatah lagi pada ketika itu kematangan memang tidak ada pada saya. Ketika itu, saya masih ‘huha-huha’ merempit atas jalan dan melompat-lompat atas padang. Masih keluar masuk pusat bowling dan panggung wayang.

Jodoh datang secara ‘main-main’ dan tiba-tiba. Bahkan kawan-kawan pun tidak perasan bila saya ‘cabut lari’ dari kampus untuk balik kampung dan bertunang. Maka bila saya beritahu saya baru bertunang, kawan-kawan rapat saya membeliakkan mata dan menjerit ‘What!!” Dan bila saya beritahu yang saya akan berkahwin 3 bulan lagi, mata mereka makin membuntang dan jeritan mereka makin kuat. Okey.. drama sangat. He he..

Apa yang saya nak beritahu ialah, saya mula melayari alam rumahtangga dalam situasi yang kurang bersedia sebenarnya. Terlalu kurang ilmu di dada. Namun sungguh, rezeki menikah awal itulah yang menjadi titik perubahan hidup saya secara perlahan-lahan. Dari sekejap pakai tudung, sekejap tak pakai, sekejap solat, sekejap tak solat, akhirnya saya mula istiqamah kerana Allah. Dari kepala angin dan kepala samseng, akhirnya saya belajar merendah dan belajar mengalah.

Stres? Sangat! Ya. Masa di awal perkahwinan saya selalu stres. Oh sebenarnya, bukanlah  setiap masa saya stres. Detik-detik bahagia juga banyak.  Tapi biasalah manusia kan, bila datang hujan, kadang lupa yang semalam elok saja matahari bercahaya. Bila datang stres, kadang lupa semalam baru lepas penat ketawa.  Manusia. Dan saya manusia. Sungguh. Kadang lupa.

Walau pun jodoh saya dan suami tiba pada masa yang tak dijangka, namun sebenarnya, kami menikah di atas jalan istikharah. Saya meyakininya sebagai pilihan Allah.  Ia menjadi ujian yang sangat besar buat kami berdua kerana Allah temukan jodoh yang ‘tak sekepala’. Kami banyak berbeza pendapat. Suami saya ‘alim’ sikit.. saya ni pula gila-gila orangnya. Dia cuba ubah saya ikut cara dia. Saya cuba ubah dia ikut kepala saya. Akhirnya apa? Asyik bertengkar sahaja!

Saya masih ingat satu peristiwa di mana kami bertengkar  sampai saya hilang pertimbangan dan lari dari rumah. Waktu tu, hari dah lewat malam. Jadi waktu tu, saya harap suami akan risau dan mengalah. Saya harap dia kelam kabut cari saya dan memujuk isteri kesayangannya ini.  Adakah harapan saya menjadi realiti? Langsung tidak! Akhirnya saya juga yang terhendap-hendap masuk ke rumah dan ya Allah.. sakitnya hati saya bila tengok sang suami relaks saja atas sejadah!

‘Abang serahkan ayang dalam jagaan Allah saja. Minta Allah hantar ayang balik rumah semula.’

Itu jawapan suami bila saya tanya kenapa dia tak cari saya. Allahu Rabbi. Terkedu dibuatnya.  Patutlah sepanjang atas jalan, ‘samseng jalanan’ ini pandai pula rasa takut dan asyik rasa nak balik rumah saja. Agaknya begitulah cara Allah memakbulkan doa suami saya. Subhanallah. Hebatnya hidup bila banyak bergantung pada peranan Allah. Mudahnya seorang suami menangani segala ‘drama’ si isteri.

Seriously, since then I stopped all the drama. I’ve learned that respect is much more important than attention. Isteri kalau mahu kasih sayang sejati dari seorang suami, perlu buat suami menghargainya dari hati. Kasih sayang sejati tidak boleh hadir dengan memaksa keadaan. Ia perlu diusahakan. Usahakan kebaikan. Pupuk kematangan.  Tak perlu jadi seorang ‘attention seeker’. Sikit-sikit nak merajuk. Hal kecil nak dibesar-besarkan. Hal lama nak diungkit-ungkit. Jangan. Itu semua mengundang pertengkaran.

Allah sebut dengan jelas dalam al-Quran bahawa salah satu faedah perkahwinan ialah untuk suami dan isteri saling berasa tenteram. Tapi kalau asyik bertekak, di mana tenteramnya? Fikir.

Pengalaman mematangkan saya. Dalam melayari kehidupan berumahtangga, hati kena cekal. Jangan sibuk cari kelemahan pasangan. Sibukkan diri untuk cari kelemahan sendiri. Itu yang perlu kita perbaiki. Sungguh. Setiap kali nak mengeluh tentang suami, saya selalu terfikir tentang kelemahan saya. Ya Allah.. betapa sabarnya suami dengan macam-macam kelemahan  saya, lalu kenapa saya mesti menyebut-nyebut satu kelemahannya? Kadang dalam usaha untuk mengubah orang lain, kita lupa peranan Allah. Kita lupa peranan doa.

Hal itu jugalah yang selalu saya pesankan pada kawan-kawan yang bercerita tentang masalah rumahtangga. Saya beritahu mereka bahawa masalah memang ada. Sentiasa ada. Bujang pun ada masalah. Berkahwin pun ada masalah. Justeru perceraian bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian untuk keluar daripada masalah.

Yang nak bercerai tu, bertenanglah dahulu. Muhasabah dulu situasi sebaik-baiknya. Terfikir untuk bercerai adalah satu hal yang saaaangat normal hingga disebut oleh seorang ulama’ bahawa ‘Bukan rumahtangga namanya kalau seorang isteri tidak pernah meminta cerai daripada suaminya.’

Bahkan kita perlu sentiasa ingat bahawa  ada syaitan khas yang ditugaskan untuk memporak perandakan rumahtangga manusia, yang mana apabila bercerai sahaja sepasang suami isteri, itulah yang menjadi kejayaan yang sangat diraikan oleh syaitan. Inilah yang disebut oleh Rasulullah menerusi sebuah hadis:

 “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air kemudian ia mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah seorang dari bala tenteranya dan berkata, “Aku telah melakukan begini dan begitu”. Iblis berkata, “Engkau sama sekali tidak melakukan sesuatu pun”. Kemudian datang yang lain lagi dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya hingga aku berhasil memisahkan antara dia dan isterinya. Maka Iblis pun mendekatinya dan berkata, “Sungguh hebat engkau” [ HR Muslim IV/2167 no 2813 ]

Fahami itu. Fokus syaitan ialah untuk membuat sepasang suami isteri bercerai. Justeru, sedarilah bahawa syaitan sentiasa mengapi-apikan segala rasa negatif kita hingga tenggelam segala hal yang positif. Syaitan sentiasa mencari-cari kelemahan kita. Dicari-carinya juga kelemahan pasangan kita. Dicucuk sini, dicucuk sana hingga hal yang tiada juga boleh jadi ada, hingga hal yang seinci juga boleh jadi sedepa. Allahu Akbar. Terpedayakah kita dengan tipudaya mereka?

Hakikatnya, bertengkar, berselisih faham, sakit hati, benci, semua itu adalah rempah ratus biasa yang melengkapi kehidupan suami isteri. Saya selalu berpesan kepada rakan-rakan yang mahu bercerai agar memberikan sedikit masa bertenang kepada diri mereka. Kadang kita bukan bencikan pasangan kita. Kita cuma letih saja. Fikiran letih, badan letih. Justeru, berilah masa pada tubuh dan fikiran kita untuk pulih. Apabila syaitan mengapi-apikan pertengkaran dan membisikkan perceraian, maka bertenanglah. Katakan pada diri kita…‘No! That’s not what I need. I just need some rest. This is just a process.’

Allah tidak membuat sebarang kesilapan dalam memilihkan jodoh untuk kita. Memang sudah sesuai sangat dah perangai kita dengan perangai pasangan kita. Kesemuanya datang dengan pakej yang lengkap. Kelebihannya melengkapi kelemahan kita dan kekurangannya menuntut sumbangan dari kelebihan kita pula.

Namun fahami ini. Peratus sumbangan pada kebahagiaan rumahtangga tidak pernah sama pada setiap masa. Ia tidak pernah berada pada aras 50-50. Semalam mungkin kita yang menyumbang 70% usaha, pasangan kita cuma 30% sahaja. Kemudian hari ini kita merajuk lalu hanya mampu sumbang 20% sahaja. 80% lagi terpaksa ditambah oleh pasangan kita. Adakah kita mampu mentafsir dan menaksir hakikat peratusan itu?  Sungguh. Ia sentiasa berubah-ubah. Justeru, bersyukur dan bersabarlah!