Salamah Hassan

David merupakan salah seorang guru kesayangan semasa di sekolah. Beliau berkahwin dengan makcik kepada rakan karib – Haris – bernama Salamah Hassan. Hari itu saya bertanya khabar Cikgu David ketika bertemu Haris.

David sudah meninggal dunia. Baru dua bulan.

 Tentu sekali saya terkejut mendengar khabar yang tidak terduga. Kisah lampau beliau muncul kembali terutamanya kisah-kisah perkahwinan beliau. Dulu … kami hanya tahu beliau berkahwin dengan orang Islam. Itu sahaja. Haris bercerita,

David orang baik. Ketika beliau hendak berkahwin dengan Untie Salamah, seluruh keluarga menentang dengan keras. Mereka kuat berpegang dengan agama mereka.

Salamah Hassan merayu agar David tidak berputus asa dan terus berusaha dengan cara baik memohon restu dari ibubapa. Itu yang dilakukan David.

 Oh ibu, ayah dan keluarga yang saya sayangi … izinkanlah saya mengahwini orang yang saya sayangi dan cintai.

 Permintaannya masih ditolak oleh kedua ibu bapanya. Namun, sudah ramai saudara mara memberi sokongan atas dasar belas kasihan.

Anakku, mustahillah bagi kamu mengawini kekasihmu kecuali dia menukar ke agama kita.

Oh ibu dan ayah, ampunkanlah saya kerana mustahillah juga Salamah Hassan untuk bertukar ke agama kita. Saya sayangkannya dan ingin mengikuti agamanya.

 Oleh itu, kami tidak akan bersetuju dan tidak merestui perkahwinan kamu dan agama baru kamu itu!

Saya sayangkan ibu dan ayah tetapi saya juga sudah membuat keputusan untuk mengahwini Salamah Hassan dan menukar ke agamanya.

Kalau itulah keputusan kamu maka pergilah kamu dan tinggalkan kami.

Ampunkan saya ibu, ayah. Saya akan tetap menyayangi ibu, ayah dan semua keluarga saya. Saya akan sentiasa bersama dengan keluarga saya buat selama-lamanya.

Ibu bapa David amat memarahinya sehingga tidak mengaku Salamah sebagai menantu mereka. David tetap dengan sikap lemah lembut dan bersabar. Hampir setiap hujung minggu beliau menjenguk ibu bapanya.  Masa mengubah keadaan. Kehadiran cucu-cucu comel mereda hati panas membara.

David amat mulia orangnya dan sanggup meluangkan masa membawa ibubapa ke tempat sembahyang sehinggalah mereka makin tua dan uzur. David memimpin tangan kedua mereka. Ibunya selalu menyuruh David memegang rantai dan duduk bersama-sama sewaktu upacara sembahyang diadakan. David bersabar dan mengikut sahaja segala kemahuan ibunya tanpa bantahan.

Begitulah ketaatan yang ditunjukkan David kepada kedua ibubapanya sehinggalah David jatuh sakit. Ketika beliau sedang tenat, beliau memanggil ibu, ayah dan semua ahli keluarganya.

Saya sudah tenat dan seandainya ajal tiba, maka saya adalah seorang muslim dan ingin mati sebagai orang muslim juga. Maka hantarkan jenazah saya di perkarangan kubur orang muslim dan minta tolonglah orang muslim untuk menguruskan jenazah saya.

Beliau sempat menunjukkan laci almari di bilik kepada ibunya sambil berkata, “Ibu yang tersayang, rantai yang ibu beri ada di dalam laci tersebut. Ibu ambil dan simpan baik-baik.”

Apabila David meninggal dunia, jenazah dikebumikan  di perkuburan Islam Bukit Kiara.  Ibunya membuka laci almari dan mendapati rantai berada di bawah Al-Quran. Ibunya mengambil Al-Quran tersebut dan memeluk di dada sambil menangis barangkali mengingati David yang baik dan tidak menderhaka kepadanya.

Kini Salamah Hassan selalu membawa anak-anak menziarahi datuk dan nenek. Mereka tetap bermesra dan boleh makan bersama seisi keluarga. Datuk dan nenek kasih kepada cucu-cucu mereka dan lebih lagi amat sukakan Salamah Hassan. Pada satu hari, ibu Allahyarham David bertanya kepada Salamah Hassan,

Bolehkah bawa nenda menziarahi pusara David?