Check-Point

Kehidupan dunia bersifat sementara. Ia masa singkat. Skripnya mudah. Dunia – mati – kubur – Mahsyar – Syurga. Akhirnya – kita tidak mempunyai pilihan – biarlah ia berakhir dengan memasuki syurga Firdaus tanpa dihisab dengan Rahmatnya. Kita mahu memasuki Firdaus dengan orang tersayang.

Tiada siapa yang waras fikirannya mahu memasuki neraka walaupun sesaat. Biar masa tinggal di alam kubur dan Padang Mahsyar sepantas kilas kerana masa itu sangat-sangat bersifat relatif. Mereka yang lambat ke Syurga tentunya bermasalah. Kita tidak mahu begitu. Lalu persiapannya perlu dilakukan bermula dengan kehidupan di dunia. Misalnya, Allah SWT telah nyatakan:

Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

(Terjemahan surah al-Mu’minun : 114).

Namun manusia sangat lalai. Itu juga fitrah. Jika dilihat dari sudut berbeza, seluruh kehidupan merupakan suatu ujian sama ada mencapai tujuan kenapa kita dilahirkan, “menyembah dan beramal ibadat kepadaNya” Sungguh … kehidupan di dunia hanyalah perjalanan sehala menuju negeri kekal abadi. Di sepanjang perjalanan terdapat pelbagai check-point supaya kita boleh berfikir dan kembali berada di landasan benar dan lurus.

Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertakwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman).

(Terjemahan surah Nuh: 4)

Amal ibadat khusus yang diperintahkan oleh Allah SWT – ibadat Haji, berpuasa di bulan Ramadhan, zakat setiap tahun atau menunaikan solat setiap hari – merupakan check-point dalam konteks tersendiri yang sering dilupakan. Ibadat-ibadat ini – sepatutnya – memberi peluang untuk kita berfikir sejenak bagi melalui kehidupan berbaki.

Sungguh … dalam konteks peribadi, saya melihat ibadat haji merupakan check-point terbesar yang pernah saya lalui. Saya ketakutan memikirkan dosa-dosa lampau, masih belum mengenal huruf al-Quran dan amal ibadat khusus yang hampir-hampir menghampiri kosong. Saya fikir saya tidaklah jahat dengan manusia tetapi tidak juga baik dengan Allah SWT. Ibadat haji menyebabkan saya terpaksa merenung keseluruhan kehidupan yang telah dan bakal saya lalui. Akhirnya, saya melihat pelbagai sifat Allah melalui ibadat ini.

Saya menangis dan merayu pada 1/3 malam tersisa agar Dia mengampunkan dosa-dosa lampau, agar tidak lagi melakukan dosa-dosa pada masa berbaki terutamanya dosa syirik, mahu menunaikan solat lima waktu berjemaah di rumahNya, berpuasa sunat, bangun malam, membaca al-Quran dan membersihkan hati. Sungguh … ia permintaan sungguh-sungguh dari seorang hamba yang dalam ketakutan.

Kesemuanya telah didokumenkan melalui buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Check point ini secara khusus membawa kami – saya dan Roza – menilai dan bersedia dengan apa yang ingin kami lakukan sebelum dan selepas pulang dari Makkah dan Madinah.  Ia mengubah sempadan iman.

Menarik.  Kini – saya fikir – rumah sakit juga merupakan check-point yang sangat mustahak. Bayangkan … kelazimannya, setiap hari akan ada kematian di bahagian wad Kardiologi. Saya telah melalui proses serangan jantung kronik, melakukan prosedur angiogram dan angioplasty dengan pantas walaupun menggunakan kemudahan hospital kerajaan. Allah SWT membenarkan saya untuk hidup seketika lagi, menginsafi masa berbaki yang secara semula jadi memang sudah berkurang dan keinginan berfikir untuk repositioning diri dengan keadaan tersebut. Ia detik penting.

Check-point dan pemeriksaan di sini sangat jelas. Ada dua kemungkinan utama, kematian atau discaj tetapi perlu bergantung dengan ubat-ubatan seumur hidup. Jarang sangat pesakit pulang dengan 100 peratus sihat. Kalaupun sihat mengikut ukuran perubatan, ia masih tidak membawa sebarang makna besar kepada had kehidupan di dunia. Kematian – sebagaimana yang disebut sebelum ini – tidak lewat atau cepat sesaat. Ia pasti berlaku dengan atau tanpa isyarat.

Saya dipinjamkan sedikit masa setelah melalui check-point kedua signifikan selepas check-point ibadat haji. Itu anggapan saya. Ia membuat saya berfikir dalam. Apakah jenis kehidupan yang perlu saya hadapi? Kelihatan masa benar-benar suntuk.

Sungguh … saya terfikir, bila agaknya check-point terakhir? Benar-benar terakhir. Ia menghampiri. Roza serta anak-anak – Sara, Azrai, Amirul dan Sofea – perlu bersedia. Namun saya atau mereka yang akan pergi terlebih dahulu adalah urusan Allah SWT.

Kita bersyukur kerana menerima check-point ini. Ia untuk saya dan mereka yang mahu berfikir. Biarlah hati saya menjadi lembut dan tidak keras kematu menerima peringatan besar ini.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?

Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).

(Terjemahan surah al-Hadid: 16).

Kami mohon keampunan Mu ya Allah.