PERCA 58 DETIK TERAKHIR

Malam itu berbeza.

Abah mahu kedua cucu dan anak mengurut tubuhnya. Azrai di betis dan Amirul di lengan. Saya pula di bahagian belakang. Saya berbisik kepada anak-anak agar mengusap perlahan-lahan sambil membaca surah-surah yang mereka hafal, berselawat dan bertasbih kepada Allah.

Awak baring dekat sikit di belakang abah. Ambil bantal ni … abah minta maaf kalau ada salah silap pada awak.

Air mata saya bercucuran walau cuba di tahan. Sungguh … saya tidak mampu.  Dalam sebak saya berkata,

Tak ada abah… abah tak ada salah. Saya yang perlu minta maaf banyak-banyak pada abah. Degilnya saya …

Tutur kata yang tidak dapat diteruskan. Tersekat di kerongkong dan  tersumbat di dada. Benar … dulu saya selalu berkecil hati dengan abah. Bila pandai berfikir, saya tahu abah berwatak garang kerana mahu mengajar anak-anak yang degil dan keras kepala seperti saya.     

Azrai dan Amirul ingat pesan atuk. Jangan tinggal sembahyang dan mengaji Quran. Jangan sombong dan syirik …

Abah mula melelapkan mata. Kami panggil mak supaya tidur di sebelah abah. Kami anak-beranak pula tidur beramai-ramai di ruang tamu. Tiba-tiba saya dikejutkan oleh mak di sekitar 3.00 pagi. Mak berbisik, “abah mahu awak tidur di sebelahnya.” Ya Allah … degilnya saya.

Cuba sebut lima perkara sebelum sampai lima perkara.

Saya cuba mengingati dan menyatakannya tetapi sukar kerana masih mamai dan tidak bersedia. Akhirnya ….

Sihat sebelum sakit

Muda sebelum tua

Lapang sebelum sibuk

Kaya sebelum miskin

Hidup sebelum mati

Kemudian Abah terus bersuara. Terlalu banyak tutur kata tetapi saya hampir tidak memahami biji butirnya. Ia bercampur baur di antara nasihat, pesanan, peringatan, kisah, permintaan dan berbagai lagi.

Hujung minggu itu berakhir. Kami memohon diri untuk pulang tetapi laporan kesihatan Abah sentiasa diperolehi. Pagi itu mak melaporkan,

Sebelum subuh tadi abah minta mak bukakan pintu rumah. Katanya Kamil dan kawan-kawan ada di luar mahu mengajaknya mendengar ceramah selepas subuh. 

Manalah ada sesiapa datang gelap-gelap macam tu… jadi mak minta izin bacakan surah Yassin. Baru abah bertenang …

Semalam abah bertanyakan tentang awak.

Hati saya tersentap. Emak juga berpesan agar kami membawa kain batik lepas jika kembali ke Kuala Lumpur. Hati sayu. Diri terkapar-kapar dan meronta-ronta mahu segera berada di sisi abah. Saya mohon yang terbaik di sisi Allah – Al-‘Alim – yang maha mengetahui agar saya sempat berada di samping abah di saat terakhirnya.

Di kampus – hari itu – saya berhempas-pulas menyudahkan segala urusan pemarkahan siswa-siswi. Kemudian mengambil Sofea di sekolah dan seterusnya menunggu Amirul pulang ke Jementah dari asrama. Ketika itu suami menghadiri mesyuarat di Shah Alam.

Terlalu banyak urusan yang perlu di lakukan. Masa bergerak pantas namun banyak urusan masih belum selesai. Kami hanya boleh bergerak selepas lewat petang. Tiba-tiba Mak memberi khabar,

Hampir waktu maghrib. Abah kata mereka sudah sampai. Barangkali sudah tidak lama lagi …. Kak Long Fidah dan Tuti sudah ada di sini. Mak rasa awak tunggu sahaja di Jementah. Uruskan bahagian di sana.

Suara emak tenang sedangkan saya ibarat ikan menggelupur di atas darat. Diri tercunggap-cunggap seolah-olah tidak dapat bernafas. Kak Long Fidah bercerita,

Emak tenang mengajar abah mengucap dua kalimah syahadah.  Kemudian disudahi dengan beberapa potongan ayat dari surah ar-Radh’.

Abah sempat mengucapkan terima kasih kepada emak kerana bersabar menjaganya dan menjadi isteri yang taat setia kepadanya.

Kata Abah, “terima kasih Yah kerana sabar menjaga saya. Selama ini awak rajin beribadat … awak taat. Yah, awak isteri yang solehah.”

Tiada air mata mengalir di hadapan suami tercinta. Mak sedar dan bersedia bahawa saat terakhir bersama suami bakal berakhir beberapa ketika sahaja lagi. Garis penamatnya sudah kelihatan.

Awak letih dan mahu tidur ya. Baik, mari ikut saya mengucap kalimah syahadah. Asyhadualla ilahailallah…

Maghrib, 17 Mac 2011.

Sejurus berikrar, “tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,” abah berbaring tenang lalu tidur buat selama-lamanya. Kak Long tenang bercerita. Saya yang dalam perjalanan berpatah balik ke Jementah bagi menguruskan ketibaan jenazah.

Perasaan saya?

Sungguh, sudah lama saya menangis semenjak dimaklumkan berita penyakit abah. Menangis kerana Allah – Al-Mu’izz – yang maha Memuliakan memberikan saya peluang mengharungi saat seperti ini.

Benar, saya menangis kerana bahagia dapat tinggal berdekatan dengan abah serta melihat perubahan usia tersisanya. Saya rasa terhormat.

Mengapa perlu saya menangis di hari kematian abah? Bukankah selama tiga tahun tiga bulan saya sudah menjangkanya. Malah saya bersyukur mendengar cara pemergian abah impian ramai orang.

Saya hanya berdoa agar abah mendapat Husnul khatimah serta dalam redha dan dirahmati Allah.

Innalillahi wainnalilahirojiun.

Moga roh abah dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa-dosanya. Mudah-mudahan kami bertemu kembali di Firdaus dengan rahmatNya.