Istiqamah

Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul seperti yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran (bertaubat) mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Banyak perkara kelihatan sukar.

Umumnya kita mendengar orang menyebut, “saya sukar untuk melakukannya secara konsisten”. Jika dinyatakan dalam terma agama bermaksud “tidak mampu istiqamah”. Ia kegagalan melakukan sesuatu secara berterusan. Maka sandaran terhadap kecacatan tingkah laku ini berdasarkan kenyataan “melakukan perkara sedikit secara berterusan lebih baik daripada perkara yang banyak tetapi hanya dilakukan sekali atau sekali-sekala”. 

Namun kehidupan kita – sedar atau tidak – dipenuhi dengan unsur-unsur istiqamah, “melakukan banyak perkara secara konsisten”. Misalnya, kita secara konsisten menggosok gigi setiap hari. Ada yang melakukannya tiga kali sehari. Kita konsisten makan dan minum. Berjadual. Malah jadualnya sangat tepat. Kita “punch-card” di pejabat. Kita memandu laju jika masa yang tinggal kelihatan tidak mencukupi untuk memastikan kad tidak merah.

Malah kita konsisten tidak bangun malam bertahajud. Maksudnya, kita konsisten tidur lapan jam sehari. Kita juga istiqamah tidak menutup aurat. Setiap hari kita istiqamah “berbogel” ke pejabat. Malah ada yang tidak sempurna harinya jika tidak mengata orang di pejabat. Ada yang istiqamah sebagai penyebar berita. Mereka digelar CNN pejabat. Kelihatan ada yang secara konsisten fobia dengan masjid dan majlis ilmu. Ada juga yang gelisah tidak bertaruh di padang golf.

Saya membuka pandangan “istiqamah” atau “konsisten” dalam dua dimensi berbeza bagi menunjukkan yang tingkah laku tersebut ada dalam diri manusia. Ia istiqamah melakukan kebaikan dan konsisten melakukan sesuatu yang ditegah (nota: saya menggunakan terma istiqamah untuk amalan kebaikan dan konsisten untuk perkara yang ditegah untuk ayat ini). Secara hakikat, kita – manusia – boleh melakukan banyak perkara secara konsisten. Ia satu pembohongan diri untuk menyatakan “saya tidak mampu istiqamah” jika manusia itu berfikir sedalam-dalamnya. 

Saya tidak mengata sesiapa tetapi melihat diri yang berpuluh tahun hidup di dalam pembohongan yang dicipta sendiri. Lebih kronik lagi kerana cuba sedaya upaya melawan fitrah dalaman.

Isu ini sangat menarik. Jika kita ingin istiqamah bangun malam maka kita perlu meninggalkan sesuatu tindakan yang telah sekian lama kita lakukan secara konsisten, iaitu tidur malam yang berpanjangan. Jika kita mahu berpuasa sunat Isnin dan Khamis secara konsisten maka kita perlu meninggalkan dua hari istiqamah makan dan minum sepanjang hari yang telah kita lakukan bertahun-tahun.

Begitulah keadaannya jika mahu melakukan perubahan signifikan. Saya terkenang bagaimana saya sangat istiqamah menghisap rokok semenjak 1978 ketika menamatkan peperiksaan SRP (seumpama PMR pada zaman ini). Ia konsisten hampir 30 tahun. Di antara tahun-tahun tersebut saya pernah mencuba untuk meninggalkan amalan “bodoh” ini. Ia sentiasa gagal. Paling lama bertahan hanya sebulan dua. 

Namun ia berubah ketika saya menerima panggilan menunaikan fardhu haji. Saya nyatakan kepada Allah SWT betapa saya ingin meninggalkan amalan ini semata-mata keranaNya, semata-mata keranaNya, semata-mata keranaNya. Saya mahu buktikan kepada Allah SWT yang saya sangat bersungguh untuk berubah. Ia satu perlambangan ke arah permulaan kepada perubahan diri yang mencakupi amalan-amalan khusus yang lain.

Tentu sekali ia sukar. Namun saya tidak bertangguh dan berhenti serta merta. Saya tidak mempercayai saranan melakukan secara perlahan-lahan. Saya tidak malu mencatatkan betapa saya menangis memohon kepadaNya supaya diberi kekuatan jiwa dan fizikal. Air hidung sentiasa meleleh ketika dipermulaan usaha. Demam. Kesihatan terganggu. Malah saya terpaksa berjumpa pegawai perubatan beberapa kali dalam tempoh sebulan.

Kini, sudah hampir 10 tahun saya istiqamah atau konsisten “tidak merokok”. Saya meninggalkan “konsisten” merokok yang telah saya lakukan hampir 30 tahun. Bezanya, istiqamah 30 tahun terlangsung sebagai amalan yang tidak membawa kebaikan. Manakala “istiqamah tidak merokok” hadir bersama kekuatan yang dianugerah Allah kerana bersungguh mahu melakukannya.

Malah Allah memberi sesuatu yang lebih besar. Asap rokok yang harum bertukar menjadi sebusuk-busuk bau. Saya berani menegur mereka yang merokok di restoran, di dalam lif atau ketika isteri dan anak-anak berada di sisi. 

Saya selalu menyebut kepada anak-anak, “marilah kita lakukan sesuatu dengan berfikir. Jika kita boleh istiqamah makan sepanjang hari, tujuh hari seminggu – berehat seketika di bulan Ramadhan – sepanjang tahun, marilah kita mengambil HANYA dua hari seminggu untuk istiqamah berpuasa Isnin dan Khamis”.

Saya boleh memberi banyak contoh untuk kita berfikir dalam soal istiqamah atau konsisten untuk melakukan sesuatu dengan bukti-bukti yang jelas dan nyata. Ia umpama melihat bukti “bulan dan matahari”, “tumbuh-tumbuhan dan haiwan” malah menyaksikan “sungai, hujan dan laut”. Ia hanya akan meresap ke jiwa jika kita mahu berfikir dan berniat mahu melakukan sesuatu keranaNya.

Tentu sekali tidak sama mereka yang berfikir dengan mereka yang tidak berfikir. Malah tentu sekali tidak sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu. Tanda kita berfikir dan berilmu bukan kerana kita seorang profesor atau lulusan universiti tetapi lebih kepada kemampuan untuk melakukan sesuatu semata-mata keranaNya yang didorong oleh kemahuan yang dipohon dari Allah SWT. Allah memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki tetapi dengan aturan tertentu.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

(Nota Al-Quran: Ayat di permulaan bab di petik dari surah Hud, ayat 112.)