KUBUR PILIHAN

Ayah menunaikan ibadah haji bersama dua kakaknya. Turut serta – Abang Yee – abang ipar setelah mempertimbangkan permohonan Ayah. 

Anakku Yee … boleh temankan ayahanda dan kakanda-kekanda ayahanda menunaikan fardu haji? Anakanda Yee sudah pernah ke Mekah dan masih muda lagi. InsyaAllah boleh menjaga kami di sana.

Wahai ayahanda, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. InsyaAllah, Yee akan menjaga ayahanda dan kedua-dua kekanda ayahanda di Mekah dan Madinah.

Semasa kenduri doa selamat yang diadakan di rumah, Imam masjid Kampung Bharu memberitahu,

Marilah kita semua mendoakan agar bakal-bakal jemaah haji ini akan selamat pergi dan pulang serta mendapat haji yang mabrur. Pada waktu itu Abang Yee menghampiri saya dan berkata,

Doakanlah Abang Yee selamat sampai ke Mekah untuk menunaikan haji dan seterusnya mendapat haji yang mabrur. Kalau boleh Abang Yee ingin mati di Madinah selepas selesai menunaikan ibadah haji.

Maka bertolaklah mereka ke Mekah menjalankan ibadah haji. Mereka dijadualkan berada hampir dua bulan di sana. Saya – setelah dua minggu – menerima poskad yang tercatat:

Kami semua telah selamat sempai di Mekah. Sudah selesai menunaikan umrah dan sekarang sedang menunggu untuk menyempurnakan ibadah haji. Doakan kami.

Pada bulan berikutnya kami menerima poskad kedua mengatakan, “Alhamdulillah. Ibadah haji telah selesai dan kami di Madinah. Ketika sampai ke tanah air, Abang Yee memberitahu saya,

Abang Yee bersedih kerana seminggu sebelum pulang, Abang Yee sakit tenat dan merasakan bagaikan akan mati di Madinah. Tetapi pada hari kepulangan Abang Yee dengan tidak semena-mena kembali segar dan sihat serta boleh pulang bersama ayahanda.

“Janganlah bersedih hati sangat Abang Yee, mungkin belum masanya lagi. Boleh berdoa dan pergi lagi ke Madinah  dan mungkin pada ketika itu Abang Yee dijemput kembali ke rahmatullah dan dapat disemadikan di Mekah bersama-sama kekanda ayahanda.”

Kepulangan ayahanda saya dari menunaikan haji hanya bersama Abang Yee. Kedua-dua orang kakaknya telah meninggal di Madinah setelah selesai menyempurnakan ibadah haji. Itulah rezeki mereka dapat disemadikan bersama orang-orang yang soleh, dan Nabi kesayangan kita Nabi Muhammad SAW.

Beberapa tahun kemudian ayahanda kami yang semakin tua mulai uzur. Beliau mewasiatkan bahawa jika beliau mati, hendaklah disemadikan di tanah perkuburan Islam Jalan Ampang yang berdekatan dengan Kampung Baru. Ianya akan memudahkan anak-anak dan sanak saudara untuk menziarahinya di kemudian hari. Di situ jualah arwah bapa beliau, datuk dan moyang disemadikan. Arwah abang saya juga disemadikan di situ. Ketika ibu tua dan sakit, beliau telah bertanya kepada saya,

“Anakku Zai, jika ibu meninggal dunia di manakah Zai akan menyemadikan ibu?

Dengan rasa sedih saya menjawab “Ibuku, di manakah tanah perkuburan pilihan ibu, adakah bersama-sama dengan ayahanda di Kampung Baru?”

“Anakku, memandangkan Zai dan kakak-kakak tinggal di Petaling Jaya, maka ibu memilih umtuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Petaling Jaya.”

Apabila sampai masanya kami sekeluarga telah menyempurnakan hajat mereka berdua.  Saya pernah bertanya Sheikh Said iaitu guru agama saya,

“Sheikh Said, memandangkan Sheikh mempunyai ramai anak murid yang belajar agama dan ilmu al-Quran di sini, seandainya Sheikh Said meninggal, di manakah hendak disemadikan?”

 Sheikh Said dengan yakin menjawab,

“Walaupun saya amat sayangkan negara Malaysia dan mempunyai ramai anak murid yang baik dan beriman namun saya ingin disemadikan di tanah kelahiran saya di Mesir!”

“Kenapa pula begitu Sheikh? Di sini ramai orang yang sayangkan Sheikh dan boleh menziarah kubur Sheikh nanti.”

“Sudah menjadi fitrah bagi manusia ingin disemadikan di tanah tempat kelahirannya kecualilah saya meninggal di Mekah ataupun Madinah.”

Beliau menambah,

“Kalau boleh selepas solat jenazah di Malaysia maka jenazah saya dihantar kembali ke Mesir. Saya ingin berdekatan dengan arwah bapa dan nenek moyang saya di sana. Lebih-lebih lagi anak-anak dan keluarga boleh menziarahi kubur saya.”

Kini saya mulai berfikir dan ingin membuat pilihan, apabila saya meninggal dunia nanti, saya ingin disemadikan bersama arwah ayahanda di Kampung Baru ataupun arwah ibunda di Petaling Jaya.