Masa yang Singkat

Surah ini sangat ringkas. Saya hafal serta memahami isi terjemahannya sejak lama dulu. Ia dikaitkan dengan masa. Inilah surah al-Asr yang hanya mempunyai tiga ayat.

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Masa ini bersifat unik. Setiap manusia mempunyai masa yang sama. 24 jam sehari semalam. Masa berlalu pasti tidak akan berlalu. Manusia kelihatan hampir tidak dapat menelah secara tepat berapa lama masa yang mereka miliki. Namun – InsyaAllah – manusia mempunyai pilihan – walaupun tidak secara mutlak – bagaimana mahu menguruskan 24 jam masa yang diberi secara percuma, tanpa pilih kasih dan seadilnya oleh Allah SWT.

Hampir semua manusia kelihatan sangat sibuk. Masa 24 jam sehari semalam kelihatan terlalu sedikit. Tidak mencukupi. Saya juga terasa begitu. Banyak perkara yang mahu dilakukan. Namun kekangan masa, tenaga dan sumber kewangan nyata membatasi keinginan. 

Lalu mengurus masa menjadi ilmu perlu dipelajari supaya akhirnya masa tidak boleh dijadikan alasan. Keutamaan, kewajiban dan tanggungjawab diletakkan paling atas. Misalnya, perkara utama yang mahu dilakukan ialah solat berjemaah lima waktu di rumah Allah. Tiada perkara, peristiwa atau majlis lebih tinggi daripada menunaikan solat berjemaah kecualilah ia benar-benar diizinNya (nota: saya tidak mahu menghurai panjang soal ini).

Lalu perancangan kehidupan harian perlu berkisar kepada keinginan ini. Ketika mengetuai organisasi, maka saya pastikan tiada kegiatan boleh mengganggu solat berjemaah. Mesyuarat ditangguhkan sebentar untuk solat Zuhur. Majlis di sebelah malam bermula selepas solat Isya. Malah isu solat berjemaah ini menjadi agenda utama ucapan kepada siswa-siswi yang dipimpin.

Maka hilanglah kenyataan “sibuk untuk ke masjid”.

Saya juga berkeinginan bangun malam melakukan sesuatu yang sering disebut-sebut sebagai amalan penting dalam kehidupan manusia. Ia lebih terasa apabila merenung masa berbaki yang semakin suntuk.

Hakikatnya, waktu malam kelihatan waktu paling tidak sibuk untuk bangun bagi melaksanakan solat, berdoa dan bermunajat seketika. Ia sukar jika kita hanya sibuk memikirkan untuk tidur. Benar, jika kita sibuk melakukan satu perkara maka kita akan gagal untuk melakukan suatu perkara yang lain.

Lalu bagaimana cara mahu menguruskan kesibukan tidur? Jawapannya juga agak mudah. Kurangkan sedikit waktu tidur. Benar, sedikit sahaja. Ambillah di sekitar ½ jam waktu sibuk tidur untuk gosok gigi, berwuduk dan solat sunat dua rakaat dan satu witir. Kemudian berdoalah seketika. Sambunglah balik kesibukan tidur kita!

Apalah yang ada dengan ½ jam tersebut berbanding dengan 6 atau 7 jam yang digunakan untuk melelapkan mata. Akhir sekali … sedikit demi sedikit, nikmat bangun malam akan terasa. Ia – akhirnya – menjadi satu amalan yang tidak mahu ditinggalkan.

Ramai juga yang bertanya, “bagaimana Prof boleh menulis secara konsisten?”. Ramai menyatakan mereka tidak kecukupan masa. Maksudnya, mereka sangat-sangat-sangat sibuk.

Kesibukan seorang pensyarah mengalah Naib Canselor. Seorang guru pula lebih sibuk daripada pengetua. Naib Canselor dan pengetua jauh kekurangan masa berbanding dengan Perdana Menteri. Agak saya … begitulah rasa sibuk dalam diri masing-masing sebagai seorang manusia. 

Bagaimana jika saya menggunakan analogi berikut? Katalah saya mahu menulis dan menjadi seorang penulis. Saya untukkan empat jam seminggu daripada keseluruhan masa yang ada maka kita hanya menggunakan 2% daripada masa sibuk kita. Sibuklah dengan 98% masa berbaki.

4 jam seminggu, 16 jam sebulan, 192 jam setahun dan hampir 400 jam untuk dua tahun, maka tidak logik menyalahkan masa untuk menghasilkan satu penulisan. Namun akhirnya ia berkisar kepada kenyataan ini:

Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu.

Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu!

[Riwayat Ahmad]

Umur saya sudah melebihi 50 tahun. Maksudnya, masa berbaki lebih pendek daripada masa yang telah kita lalui jika purata umur kematian bangsa Melayu Nusantara diamati. Janganlah kita bertangguh-tangguh dengan masa. Takut-takut hati menjadi keras dan sukar untuk berubah ketika usia berada di penghujung.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?

Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).

(Terjemahan surah al-Hadid: 16)

Buatlah pilihan yang tepat di dalam mengurus masa. Jangan lupa … mohon kepadaNya. Tiada kudrat manusia tanpa izinNya dapat melakukan apa yang mahu kita laksanakan.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.