Kesakitan

Jika ada yang bertanya, “apakah rasa sakit yang paling SAKIT sepanjang hidup tuan?,” maka jawapan segera muncul ialah, “sakit batu karang.” Itu sakit fizikal. Kita lupakan sakit emosi sejenak.

Saya nyatakan, “ia sakit melebihi sakit beranak!” Lalu ada yang mencebik spontan dengan satu kenyataan, “awak pernah beranak?”

Lebih 75 peratus yang berada di sini – U-MKI – merupakan siswi. Lalu saya bertanya kepada mereka, “ada sesiapa yang pernah beranak dan terkena penyakit batu karang?”

Lima siswi menghubungi saya. Mereka ditanya antara keduanya mana yang lebih sakit. Kesemuanya (100%) menyebut batu karang.

Begitulah. Kesakitan yang telah saya lalui tidak tergambar rasanya. Namun ada sesuatu yang pasti … saya tidak bertempik, meraung atau mengadoi-ngadoi akibat kesakitan tersebut.

Ketika menulis buku Rumah Sakit: DIA Mahu Saya menangis, saya terbayang dengan apa yang diceritakan melalui surah al-Mulk, ayat 6-7 yang bermaksud:

Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.

 Ia untuk difikirkan.