Sebentar Alam Pun Cerah

Insan berduka. Benar kerana ia dicipta untuk menerima ujian, dan bersabar.  Insan bersuka. Benar kerana ia dicipta untuk menerima ujian dan bersyukur. Kedua-dua keadaan itu, insan dikehendaki menghantar pujian kepada Maha Pencipta (walau pun Dia tetap Maha Kaya).

Hidup ini jauh, manakala mati itu dekat. Selayaknya manusia memberi sejumlah masa berbicara dengan dirinya sendiri sepanjang hidupnya. Maka dia akan menangkap gema suara jiwanya sendiri. Jiwa yang suci bakal melontarkan gema yang jernih.

Cuba perhatikan gema jernih (nalar positif) itu, seperti diungkapkan oleh insan pencari Pencipta, Shamsuddin Muhammad (1320M – 1389M) atau lebih dikenali sebagai Hafiz Syirazi.

Beliau melihat hakikat kehidupan, mengecap luka perasaan dan menghimbau jalan kebenaran melalui  puisinya :

“Tempat ini memang menakutkan, dan tanah dataran masih jauh

Tetapi itu tak akan lama, sebentar alam pun cerah

Jangan berduka.

Hafiz! Meskipun kau ini miskin, dan malam mu gelap

gelita semata

selama engkau masih menyeru nama-Nya,

dan Quran di tangan mu.

Janganlah berduka.

                (Maksud puisi Hafiz Syirazi, dikutip daripada ‘Perkembangan & Pemurnian Tasawuf’  karangan HAMKA)

Perjalanan hidup seakan begitu jauh, namun setiap insan akan sampai. Detik itu akan tiba dengan sebuah hukum, yakni takdir. Dunia ini, bagi seseorang sama ada menyeramkan atau menggiurkan, namun ia satu kesementaraan.  Hanya sebentar malam tiba dan gelap akan lenyap. Hanya sebentar siang datang, dan terang akan hilang.

Miskin-kaya dan suka-duka semuanya ujian, lantaran itulah antara perhitungan iman dan ihsan.  Kekuatan iman boleh tumbuh dari tapak mana pun seseorang manusia berdiri. Benteng iman boleh kuat kerana kaya atau kerana miskin atau sebaliknya. Benteng iman boleh kuat kerana duka atau duka atau sebaliknya.

Setiap manusia harus kembali kepada Maha Pencipta kerana jasad dan jiwa ini ciptaan Allah. Hanya Dia tempat pergantungan hidup dan memohon rahmat serta belas kasihan.  Al-Quran diturunkan sebagai landasan hidup di dunia dan membawa perkhabaran awal kehidupan di akhirat.

Manusia harus mendengar gema kejernihan jiwanya sendiri.

Mafhum Firman Allah, “Kami tidaklah mengutus rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita dan pembawa amaran, Maka, sesiapa yang beriman dan beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.” (Mafhum Surah Al-An’am (6):48)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]