Dia Tidak Berdosa

coverbahagiaKehidupan dunia dipenuhi dengan pelbagai drama. Adik-beradik bermasam muka kerana berebut harta pusaka sekangkang kera. Surat layang muncul pada musim kenaikan pangkat. Jiran tetangga tidak bertegur sapa kerana ranting patah jatuh ke halaman.

 

Rakan sejawat berjauhan kerana dilihat bos melebihkan kita. Hati sakit melihat kedai sebelah pelanggan muncul silih berganti. Mata berpinar melihat lamannya lebih hijau, keretanya lebih canggih dan anaknya lebih berjaya.

 

Sungguh … itulah penyakit sedia terselit pada satu penjuru tubuh manusia. Namanya penyakit hati yang sampai bila-bila tidak akan membahagiakan jiwa dan perasaan. Ia penyakit kaum musyrik pada zaman Baginda SAW dan masih kekal begitu pada penghujung dunia. Terjemahan ayat 120, surah Ali’Imran ada menyebut,

 

Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

 

Begitulah … sampai ketikanya hati berasa letih dan penat memikirkan tentang hal orang. Ia tidak berkesudahan dan tiada penghujung jika hati mencemburui kejayaan dan kelebihan orang lain. Tentu sekali tiada upaya diri mengawal orang dari bercerita buruk tentang diri kita. Mampukah mengelak diri daripada difitnah? Bolehkah menahan hati orang berburuk sangka terhadap kita?

 

Benar, ada lima perkara nyata yang dipohon sebelum dan semasa menunaikan fardu haji. Air mata mengalir meminta agar dapat menunaikan solat lima waktu berjemaah di masjid, bangun malam, membaca al-Quran dan terjemahannya, berpuasa sunat dan menjaga hati. Sampai bila-bila kesungguhan dan keinginan ini terasa di lubuk hati.

 

Sungguh … saya tidak tahu kenapa menjaga hati menjadi salah satu permintaan utama. Saya tilik kembali mencari jawapan. Barangkali ujian kehidupan terdahulu memperlihatkan bagaimana hati cemar punca pelbagai masalah. Ia barah besar kepada hubungan organisasi dan persahabatan. Malah ia boleh menyebabkan manusia kufur dengan Allah SWT. Hakikatnya, hati tercemar menghalang jiwa jadi bahagia.

 

Lalu perkiraan saya mudah. Biarlah masa berbaki ini difikirkan hanya untuk mencari kedamian dan keredaanNya semata. Urusan dunia yang bercelaru seboleh-bolehnya tidak mahu terlintas di hati. Hubungan dengan manusia dipandukan kepada ayat 133-134 surah Ali’Imran yang bermaksud,

 

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

 

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

 

Sungguh … saya maklumkan kepada Allah SWT yang saya sudah maafkan setiap orang yang berdosa dengan saya. Juga, saya berdoa kepadaNya agar mereka yang pernah terluka, marah, berdendam atau ada kesalahan yang telah saya lakukan lembut hatinya untuk memaafkan.

 

Biar saya, kita dan mereka bergembira pada hari penghakiman kelak. Kita tidak perlu menunggu lama menyelesaikan urusan yang tidak selesai di dunia. Benar, saya mahu masuk syurga tanpa dihisab dan mahu cepat-cepat ke sana.

 

Sungguh … dia tidak berdosa dengan saya!