JANJI ADNAN

Kami dalam perjalanan ke pejabat – UiTM Kampus Segamat – apabila Roza menyuarakan isi hatinya. “Saya bersedia untuk berhijrah. Jika itu ketentuanNya, saya redha”. Beliau menuturkannya dengan tenang dan bersahaja.

“Awak mahu meletakkan jawatan?,” tentu sekali saya tidak menyangka kata-kata tersebut keluar dari mulut Roza.

“Saya tidak kisah. Rezeki datangnya dari Allah. InsyaAllah, gaji awak sudah memadai. Jika ada rezeki saya, adalah… jika tiada, tidak mengapa. Kita dapat berhijrah ke Madinah. Itu anugerah Allah. Anugerah yang sangat besar. Jauh lebih tinggi daripada gaji saya”.

Roza sudah acap kali berkorban untuk suaminya – saya –apabila dikaitkan dengan kerjaya. Pertama ketika saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana. Kerjayanya baru bermula. Beliau berhenti bekerja, Namun beliau mengikut saya dengan ria kerana itu adalah pengalaman pertamanya ke Luar Negara. Tentu sekali ia sesuatu yang dinanti-nantikan. Maka saya fikir pengorbanannya dalam konteks ini sangat minimum.

Kali kedua berbeza. Roza sayangkan kerjaya di MOBIKOM. Beliau salah seorang terawal diambil sebagai staf syarikat. Kemudian dihantar pula ke Sarawak sebagai care-taker syarikat untuk memulakan operasi di Malaysia Timur. Allahu Akbar, kerjaya beliau meningkat di sini. Apabila saya nyatakan yang saya bakal melanjutkan pelajaran di peringkat PhD, Roza kelihatan gelisah. Bibirnya pecah-pecah dilanda tekanan. Kerjaya dan keluarga nyata menyusahkan hati beliau. Saya memahami.

Begitulah. Ketika kerjaya saya sentiasa meningkat naik, Roza kelihatan menyongsang turun. Itulah pengorbanan isteri yang tidak ternilai. Beliau sentiasa di belakang memberi sokongan. Saya menghargainya. Namun Roza seorang yang bersemangat. Sekembali dari Wales, beliau terus menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda secara sambilan.

Allah… Allah… Allah… beliau lulus cemerlang. Ia tidak terhenti di situ. Akhirnya beliau berjaya memperolehi ijazah sarjana sehingga diterima sebagai pensyarah UiTM ketika usianya melepasi 40 tahun. MasyaAllah, tiga tahun kemudian beliau disahkan dalam perkhidmatan. Beberapa bulan kemudian perlu meletakkan jawatan jika mahu berhijrah ke Madinah.

Aneh, begitulah putaran kehidupan. Banyak peristiwa berlaku tanpa dirancang. Bila tiba di persimpangan kita perlu memilih. Namun akal manusia tidak sempurna. Maklumat tentang masa hadapan hampir sifar. Namun prinsipnya mudah, sesuatu yang baik untuk kita tidak semestinya terbaik di sisi Allah.

Saya tahu Roza sentiasa berdoa untuk mendapat yang terbaik buat dirinya, suami, anak-anak dan keluarga. Benar, Dia Maha Mendengar menjadi pegangannya sejak sekian lama. Hampir enam tahun beliau berdoa agar saya dilembutkan hati untuk menunaikan fardhu haji. Ia rintihan hati isteri kepada Allah SWT menceritakan betapa suaminya enggan ke Tanah Suci.

Malah ada ketikanya kita pernah meminta-minta sesuatu dengan Allah SWT tetapi berasa rimas dan cemas apabila dianugerah dengan cara yang bertimpa-timpa. Benar, ketika remaja Roza pernah meminta untuk pergi ke Luar Negara. Ia lintasan hati seorang anak yang suci bersih hanya kerana menonton sebuah filem dokumentari. Saya sentiasa teringat catatannya melalui buku Travelog Cinta Abadi,

“Ya Allah! Berikanlah saya kemungkinan itu. Tunaikanlah hasrat hati. Jika tidak temukanlah jodoh yang boleh membawa aku ke luar negeri”

Itulah doanya ketika kesedihan memikirkan kenyataan guru yang menyatakan, “kamu mesti pandai jika mahu ke Luar Negara,”. Ia lintasan hati yang dilafazkan bukan di tikar sembahyang kerana membayangkan beliau bukanlah seorang pelajar pintar. Akhirnya, menoleh ke belakang, Roza melihat Allah memakbulkan doanya dengan memberi peluang menjelajah ke lebih 20 negara bersama suami yang dipohonnya daripada Allah SWT. Benar, Dia Maha Mendengar.

MasyaAllah, kini Allah tawarkan Roza untuk berhijrah ke Luar Negara. Ia pula bukan lokasi sebarangan. MADINAH. Allah… Allah… Allah… hakikatnya ia jelas bukan satu pilihan – pergi atau tidak – yang perlu dipertimbangkan.

Logiknya mudah, kita membuat permohonan lalu diberi keizinan dan kemudian tanpa segan silu mahu menolak kerana memikirkan ia tidak sesuai dengan keperluan diri. Saya fikir, ia anugerah yang perlu diterima dengan penuh keredhaan. Ia menjadi lebih mudah jika pesan Baginda SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari diamati sepenuh hati, “sesungguhnya iman akan berkumpul di Madinah sebagaimana berkumpulnya ular ke sarangnya”.

Kami berhijrah ke sangkar keimanan!

Saya tahu Roza cintakan kerjayanya. Jiwa beliau seorang pendidik. Maka ketika menghantar emel kepada Dr Adnan Alamasi – Dekan Kolej Pentadbiran Perniagaan – saya menyatakan, “isteri saya juga seorang  pensyarah berkelulusan MBA. Beliau mempunyai pengalaman industri dan pernah bekerja di Luar Negara. Mohon pertimbangkan jika ada kekosongan yang sesuai dengan beliau”. Lalu jawapannya ringkas, “kami hanya mengambil mereka yang berkelulusan PhD. Namun bila sampai di Madinah, kita fikirkan apa yang boleh dibantu”.

Jelas. Kami meninggalkan KLIA dalam sedar betapa Roza sudah benar-benar bersara. Beliau akan menjawat jawatan suri rumahtangga dan perancangannya menjadi penulis sepenuh masa. Malah kami sudah merancang untuk beliau menyambung pelajaran dalam bidang Quran. Baca dan hafal. Roza benar-benar redha. Kerjaya pensyarah dilupakan.

Enam bulan berlalu. Tiba-tiba kami mendapat panggilan telefon dari Dr Adnan. Saya bergegas pergi memikirkan apakah yang perlu saya lakukan. Beliau bertanya, “adakah Roza masih berminat untuk mengajar? Saya memberi pilihan, samada bekerja sepenuh masa atau dilantik sebagai pensyarah bersekutu?”.

Ya Allah…. Ketika kami sudah melupai janji ringkas beliau, Dr Adnan digerakkan oleh Allah SWT untuk menunaikan janjinya. Alhamdulillah. Ia anugerah Allah kepada Roza. Hadiah ulangtahun yang ke 45. Begitulah, bagaimana Allah mengatur kehidupan hambaNya tidak terfikir dek akal manusia.

Benarlah, rezeki itu kepunyaan Allah. Ketika pengambilan pensyarah luar negara – selalunya – memerlukan kelulusan PhD, Roza dikecualikan. Beliau hanya perlu mengajar 6 jam berbanding 20 – 22 jam seminggu dengan kadar bayaran yang melebihi pendapatan sebelumnya.

Nikmat yang mana satukah yang perlu kami dustakan? Ya Allah, kami bersyukur di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan.

Kami mohon keampunan Mu.