Bawa Daku Bersamamu

Awak mahu minum?

 Angguk. Isyarat itu sahaja yang mampu dilakukan. Angguk dan geleng. Dirinya lemah sekali. Namun – Alhamdulillah – isteri sentiasa di sisi mengenal pasti keperluan suami tersayang.

Makan dan minum disuapkan. Tangan sasa suaminya kini sudah tidak mampu menghalakan sudu ke mulut sendiri. Jangankan mengangkat tangan, membuka mata pun sudah tiada upaya. 

Begitulah fitrah manusia. Dilahirkan dengan keadaan lemah, kemudian semakin hari semakin kuat bertenaga. Kini beransur lemah kembali. Namun, sesekali terjaga beliau bertanyakan waktu solat. Meminta diambil wuduk. Beliau tetap mahu bersolat.

Saya mengagumi isteri yang melayani suami ketika terlantar tenat pada hari tua. Hati tidak dapat mengelak untuk berkata-kata,

 Ya Allah ya Tuhanku … mampukah daku setabah dan sesabar ini melayani suami pada kala dia terbaring lesu dan perlukan bantuan.

Namun masa itu pasti tiba. Jika ditakdirkan suami dijemput dahulu menemui Ilahi, saya berikrar serta berjanji untuk tidak menitiskan air mata.

Mampukah saya?

Rasulullah SAW juga dilanda kesedihan ketika pemergian Siti Khadijah.  Itulah isteri paling dicintainya. Baginda SAW berpoligami hanya setelah pemergian isteri pertama. Allah ya Allah … semuanya terkandung seribu hikmah yang tidak mampu ditelah manusia.

Apakah saya setabah A’isah binti Abu Bakar? Beliau masih terlalu muda ketika suami pergi menemui Tuhannya. A’isah ditinggalkan sendirian tanpa zuriat dan harta. Malah beliau isteri nabi yang tidak boleh mencari ganti. Ia dinyatakan dalam kitab suci al-quran.

Allah … Allah ya Allah … berbahagialah suami beriman yang berjaya mendidik isterinya supaya juga beriman. Bukankah Allah menjanjikan orang-orang beriman dengan syurganya? Allah SWT telah nyatakan melalui surah at-Taubah, ayat 72 yang bermaksud,

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga Adn serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.

Dalam waktu terbatas, saya merenung suami di sisi. Sungguh, suatu ketika nanti kami juga bakal dipanggilnya. Apakah usia perkongsian hidup digembleng bersama untuk mengabdikan diri kepadanya? Apakah cukup bekalan diperuntukkan untuk sama-sama bertemu kembali di negeri kekal abadi?

Diam-diam saya renungi diri. Bukankah ketika diijabkabulkan saya diingatkan oleh wali agar taat perintah dan larangan Allah, mengikuti ajaran Rasullah SAW dan mentaati suami. Ada makna menusuk hati memahami betapa Hawa diciptakan Allah dari Adam, suaminya sendiri. Melalui surah an-Nisa’, ayat 1 Allah berfirman yang bermaksud,

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namanya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Allah … ya Allah … terlalu banyak kenyataan di dalam Quran menyentuh tentang kewajipan lelaki terhadap wanita. Misalnya pemberian nafkah, pakaian, keselamatan, pelindungan, maruah dan agamanya.

Sebaliknya, wanita bertanggungjawab mengurus rumah tangga, menjaga kehormatan, maruah suami dan anak-anak. Tidak pula dibebani dengan kerjaya di luar rumah. Maknanya, wanita tidak akan dipersoalkan Allah SWT jika tidak keluar mencari rezeki sebagaimana suami. Ia bukan tugas hakiki.

Dunia moden hari ini menyaksikan begitu ramai wanita meninggalkan rumah mencari rezeki. Seolah-olah ia suatu amalan wajib terutamanya selepas melepasi pengajian peringkat tertinggi di universiti. Jika ada wanita yang tidak mahu begitu sering dipandang negatif. Benar, ia pilihan minoriti.

Salahkah jika wanita turut sama membantu suami menyara keperluan keluarga?

Tidak ada salahnya. Namun segala-galanya perlu jelas. Syarat pertama, wanita harus memastikan keadaan pengurusan rumah dan anak-anak sentiasa teratur dan rapi. Kedua, masalah anak-anak di dalam pelajaran dan kasih-sayang  tidak terabai. Ketiga, penjagaan adab-adab, kesopanan dan tatasusila sebagai wanita bermaruah apabila berhadapan dengan masyarakat bercampur-aduk. Akhirnya, penjagaan aurat dengan sempurna sebagaimana yang disyariatkan Islam dalam al-Quran.

Agaknya berapa ramai para isteri mahu akur dengan keadaan ini?

Saya berpaling melihat diri berkali-kali. Lalu bertanya diri, “bukankah mulut menyebut mahu bersama suami tercinta serta zuriat keturunan masuk bersama ke syurga Firdaus?”. Jika itu impiannya maka setiap orang perlu bergerak ke arah tersebut. Perlahan-lahan saya mencatat senarai semak apakah amalan kebaikan yang dituntut dilakukan serta larangan Allah telah ditinggalkan.

Apakah amalan dan pembawaan melayakkan kami sekeluarga menjadi ahli syurga tanpa dihisab dengan rahmatnya?

Banyak sungguh pertanyaan yang singgah di fikiran pada kala usia berbaki semakin singkat. Pertama, apakah kami mentaati Allah dan menyerahkan segala urusan hidup semata-mata kerananya? Apakah kehidupan kami dalam reda dan rahmat Allah SWT?

Kedua, apakah kami tidak berpaling daripada al-Quran dan sunah? Apakah jalan dituju berada dalam landasan yang lurus?

Ketiga, apakah daku berjaya menjadi wanita bahagia yang menjalankan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak?

Keempat, apakah daku wanita yang disayangi suami telah berbuat baik terhadap kedua orang ibu bapa serta mertua? Apakah daku menggembirakan hati pada hari tua mereka?

Kelima, apakah daku wanita yang terlalu menumpukan kepada duniawi, mengejar kemewahan, memperagakan kecantikan diri, bermegah-megah dengan segala kelebihan yang ada? Apakah daku terlalai dengan segala urusan dunia sehingga tergesa-gesa menjalankan urusan akhirat?

Akhirnya, sabar dan semakin tundukkah daku ketika diuji? Apakah daku merungut, mencemuh, merepek-repek dan bergundah gulana kerananya? Berjayakah daku menjadi isteri dan ibu yang sabar menghadapi ujian suami dan anak-anak? Apakah daku bersyukur dan mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha Esa sepanjang masa?

Allah ya Allah … ampunkan daku jika terlanjur dan menyakiti suami tanpa sedar kerana kejahilan diri. Ampunkan dosa atas kelemahan suamiku membentuk daku menjadi wanita sempurna. Masa yang berlalu telah berlalu ya Allah. Kami memohon keampunanMu dalam waktu tersisa.

Wahai Tuhan penguasa alam … perkenankanlah!