Hadiah buat Suami: Maafkanlah …

Lidah tidak sepatutnya tergigit. Namun ia tetap berlaku. Lalu timbullah kata-kata, “sedangkan lidah lagi tergigit ….”.

Lidah lembut tanpa tulang jarang menonjol di khalayak. Ia tersorok. Namun sesekali berfungsi, tajamnya menikam hati. Gigi bertugas rasmi sesekali-sekala tidak berupaya mengelak daripada menggigit lidah. Bagaimana mahu mengunyah makanan jika lidah bergerak-gerak. Lalu kata orang, ”jika tidak mahu lidah tergigit … duduk diam-diam. Berfungsilah apabila diperlukan”.

Lidah dan gigi ibarat suami isteri. Mereka saling memerlukan. Bayangkan bagaimana mahu membaca al-Quran dengan tartil jika tiada gigi dan lidah tidak digerakkan ke atas dan ke bawah. Bersekali dengan bibir mengawal pergerakan – tutup dan buka – apabila diarahkan.

Bayangkan juga bagaimana kiranya bibir berdegil tidak mahu menutup secara berpasangan apabila menghirup minuman? Apakah yang terjadi jika bibir tidak mahu menerima arahan otak agar membuka mulut seluasnya menerima makanan? Ketika itu kehebatan gigi dan lidah tidak ke mana.

Subhanallah!

‟Tiada siapa sempurna dalam hidup ini. Masing-masing ada masanya terkhilaf. Jadi … maafkanlah,” nasihat seorang ibu mithali.

Ketika usia perkahwinan masih muda, terlalu banyak harapan diberikan kepada suami dan isteri. Si isteri mengharapkan bantuan suami bersama-sama menjaga anak. Sekurang-kurangnya membantu menyediakan sebotol susu atau menyalin lampin pakai buang ketika isteri sibuk berperang di dapur atau anak menangis di tengah malam.

Namun, sebagai isteri usahlah menganggap ia tugas wajib dilakukan oleh suami terutamanya apabila berada di khalayak ramai atau di sekelilingi saudara-mara. Usahlah berkata dengan nada memberi arahan atau mengeluh,

Abang … anak kan menangis. Cuba tengok, lapar susu ke atau lampinnya basah.

Allah … Allah ya Allah … suami tidak suka diperlakukan dengan arahan begitu. Ia menampar ego kelakiannya. Sekalipun suami tidak kisah namun barangkali ibu atau kakak-kakaknya memerhatikan keadaan. Tidak elok dipandang mata, tidak cantik perbuatannya.

Duhai suami yang baik hati … bertegaslah walau sedalam mana sayang mu terhadap isteri. Usah biarkan dirimu diperlakukan begitu. Usah bersikap lemah bukan pada tempatnya. Tolong menolong dan bertolak ansur mesti kena pada waktunya.

Hakikatnya tidak semua dianugerahi suami selembut itu. Ramai isteri menahan dan memendam rasa. Segalanya diserahkan ke bahu wanita bernama isteri. Mentang-mentang isteri terlalu cekap maka segala urusan ditimbunkan ke bahu beliau. Ada suami berkata,

Alhamdulillah! Saya bersyukur sebabnya isteri saya bertenaga kuda. Dia mampu bekerja dari pagi hingga ke malam. Semua urusan dilakukan sendirian.

Duhai suami yang disayangi isteri … tidak kasihankah melihat isterimu bertungkus lumus menguruskan rumah tangga? Beliau menyusukan anak mu, membasuh, menyidai, melipat dan menggosok baju. Beliau juga memasak makanan mu.

Tidakkah merasa belas melihat isterimu – sebelum fajar – sudah bangkit menyiapkan keperluan anak-anak ke nurseri dan ke sekolah? Beliau menyediakan sarapan, menghantar anak-anak ke sekolah dan menjemput pulang pada sebelah petang. Balik ke rumah kerja-kerja lain masih menunggu.

Duhai suami … maafkanlah … jika sesekali isterimu memalingkan muka bagi melindungi suram serta sedih terpancar di wajahnya. Sebenarnya isterimu keletihan. Beliau kepenatan setelah seharian bertungkus-lumus dengan segala urusan.

Lalu, kami terbayang kehidupan ketika bermukim di bumi Rasulullah SAW, Bandaraya Madinah. Tidak pernah sesekali kami melihat wanita menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka tidak berkeliaran di pasar-pasar basah membeli daging, ayam, ikan serta sayur-sayuran. Apa yang dibawa suami pulang maka itulah yang dimasak oleh isteri di rumah.

Sesekala kami melihat pasangan suami-isteri ke kedai runcit membeli bekalan keperluan dapur. Walau tersembunyi di sebalik niqab, terbayang wajah bahagia. Barangkali bahagia dapat keluar menjalankan tanggungjawab bersama.

Di Tanah Air sendiri, kami pernah melihat wajah kesal si isteri apabila  suami menolak ketika diminta membeli keperluan di kedai berdekatan. Apakah alasan suami? …

Awak pergilah sendiri. Bukankah awak boleh memandu kereta? Dekat sahaja …

Sungguh benar, pasti mencuka wajah isterimu duhai suami. Dekat atau jauh … bukanlah isu bagi seorang wanita bernama isteri. Jika malas pergi sendirian, ajaklah isteri bersama. Beliau pasti kegirangan berdua-duaan di luar seketika walau sekadar untuk membeli sebotol minyak masak.

Ketika di Madinah, kami kagum melihat jiran wanita berbangsa Arab. Rumah beliau tersusun kemas, sering menghantar juadah kepada kami sekeluarga dan masih bekerja sebagai guru sekolah.  Kami bertanya,

Apakah benar semua kerja rumah wanita Arab dilakukan pembantu?

Beliau tersenyum sambil memandang saya dengan wajah kehairanan. Kata beliau,

Bukan semua orang Arab kaya raya. Kami berasal dari keluarga sederhana. Saya menuntut ilmu sehingga ke universiti dan bekerja. Apabila berumah tangga, saya perlu memasak dan melakukan kerja-kerja rumah bagi meringankan tugas suami.

Jika kami tidak mampu melakukan semua itu, kami bercuti tanpa gaji. Jika telah melampaui had tertentu, kami rela berhenti kerja.

Di akhirat nanti … Allah tidak bertanya tentang jawatan, gaji dan kelulusan kita. Apakah yang akan ditanya? Apakah kamu taatkan Allah, Rasul dan suami mu?”

Allahu Rabbi. Kami memohon keampunanMu. Maafkanlah kami duhai suami…

Subhanallah!