BERDOA UNTUK KE SANA

Kita sering berdoa. Ada doa yang kelihatan dimakbul serta-merta. Ada masanya ia sudah terlupus dari ingatan.

Namun – bila sampai masa dan ketika – ia tetap dimakbul oleh Allah SWT. Sungguh, Dia Maha Pengasih lagi Maha Mendengar. Benarlah … Allah SWT telah berfiman dengan jelas dan nyata melalui ayat 186, surah al-Baqarah yang bermaksud,

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

(Terjemahan surah al-Baqarah, ayat 186)

Kini kami masih lagi meminta. Ia permintaan seiras dengan permintaan Roza. Kami mahu ke negara baru. Kami mahu tinggal di sana. Kekal selama-lamanya. Ia negara syurga Firdaus. Bezanya, kali ini kami benar-benar mahu Allah SWT memakbulkan permohonan ini. Ia bukan satu pilihan samada kami mahu ke syurga atau neraka. Benar, kami mahu hanya ke syurga Firdaus dengan rahmatNya.

Ya Allah, Kau kasihanilah kami agar dapat bertemu kembali di Firdaus. Ampunilah kami ya Allah.

Kami – saya dan Roza – mahu bersama. Malah – biarlah – kedua ibu bapa, anak-anak, adik beradik, kaum keluarga, sahabat handai serta kaum muslimin-muslimat juga dapat berkumpul dan saling mengucap selamat di syurga. Lalu kami berdoa dan – Insya Allah – akan kami teruskan sehingga nyawa terputus. Bukankah mereka yang tidak berdoa merupakan ahli neraka?

Dan Tuhan kamu berfirman:

Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.

(Terjemahan surah al-Mu’min, ayat 60).

Doa merupakan ibadat mudah. Saya rasa begitu. Berdoa dan meminta memang sifat semulajadi manusia. Manusia akan meminta bila mereka benar-benar berkehendak. Begitulah, jika kita memahami betapa kita tidak mempunyai pilihan samada syurga atau neraka maka berdoa juga merupakan satu usaha yang sangat signifikan.

Berdoa boleh dilakukan semasa dan selepas solat, ketika berjalan, duduk, baring dan secara hakikatnya pada setiap ketika. Benar juga ada masa-masa yang diberi keutamaan, amalan dan sifat tertentu manusia yang dikatakan doanya lebih mustajab di sisi Allah SWT. Hakikatnya, itulah anugerah Allah SWT. Misalnya, Dia telah memberi tawaran lumayan – bagaimana mahu doanya mustajab – sebagaimana hadis berikut,

Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hamba Ku yang berdoa kepada Ku, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba Ku yang meminta ampun kepada Ku, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba Ku yang meminta kepada Ku, supaya Aku memenuhinya?

(Hadis riwayat Imam Bukhari pada sohihnya, kitab: Tahajjud, Bab: Doa pada solat di akhir malam. Nombor hadis: 1145).

Allah SWT bertegas mahu memakbulkan doa hamba-hambaNya yang bangun pada 1/3 hujung malam tersisa. Apa sahaja yang diminta mahu dipenuhinya. Allah ya Allah … masa kita sangat suntuk, bercita-cita mahu ke Firdaus bersama isteri(suami), ibu bapa, anak-anak dan kaum keluarga dan sahabat handai, tidak mahukah kita menjawab pertanyaanNya itu dengan berkata, “kami ya Allah … kami ya Allah, kami ya Allah. Kami berdoa, kami bertaubat dan kami meminta”.

Sungguh, Dia Maha Pengasih.

Namun ada sifat jelik manusia yang dimurkai oleh Allah SWT. Manusia sering berdoa ketika mereka berada di dalam kesusahan dan ditimpa musibah. Jika mereka senang, bahagia dan tidak berdukacita maka mereka sering lalai dan alpha tentang kehadiran Allah SWT. Mereka lupa untuk bersyukur. Manusia mudah bertukar cerita. Tingkah lakunya berbeza. Anehnya … ada juga yang terlanjur sehingga melakukan perkara terlarang di dalam meraikan kegembiraan.

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah beliau serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila beliau ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.

(Terjemahn surah Fussilat, ayat 51)

Manusia juga tidak mempunyai sifat sabar. Buktinya mudah. Jika mereka berdoa dan menganggap ia semata-mata sebagai meminta sesuatu – selalunya – maka ia tidak mampu bertahan lama. Selepas beberapa ketika berdoa dan meminta mereka biasanya mula berkeluh-kesah dengan permintaan yang kelihatan tidak diambil perhatian oleh Allah SWT. Sikap seumpama ini jelas digambarkan oleh Baginda SAW dalam satu hadis yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a. berkata yang Nabi SAW bersabda:

Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba, selama doa itu tidak mengandung dosa, atau memutus silaturrahim dan selama tidak memohon cepat-cepat diperkenankan.

Lalu beliau ditanya orang, “Apa maksudnya memohon cepat-cepat?” Baginda menjawab, “umpamanya seorang berkata dalam doanya, aku telah mendoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu beliau berputus asa dan berhenti mendoa.

(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis bernombor 2355).

Sungguh, Allah itu Maha Pengasih. Dia berjanji mahu memakbulkan mereka yang bersungguh-sungguh berdoa mengikut aturanNya. Misalnya, setiap permintaan – melalui doa – mereka yang beriman dan bertaqwa akan diperolehi di dalam syurga. Allah SWT berfirman,

Mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).

(Terjemahan surah al-Furqaan, ayat 16).

Sungguh – selain Roza – saya benar-benar mahu berkumpul di Firdaus bersama kedua pasang ibu bapa – ayah, wan, mak dan abah – yang telah banyak berjasa kepada kami sekeluarga. Merekalah yang telah membantu kami membentuk asas kehidupan.

Saya fikir ramai di antara kita yang begitu kasih, sayang dan cinta kepada kedua-dua ibu bapa. Bayangkanlah bagaimana seronoknya apabila pulang berhari raya ke rumah kedua ibu bapa setelah hanya beberapa bulan berpisah kerana sudah mempunyai kehidupan sendiri. Allah ya Allah … perpisahan dan pertemuan kerana kematian tentunya lebih meriah dan tidak dapat digambarkan.

Apatah lagi jika ia berlaku di syurga Firdaus!

Bayangkanlah betapa ramai yang menitiskan air mata ketika ibu dan ayah meninggalkan kehidupan dunia. Jika itulah kemahuan kita – mahu bertemu dan berkampung di Firdaus bersama ibu bapa – maka pamerkan rasa cinta tersebut dengan menjadi anak soleh dan solehah yang mendoakan kedua ibu bapa agar mereka terlepas siksa kubur, Padang Mahsyar dan azab api neraka.

Doakanlah agar kita dan mereka bertemu di Firdaus. Bukankah Allah memberi kelebihan kepada anak yang soleh dan solehah sebagaimana diucapkan oleh Baginda SAW yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a. menyatakan Rasulullah SAW bersabda:

Apabila seorang di antara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya.

(Hadis Riwayat Muslim)

Juga … kita kasihkan anak-anak. Setiap daripada kita mahu mereka beriringan bersama ke syurga Firdaus. Bayangkanlah bagaimana anak-anak bersama pasangan mereka dan cucu-cicit-ciut yang mungkin tidak dikenali di dunia saling berpeluk dan mengucap salam di Firdaus. Allah … Allah … ya Allah, menulis inipun sudah terasa sebak di dada. Apatah lagi jika impian sebesar ini menjadi kenyataan. Ia berlaku ketika kita tahu yang ia akan kekal abadi selamanya.

Hakikatnya, mahukah kita melihat mereka – anak keturunan sendiri – tersiksa menghadapi azab kubur, padang Mahsyar dan api neraka? Benar, impian dan harapan kita belum tentu terlaksana. Ia hak, anugerah dan rahmat Allah SWT.

Kenangilah kisah Nabi Noh yang gagal membawa anak-anaknya menaiki bahtera yang bakal membawa mereka ke syurga. Ia bukan soal baginda tetapi anak-anaknya yang memilih untuk menjadi kufur ingkar.  Mereka kekal di neraka buat selamanya.

Namun kita dianugerah Allah SWT dengan satu keistimewaan yang cukup luar biasa, iaitu doa ibu bapa diterima dan dimakbulNya. Bukankah Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.

(Hadis riwayat Imam Tarmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

Malah berdoa untuk sahabat yang berjauhan juga dimakbul Allah sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda SAW yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a berkata yang Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Perhatikan uban di kepala. Lihatlah kedut-kedut yang mula timbul di muka. Kemudian kenangilah masa-masa yang telah kita lalui. Akhirnya, fikirkanlah saat-saat kematian yang bakal muncul. Apakah kita mampu membawa diri, isteri, anak-anak dan kaum keluarga bersama ke Firdaus. Allah SWT mengajar agar kita sentiasa berdoa untuk Dia makbulkan permintaan tersebut. Allah SWT mahu kita bercerita, mengadu dan memohon belas kasihanNya agar kita memahami betapa kita adalah hamba dan Dia adalah Pencipta.

Begitulah hebatnya kuasa doa yang kelihatan mudah dan ringkas. Namun – dalam kebanyakan kes – Allah SWT mengajar kita untuk melakukan pelbagai ibadat lain dan mengaitkannya pula dengan amalan berdoa yang mahu dimakbulNya. Misalnya amalan berpuasa. Puasa adalah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT sehinggakan pahala orang yang berpuasa hanya Allah SWT sahaja yang akan menentukannya. Malah dalam satu hadis dinyatakan betapa doa orang yang berpuasa sangat mustajab di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda yang bermaksud,

Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya.

(Hadis Riwayat Tarmidzi)

Sungguh, Dia Maha Pengasih. Allah SWT telah memberi banyak keadaan untuk kita berfikir. Dalam konteks berdoa – misalnya – dinyatakan secara jelas betapa doa pada 1/3 malam tersisa akan dimakbulkan, doa anak yang soleh dan solehah kepada kedua ibu bapanya, doa ibu bapa kepada anak-anak, doa sahabat yang berjauhan dan doa mereka yang berpuasa juga sangat mustajab.

Berdoalah kerana Allah. Berdoalah agar Allah SWT membawa kita, seluruh keturunan dan sahabat handai ke syurga Firdaus. Insya Allah, sungguh, Dia Maha Pengasih.

Benar, saya impikan bersama-mu di Firdaus. Biarlah masa berbaki ini – walaupun singkat – kita usahakan untuk mendapat RahmatNya agar terpilih di antara yang sedikit berjalan pergi tanpa dihisab. Membayangi kematian boleh menjadikan kita lebih zuhud dengan dunia.

Usia tua bersama biarlah disirami dengan rasa cinta berterusan. Biarlah daku mengusik uban rambut, garis-garis di kelopak mata atau jelly di tubuh namun daku menanti ketika usiamu sentiasa kekal muda, perawan dan tanpa rasa cemburu di hati.

Marilah kita berdoa sebagaimana Baginda SAW berdoa sebagaimana yang tercatat melalui hadis yang catatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud,

Dari Abdul ‘Aziz r.a. iaitu Ibnu Shuhaib katanya:

Qatadah bertanya kepada Anas r.a., doa apakah yang sering dibaca Nabi saw?

Anas menjawab, “doa yang paling banyak dibaca Nabi saw. ialah: Allahumma aatina fid dunya hasanah. wa fil aakhirati hasanah, Wa qinaa ‘adzaban nar.”

(Wahai Allah, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, serta hindarkanlah kami dari seksa neraka)

(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis bernombor 2312)

Di atas segalanya, saya meyakini betapa sungguhnya Allah itu Maha Pengasih. Sedikit manapun masa berbaki – Insya Allah – pintu Firdaus terbuka luas untuk kita berpegangan tangan di Raudhah. Berdoalah.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.