Sukar Untuk Melepaskan

Sebulan dua kebelakangan, kami sekeluarga sibuk dengan persiapan majlis pernikahan anak sulung kami, Nabilla. Kekangan masa, jarak dan sumber kewangan menjadi penyebab terbesar beberapa kerja tidak dapat disiapkan segera. Banyak “nitty-gritty” yang perlu diberi perhatian oleh dua wanita berkerjaya yang hanya mempunyai masa terluang di sebelah malam dan hujung minggu.

Pengalaman berulangalik JB-Shah Alam setiap empat hari sekali dan lima jam dalam bas menjadi rutin yang saya nantikan kerana itu sajalah masa tidur paling nyenyak!

Akhirnya, pada 18 November yang baru berlalu, tibalah hari yang dinantikan.

Subhanallah.

Hati berdebar jantung bergetar. Semua rasa ada. Gembira, takut, cuak, gementar, sedih, sayu dan pelbagai lagi. Berbaur-baur. Syukur alhamdulillah Allah hadirkan beberapa sahabat yang rajin berpesan-pesan agar kami banyak memohon keampunan dan kemudahan dari Allah, serta sentiasa bersabar dan reda. Syaitan kelihatannya begitu rajin dan bersungguh-sungguh mahu menggagalkan usaha yang suci ini.

Usai solat Jumaat di Masjid Negeri, kami berhimpun di Dewan Nikah bagi acara yang paling dinanti. 27 tahun bersama satu-satunya puteri kami, saat itu airmata saya terasa begitu banyak. Seketika mendengar suara merdu Ustaz Firdaus Subhi membaca khutbah nikah, airmata sudah berjuraian tanpa henti. Hati terasa seperti disayat sembilu. Tangannya erat menggenggam tangan saya. Pandangan matanya sayu bercampur suram sambil bibirnya menguntum senyuman pilu.

Genggaman tangannya terasa semakin kuat ketika mendengar suara si Ayah memanggil pengantin lelaki. Ada getar di hujung suara si ayah. Saya terasa kosong seketika. Flash kamera, video dan lampu yang tersorot seolah terhenti.

Selepas beberapa ketika, saya lihat Ustaz mencapai mikrofon dan serentak mengucapkan  “Alhamdulillah”, helaan nafas lega terdengar memenuhi segenap ruang dewan. Di kala itu, dia memeluk erat badan saya menangis tersedu-sedu sambil berkata, “Ma…” Airmata tumpah tanpa mampu diseka. Allah Ya Allah. Gadis manja yang sekian lama menjadi teman paling akrab, kini sudah menjadi hak suami.

Sambil mengaminkan doa yang dibaca, pandangan hadirin tertumpu kepada si ayah yang tunduk sambil perlahan-lahan menanggalkan cermin mata lalu mengesat kedua belah mata dengan tisu. Saya pasti ramai yang turut sama mengalirkan airmata saat itu. Sukarnya untuk melepaskan si comel yang amat dikasihi.

Saya cuba menyelami perasaan sendiri mengapa dalam gembira dan syukur, ada rasa sedih dan terkilan yang amat.  Rasanya, jawapannya begini.

Dari dalam kandungan lagi, saya sentiasa berdoa Allah jadikan bayi yang saya kandung selama 35 minggu (lahir awal 3 minggu dari jangkaan),  insan berhati mulia yang berjaya di dunia dan akhirat. Kami beri nama Nabilla yang bererti “noble” atau “mulia” agar dia mendapat kemuliaan dariNya dan sekelian makhlukNya.

Hari berganti hari, dia membesar sebagai anak gadis yang ceria, peramah, kadangkala memberontak, maklum saja dikelilingi 4 adik lelaki, namun amat pemaaf dan mendahulukan orang lain. Saya nampak ketulusan hatinya menjaga hati sahabat dan saudara maranya yang lain.

Dia ringan tulang dan sentiasa bersedia membantu walau sesiapa sahaja tanpa persoalan dan mengharap balasan. Setiap hari dia bercerita dengan kami tanpa henti tentang apa saja. Kisah dalam keretapi, pejabat, pelanggan, Boss, kasut, buku cerita, movie. Semuanya.

Perjalanan hidupnya mudah; bermula dengan tadika, sekolah rendah, menengah, universiti dan alam pekerjaan. Sahabat-sahabat rapatnya pelbagai bangsa, lelaki dan perempuan, namun hanya ada satu nama lelaki yang sering disebut sejak dia melangkah ke alam dewasa – Azrul. Itulah nama yang dipanggil oleh si ayah sambil digenggam tangannya dan dinikahkan.

Dia berbeza dengan anak gadis lain yang menghabiskan wang gaji membeli alat solek, baju, kasut atau beg berjenama. Duitnya habis samada membeli buku, makanan kesukaan atau merawat berbelas ekor anak kucing yang menjadi kesayangannya.

Lantas, mengapa saya terasa begitu berat untuk melepaskan? Bukankah semua mudah baginya?

Hati berkata, Ya Allah! Semua orang pun tahu keindahan alam perkahwinan ada kalanya hanya ilusi.

Kami jaga dia dengan penuh kasih dan sayang. Terkadang, habis sebotol Ridsect disembur hanya kerana seekor nyamuk yang menggigit pipi comelnya hingga bengkak. Dia alah dengan MSG, aloe vera, habuk, jerebu, suhu sejuk, udang dan beberapa bahan dalam ubatan. Hospital sering menjadi rumah keduanya dan nebulizer sentiasa menjadi peneman setianya.

Bagaimana selepas ini?

Adakah dia akan dijaga dengan lebih baik? Bagaimana jika hatinya disakiti? Atau jika kasih sayangnya tidak dihargai? Sanggupkah saya membiarkan dia menangis sendiri?

Persoalan yang memberat di benak fikiran lenyap tatkala teringat doa yang sentiasa saya titipkan buatnya.

“Hadirkan seorang lelaki beriman dan bertaqwa dalam hidupnya yang akan membimbing dia memasuki syurgaMu Ya Allah.”

Itu yang saya ulang-ulang sejak dia kecil hingga kini.

Jadi, kenapa perlu ragu, Suria? Doa ibu tidak berhijab. Lagi pula, Azrul juga datang dari keluarga baik-baik yang tentunya sanggup memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Biarpun sukar untuk melepaskan, namun keyakinan terhadap ayat Allah seharusnya menjauhkan saya dari dibebani dengan ketakutan yang tidak bersebab. Syaitan memang bijak sekali membisikkan hasutan agar kita ragu dan tidak yakin. Astaghfirullahil azim.

Dalam tafsir Ibnu Katsir, Juz 2, ada dituliskan bahawa telah ditegaskan dalam Shahih Muslim, dari Jabir, bahwa Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam khutbahnya yang disampaikan pada waktu haji Wada:

“Takutlah kepada Allah dalam urusan wanita. Kerana sesungguhnya kalian telah mengambil (menikahi) mereka dengan amanat Allah dan meminta kehalalan dalam mencampuri mereka dengan kalimat Allah. Akan tetapi, kalian memiliki (hak) atas mereka, bahawa mereka (isteri) tidak boleh mengizinkan seseorang yang kalian benci menginjak tikar (rumah) kalian. Jika mereka melakukan hal itu, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Juga diwajibkan atas kalian (suami) memberi nafkah dan pakaian kepada mereka (isteri) dengan cara yang baik.”

Rasulullah juga bersabda, sepertimana diriwayatkan oleh Abu Dawud ketika ditanya tentang hak isteri;

“Hendaklah engkau memberikan makan kepadanya jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, dan engkau tidak boleh memukul wajahnya, tidak boleh menghina, dan tidak boleh mengisolasinya kecuali di dalam rumah.”

Selamat memulakan kehidupan baru, duhai anakku.

Mama doakan kalian berdua kekal bercinta hingga ke syurga.