Tetamu Rumah Hwarangdae

Tidak sampai sebulan lagi, 2017 akan menjengah. Masa menjadi puing-puing yang ditiup angin tambahan di musim sejuk, saat jarum jam berada di garis nombor lima, ia permulaan kepada waktu pagi, dan juga waktu malam.

Pukul lima petang adalah petanda rutin siang sudah tamat, bagi saya sendiri, apabila sahaja gelap, fikiran sudah melupakan laptop dan buku-buku sebentar, terus memikirkan anak-anak; menyiapkan makan malam, melayan dan menidurkan mereka seawal mungkin.

Tidak semua hal pada tahun ini dapat diingati dengan baik, namun yang sukar dilupakan adalah menerima kunjungan tetamu. Rumah comel kami dengan dua bilik tidur meriah dengan kedatangan tetamu jauh dan dekat. Bermula ibu mentua, adik, saudara-saudara dari Malaysia dan terbaharu, sahabat baik saya dan keluarganya.

Menerima tetamu perlukan persediaan fizikal dan wang agar tetamu berasa nyaman di rumah kita. Saya teringat abah yang begitu meraikan tetamunya; tidak membiarkan tetamu pulang dengan perut kosong. Saat tetamu di rumah kami, saya melupakan tesis dan buku-buku sebentar. Cuba memasak menu mengenyangkan mereka, kadang menu yang jarang kami sendiri makan; menu istimewa.

Tetamu yang datang bermalam di rumah biasanya mahu melawat Seoul dan kota sekitarnya. Hari minggu, kami peruntukkan masa membawa para tetamu ke wilayah Korea yang nyaman dari kesibukan. Saat ibu mentua berada hampir dua bulan di rumah kami, saban minggu kami membawanya berjalan-jalan antaranya ke Daejon, Kota Sejong dan Cheonan yang terletak di pusat Kota Korea. Ibu mentua sangat gembira, kali pertama dalam hidupnya melihat perbezaan alam dan cuaca ciptaan Allah SWT.

Cabaran

Di saat saya sedang menyiapkan tesis, hati berasa gusar apabila ada saudara dan sahabat yang mahu bertandang ke rumah. Lalu saya beristigfar dan teringat firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 77 yang bermaksud:

Bukanlah kebaikan bahwa kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepadaNya kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; dan orang-orang yang mendirikan solat dan membayar zakat; dan orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang sabar dalam kesusahan  dan kesengsaraan, dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa.

Ayat ini menyebutkan berbuat baik kepada orang-orang musafir adalah sebahagian daripada agama Islam dan sangat dicintai Allah SWT. Saya berkata pada suami, “Allah SWT yang mendatangkan para tetamu ke rumah kita adalah kerana Dia mahu memudahkan urusan kita. Tetamu adalah urusanNya, pasti Dia juga membekalkan rezekiNya yang luas buat kita meraikan tetamu.”

Benar. Begitulah yang terjadi. Allah SWT memberi kemudahan kepada kami. Urusan tesis Phd saya juga berjalan baik walaupun saya menulisnya tidak seperti rakan-rakan Phd lain yang fokus dan terkurung di perpustakaan sahaja. Kadang saya diberi kefahaman tentang apa yang telah dibaca waktu memasak atau mengemas rumah.

Bahan-bahan yang diperlukan juga mudah diakses dan ‘bertemu’ secara tidak sengaja. Di saat proses penyeliaan, Profesor tidak banyak karenah, bersetuju dengan apa yang telah ditulis. “Teruskan menulis bab seterusnya,” katanya yang membuatkan saya bersyukur.

Tetamu datang dengan keberkatan. Melayani tetamu adalah sebahagian daripada iman. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya. Sahabat bertanya, “Apakah layanan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “ Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Sejuk Yang Mesra

“Ummu, rupanya status Kak Bah empat tahun lepas pada tarikh yang sama dengan hari ini telah dimakbulkan Allah. Di status FB tu, Kak Bah tulis selain Mekah dan Madinah, aku berimpian ke negara Korea. Masya Allah, ketika tulis tu Ummu belum datang Korea lagi dan duit pun tak ada lagi. Sungguhlah impian itu satu doa seperti yang Puan Roza dan Prof Kamil Ibrahim tulis,” kata sahabat kami yang menziarahi kami di Korea minggu lalu. Saya turut gembira. Ajaibnya, Allah SWT datangkan saya dan suami ke Korea untuk memenuhi impian dan doa sahabat kami itu, masya Allah.

Janji

Saya dan suami teringat janji kami ketika berada di rumah ‘bilik hotel’ tahun pertama kami di Korea. Saya berkata, “Jika Allah SWT berikan rumah lebih besar kepada kita, saya berjanji mahu meraikan tetamu sebaiknya.” Allahuakbar, sekarang Allah SWT menjentik hati hambaNya bertandang ke rumah kami, Dia mahu menguji kami. Ujian dengan penuh kasih sayangNya.

Ya Allah, berikan kami kekuatan untuk melazimi kebaikan yang kami ucap di perkataan, menjadi perbuatan yang dilaksanakan hanya keranaMu. Semoga kelak, kami menjadi tetamuMu yang dibahagiakan di akhirat sana.

Amin.