Cemburu

Bahagia hadir bila hati rasa teruja melihat mereka yang lain berjaya. Sebaliknya, petanda buruk bila hati rasa gundah gulana melihat kejayaan orang yang tidak ada pun sebarang kepentingan. Muncul rasa dengki atau iri hati berombak-ombak di dalam dada.

Mata melihat sakit. Telinga mendengar pedih.

Rasa hati begini perlu dihapuskan. Semakin berusia biar ia langsung pupus. Apa sahaja yang berlaku di kiri-kanan, depan atau belakang menyentuh hati yang bersifat cemburu perlu cepat-cepat dibiarkan berlalu.

Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.

Sungguh, kita sering cemburu apabila dikaitkan dngan rezeki yang diterima orang. Yakinilah satu hal betapa rezeki itu anugerah Allah SWT. DIA beri secukupnya dengan beberapa aturan tertentu.

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

(Terjemahan surah Saba’: 39)

Benar … bezanya, DIA mahu meliha samada kita bersyukur atau tidak.