2017: Kita semakin tua

Biar saya akhiri bahagian ini dengan mengingatkan yang kita semakin tua. Masa hanya berjalan sehala. Masa tidak boleh berpatah ke belakang. Saya biasa mendengar orang bertanya, “apa penyebab kematian beliau?” Lalu jawapannya tanpa kepelikan, “sakit tua”. Jika ini sejenis penyakit maka rumah sakit selalunya enggan menerima pesakit seumpama ini. Saya fikir begitu. Ramai mengidap penyakit ini apabila tiba masanya.

Sakit ini – dalam kebanyakan kes – perlu dirawat sendiri di rumah. Ramai yang enggan menghadapi saat-saat ini. Tiada apa yang boleh dilakukan. Bukankah itu fasa-fasa yang perlu dilalui oleh kebanyakan manusia? Allah SWT berfirman melalui ayat 5, surah al-Haj bermaksud (sebahagian) :

…. kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu ….

Jika tua itu satu penyakit, maka ramai bersedia secara bersungguh-sungguh menunggu hari tersebut. Barangkali kita mahu masa tua tidak terlalu bergantung kepada anak-anak. Pandangan umum melihat saat kehidupan tidak kekal. Dan ketuaan adalah satu tempoh yang perlu dilalui dan seolah-olah sudah berada di hujung kehidupan bagi kebanyakan orang.  

Ia terputus apabila tiba saat kematian. Itulah noktah yang difikirkan oleh ramai manusia. Hakikat sebenar, kehidupan manusia kekal selamanya. Kematian di dunia hanyalah pemisah sementara yang menjadi sempadan laluan yang kekal abadi. Syurga atau neraka.

Mungkin ada yang bermula dengan neraka dan dengan rahmat Allah dipindahkan ke syurga. Sakit dan sembuh. Alangkah beruntungnya mereka yang terus bermula di syurga dan kekal selamanya. Sentiasa sihat. Alangkah ruginya mereka yang kekal selama-lamanya di neraka. Sakit yang tidak sembuh-sembuh. Seorang kenalan – Dato Abd Rashid Md Amin – pernah memberi sedikit renungan:

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia – sama ada suka atau tidak – akan didaftarkan oleh Allah SWT untuk ‘hidup’ kekal selama-lamanya. Cuma perjalanan kehidupan ini “berehat” seketika semasa berada di alam barzakh sementara menunggu hari kiamat. Akhirnya manusia dibangkitkan kembali untuk dilaksanakan perhitungan atas amalan baik buruk yang dilakukan di dunia.

Bayangkan bagaimana persiapan kita menghadapi hari tua yang hanya 10-20 tahun sahaja berbanding dengan hidup yang kekal buat selama-lamanya. Nyata ia tidak sepadan. Mereka yang berkhidmat dalam sektor awam – biasanya – memilih skim pencen berbanding KWSP dengan alasan ia lebih mudah dan selamat. KWSP itu sendiri merupakan sebahagian daripada simpanan untuk hari tua.

Ironinya, mereka yang berada di alam tua [nota: selepas pencen] akan memperuntukkan hampir seluruh masa yang tinggal bagi melakukan amal ibadat khusus mempersiapkan diri bagi kehidupan infiniti tersebut. Masa dihabiskan di surau dan masjid, mendengar atau memenuhi majlis ilmu, membaca buku-buku yang merapatkan jiwa dan perasaan kepada Dia yang Maha Berkuasa.

Soalnya, cukupkah amal ibadat yang menggunakan baki kehidupan di dunia untuk membawa diri kepada kehidupan selepas mati? Di sinilah kehebatan Allah yang memberikan anugerah Kasih dan SayangNya kepada seluruh manusia.

Misalnya, bukankah seluruh perbuatan kita akan dikira sebagai amalan jika kena caranya? Sekadar menyebut contoh mudah, bekerja dengan ikhlas – semata-mata kerana Allah – tanpa melakukan amalan rasuah, curi tulang atau pilih kasih. Apatah lagi jika ia dilakukan tanpa “terlalu sibuk” sehingga melupakan waktu solat lima waktu.

Oppss…. kenapa tidak bersolat berjemaah di masjid? Tidak bolehkah kita berhenti bermesyuarat – sebelum zohor – seketika untuk berimam di masjid? Kemudian, sambunglah mesyuarat tersebut sehingga ke waktu Asar. Lihatlah dengan hati dan perasaan. Allah memberikan pelbagai kemudahan atau insentif yang akan diambil kira sebagai mempersiapkan diri untuk terus kekal di syurgaNya.

Kenapa fadhilat beramal ibadat bagi mereka yang berkahwin dengan yang bujang berbeza? Kenapa ada hari yang bersamaan dengan lebih 1000 bulan? Kenapa ada gandaan 10X, 100X atau 1000X? Ya Allah, ada yang gandaannya sehingga 100, 000X. Kenapa ada ibadat haji? Kenapa ada doa? Kenapa ada taubat?

Namun jangan pula yang beramal ibadat semata-mata kerana ganjaran. Beramal ibadatlah semata-mata kerana Dia yang sememangnya patut kita sembah. Kita bersyukur di atas nikmat yang telah dianugerakan kepada kita. Selainnya akan datang mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh Dia yang Maha Berkuasa. Tua – hakikatnya – bukanlah satu penyakit yang perlu ditakuti kehadirannya. Hadirnya bersifat semula jadi. Tua hanya jadi penyakit kronik apabila hati mereka sudah menjadi keras kematu.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?

Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).

(Terjemahan surah al-Hadid: 16)

Subhanallah!