Bab 9: Memulakan Perjalanan

9.12.2015

Tarikh berlepas – akhirnya – muncul. Kami datang awal ke KLIA. Lima jam sebelum waktu berlepas. Rasa gusar, takut dan gentar beransur hilang. Suasana di kawasan daftar masuk pesawat Royal Jordan sangat-sangat membantu. Wajah ahli rombongan nampak ceria seolah-olah ia perjalanan biasa yang tidak perlu digusarkan. Masing-masing bertegur sapa meraikan kembara yang bakal ditempuh bersama. Ia jadi lebih mudah kerana urusan perjalanan kesemuanya diurus pihak syarikat.

Kami berempat – saya, suami, Mak dan Kak Ma – juga tidak mampu menyimpan perasaan teruja sesama sendiri. Benar … perjalanan kali ini tidaklah seiras perjalanan pertama kali memasuki Makkah ketika menunaikan fardhu haji. Ia pengalaman roh dan perasaan yang sangat luar biasa. Tidak dinyatakan sebarang mara bahaya di sana tetapi ketakutan dan pengharapan yang terkandung di dalam dada nyata tidak dapat dinukilkan. Persoalannya, “apakah Allah SWT menerima kehadiran kami sebagai tetamuNya?”

Kali ini berbeza. Kami berdoa agar Allah SWT memudahkan perjalanan yang pada sangkaan kami akan berhadapan dengan ujian kemanusiaan di sana. Kata orang begitu. Kami berjalan menuju dewan perlepasan dengan rasa bersedia menghadapi pengalaman berada di Palestin, sebuah negara yang dikuasai Yahudi.

Kisah kekufuran kaum Yahudi diulang-ulang di dalam al-Quran. Penindasan dan perangai buruk mereka terhadap manusia sejagat telah dinyatakan secara jelas. Misalnya, Allah SWT berfirman melalui surah An-Nisaa, ayat 53 yang bermaksud,

Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia.

Kami sungguh-sungguh terkejut apabila berada di dewan perlepasan. Ruang menunggu dipenuhi dengan penumpang yang mahu bersusah payah bermusafir dan beramal ibadat ke Masjidil Aqsa. Bezanya, ada yang hanya mahu semata-mata ke Palestin, terdapat kumpulan yang mahu bermusafir ketiga-tiga masjid – Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Al-Aqsa – dan segelintir yang bercadang melancung ke Jordan sebelum menunaikan umrah tanpa memasuki sempadan Palestin.

Di sini, saya bertemu dengan anak murid UiTM – Hanis Zulaika – bersama suami dan keluarga. Mereka ikut serta bersama kumpulan kami tetapi akan berpisah lebih awal bakal menunaikan umrah sedangkan kami akan menjelajah ke seluruh bumi Palestin. Sungguh … Hanis di zaman pengajian UiTMnya merupakan siswi bijak, bersopan dan berpengaruh di kalangan anak-anak muda Malaysia. Beliau sebutir mutiara mampu menjadi idola kepada ramai orang. Saya – dahulu dan sekarang – sentiasa mendoakan beliau mendapat perlindungan Allah SWT.

Malah kami bertemu dengan ramai orang yang bersedia untuk bersusah payah. Misalnya, kami bertemu dengan peserta yang sudah berulang kali solat di Masjidil Aqsa tetapi masih mahu ke sana. Saya kehairanan. Tidak takutkah mereka?

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.

(Terjemahan surah Al-Imran: 111)

Taklimat akhir – bagi kami – di KLIA sangat mustahak. Pengiring kumpulan menyatakan,

Ketika pesawat mendarat sudah masuk waktu subuh. Bergerak ikut kumpulan. Jangan terpisah. Pegawai imigresen Jordan akan mengambil pasport dan segera bergerak untuk solat subuh di kawasan sekitar.

Solatlah berhampiran tempat mengambil bagasi. Di musim sejuk waktu subuhnya sangat singkat. Kita kena bergerak cepat-cepat. Cepat bersarapan dan cepat kita ke sempadan Jordan – Palestin. Jika lewat … bas akan beratur panjang.

Amman, Jordan.

Pesawat kami mendarat di Queen Alia International Airport ketika benar-benar menjelang subuh. Keadaan pesawat yang sesak membuatkan pergerakan agak perlahan. Kumpulan kami tergesa-gesa keluar dari pesawat menuju ke imigresen. Waktu fajar semakin beredar. Kumpulan kami kelihatan cemas terutamanya kaum wanita.

Sungguh benar bagai dijangka. Kelewatan bertindak cepat membuatkan pergerakan tersekat. Penggunaan tandas bagi wanita mengambil masa lama memandangkan bilangan danruangnya terbatas. Lagipun tiada tempat berwuduk khas disediakan. Masing-masing mencari botol air atau terpaksa menunggu giliran untuk  ke tandas dan kemudian berwuduk.

Inilah ujian pertama yang perlu di atasi. Ia bukan angkara Yahudi atau sesiapa yang tidak sukakan orang Islam. Alhamdulillah … inilah yang akan saya khabarkan kepada mereka yang mahu bermusafir terutamanya kaum wanita,

Masa boleh dijimatkan jika kita mengambil wuduk di dalam pesawat. Ambil wuduk secara ringkas dengan penggunaan air terbatas. Paling mustahak, pakailah pakaian yang boleh terus di bawa solat. Insya Allah, ia boleh dilakukan.

Benar juga … lakukan sesuatu “ketika sihat sebelum sakit atau ketika muda sebelum tua.” Kami perlu bergerak pantas mengejar waktu. Sasarannya mahu jadi kumpulan terawal di sempadaa Palestin bagi memudahkan pergerakan masuk. Kami melihat deretan bas moden dan canggih sedang menunggu di luar lapangan terbang. Agak kami, kesemuanya mahu menuju sempadan.

Selamat datang ke Amman, Jordan. Apa khabar semua?

Sungguh ralit kami mendengar penerangan pemandu pelancong pemuda jati Jordan yang fasih berbahasa Inggeris di selang-seli dengan bahasa Indonesia. Penerangannya membantu. Alahai … kami semakin teruja. Rasa gusar semakin menyusut.

Kami dibawa bersarapan terlebih dahulu di sebuah restoran berhampiran. Kemudian, kami berhenti sekali lagi di sekitar Laut Mati bagi menyimpan barangan jemaah yang bakal menunaikan umrah usai ziarah di Masjidil Aqsa. Mata kami liar memerhati kiri-kanan. Akhirnya, kami sampai ke sempadan. Diam-diam hati berbisik,

Alhamdulillah. Sungguh, Allah SWT mendengar bisikan hati … apa terkandung dalam dada. Akhirnya sampai juga kami ke sini. Ya Allah permudahkanlah. Permudahkanlah. Kami datang semata-mata keranaMu ya Allah. Izinkan kami sujud di al-Aqsa Ya Allah. Sungguh … kepadaMu kami memohon.

Tiba-tiba sahaja perasaan sayu dan sebak di dada melihat sempadan Jordan – Palestin. Bas Jordan yang kami naiki bakal ditinggalkan. Di seberang sana bas Palestin pula menunggu. Berapa lama harus menunggu untuk masuk ke seberang?

Entah.

Allah SWT sahaja yang tahu jawapannya. Kami bersedia menghadapi masa menunggu yang tidak menentu.