Amirul: Anak Ketiga Paling Bongsu

Kegembiraan.

Itulah perasaan saya apabila diberi kepercayaan besar oleh Profesor Muhd Kamil Ibrahim dan isteri beliau, Puan Raudzah Roslan. Mereka memberi peluang untuk saya membantu seorang pelajar Muslim yang tidak boleh bertutur dalam Bahasa Arab, mempelajarinya sehingga mampu membaca al-Quran. Rasulullah SAW bersabda,

“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”

Peluang ini – kebiasaannya – hanya diberikan kepada penuntut universiti. Bagaimanapun – buat pertama kali – ia diberikan kepada pelajar sekolah menengah bernama Ahmad Amirul Imran Muhd Kamil. Ia melakar sejarah.

Amirul hadir dalam hidup saya sebagai seorang pelajar. Akhirnya, beliau menjadi anak ketiga dan paling bongsu dalam keluarga kami. Amirul menyertai kami ketika usianya baru 13 tahun. Beliau hidup bersama kami lalu membesar dengan ciri-ciri rakyat Sudan dalam dirinya.

Kedua ibu bapa Amirul memainkan peranan penting dengan mengambil keputusan berani apabila membuat keputusan menghantar anak mereka ke Sudan. Ketika usia masih setahun jagung, anak mereka bermusafir, menetap dan hidup berdikari di sebuah negara yang jauhnya beribu kilometer dari tanah air Malaysia. Hasrat utama Dr Mohamad dan Puan Roza mahu Amirul mempelajari Bahasa Arab, bahasa al-Quran.

Keluarga ini telah memberikan derma yang besar jumlahnya kepada Sekolah Menengah Tohnoon iaitu sekolah yang dipilih Amirul. Di sekolah inilah bermula pembelajarannya yang pertama di Sudan. Sumbangan tersebut telah menjadikan sekolah ini cantik dan kehijauan. Kemudahan surau dipertingkatkan.

Sudan – saya pasti – tidak pernah berada di dalam minda Amirul. Kedudukan negara ini di peta dunia juga tidak diketahuinya sebelum beliau menjejakkan kaki ke sini. Hakikatnya, terdapat perbezaan besar dari segi budaya, adat dan kepercayaan. Amirul mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan pantas sekali membiasakan dirinya.

Beliau berupaya mengatasi pelbagai perbezaan ini dan hidup bersama dengan indah dalam suasana yang disifatkan oleh penduduknya sebagai sukar. Kesukaran ini mudah dijelaskan buat anak-anak Sudan sendiri terutamanya mereka yang pernah hidup ­­di luar kawasan.

Sesiapa yang mengenali Amirul – InsyaAllah – pasti menyukainya. Tidak kiralah yang muda atau dewasa. Seisi keluarga menerima Amirul. Kehadiran beliau dalam keluarga tidak dikat melainkan dengan ikatan agama. Beliau seorang yang tenang, suka membantu dan begitu sopan. Minatnya terhadap budaya, sejarah, dan geografi Sudan sudah terlihat dari mula lagi.

Keluarga saya di Sudan menyukai Amirul. Guru-guru dan rakan-rakan juga menyenangi beliau. Amirul mempunyai ramai kawan. Beliau seorang yang peramah, menyeronokkan, dan tahu bagaimana untuk bertindak dengan betul dalam pelbagai situasi.

Maka, beliau meraih penghormatan dan penghargaan daripada setiap yang mengenalinya. Ini terbukti apabila sahabat-sahabat beliau datang mengucapkan salam perpisahan kepadanya di Lapangan Terbang Khartoum.

Orang Sudan meraikan perayaan dan perkahwinan. Pelajar-pelajar mengambil bahagiaan dalam perayaan dan sambutan peringkat sekolah. Mereka menyertai Amirul menyambut Hari Kebangsaan Malaysia.

Amirul menyukai rasa makanan Sudan dan tidak menolak malah makan apa sahaja yang ditawarkan kepadanya. Beliau makan kacang ful dan falafel dan menggemari kedua-duanya. Begitu juga dengan makanan ringan (fatteh) yang dimakan bersama-sama dengan rakan-rakan pelajar.

Amirul banyak membantu saya sebagaimana yang dilakukan oleh Muhd, anak pertama kami. Beliau mengangkut beg-beg untuk kami ketika bermusafir, mengangkat tong gas, membawakan botol minuman dari kedai runcit atau roti dari kedai roti, dan menemani Fatimah – anak kedua kami – ke kedai runcit pada waktu malam. Amirul seperti anak saya sendiri. Anak ketiga dan paling bongsu.

Amirul telah mengkagumkan sesiapa sahaja yang mengetahui kisah dan kejayaan yang diperolehinya. Bagaimana beliau menduduki Peperiksaan Sijil Asas dan berjaya meskipun hanya belajar dalam tempoh enam bulan. Amirul berjaya mendapat tempat di sekolah kerajaan kemudian beliau lulus Peperikasaan Sijil Sudan dan memperoleh peratusan yang tinggi. 

Amirul gemar menonton filem dan dokumentari sejarah lebih-lebih lagi yang berkisar tentang Perang Dunia Pertama dan Kedua. Maklumat yang diperoleh telah membantu beliau dalam subjek Sejarah dan Sains Ketenteraan yang merupakan sebahagian daripada silibus.

Amirul seorang yang cerdik. Beliau membaca sesuatu topik sehingga beliau memahami, menghadam, dan mengingatinya. Kelebihan inilah yang banyak membantu beliau berjaya. Amirul cemerlang dalam pelajarannya memandangkan beliau seorang yang sangat penyabar dan penyantun.

 

Guru menerangkan kepadanya dan beliau mampu menyelesaikan sendiri latihan tanpa bantuan. Malah beliau mengatasi rakan-rakan Sudan dalam banyak permasalahan. Manakala langkah penting yang membantu Amirul berjaya dalam ujian ialah keupayaannya  membaca dan menulis dalam Bahasa Arab.

Amirul sangat berminat dengan masakan dan cara persembahan makanan. Beliau menghidangkan kami dengan pelbagai makanan Malaysia. Meskipun Amirul cemerlang dalam akademik, minatnya terhadap masakan lebih mendominasi lalu beliau memilih bidang ini.

Saya berdoa dan mengharapkan kejayaan buat anak ketiga dan paling bongsu ini. Ia rasa tulus dari lubuk hati.