Catatan buat Mak

Nota: Mak sudah selamat dikebumikan. Catatan ini ditulis sebelum beliau meninggalkan kami sekeluarga. Terima kasih kepada semua yang mendoakan mak dan kami semua. Moga kita bertemu di Firdaus.makzaini

Saat ini Mak sedang nazak di hospital. Dua bulan sebelum, Sheikh Said telah melawat Mak yang sudah uzur tetapi masih boleh makan, minum dan berborak. Sheikh Said memberitahu mak,

Bersabarlah Mak! Saya mendoakan Mak agar cepat sembuh dan mendapat rahmat Allah – membersihkan  segala dosa-dosa lalu.

Mak senyum kelegaan dan mengucapkan “Amin” sambil menutup muka dengan kedua tangan. Hari ini apabila Sheikh datang melawat, Mak sudah tidak sedarkan diri. Hanya boleh membuka mata sekali-sekala apabila mendengar ayat-ayat al-quran yang dibacakan oleh anak-anak dan cucu-cucunya.

Mak tidak boleh makan dan minum seperti dulu. Doktor sudahpun memasukkan tiub makan dan minum tetapi badan Mak sudah tidak boleh menerima lagi. Dua daripada tiga rezeki utama sudah tertutup. Hanya tinggal rezeki untuk bernafas dengan menggunakan topeng oksigen sahaja.

Selagi Mak ada rezeki maka Mak akan terus hidup!

Sheikh Said memberitahu bahawa Mak sedang berada di persimpangan dunia menuju ke alam akhirat. Walaupun beliau sedang nazak  tetapi jiwa dan roh Mak tetap sama seperti baru dilahirkan. Mak masih boleh faham dan tahu segala yang berlaku di sekitarnya.

Sheik Said menasihati keluarga agar sentiasa membaca al-quran dan berzikir sewaktu berdampingan dengan Mak agar jiwa Mak sentiasa tenang tenteram.

Janganlah leka dan berseronok bercerita hal-hal duniawi ketika di samping Mak.

Sheikh Said merayu agar kami semua mengambil ikhtibar apabila melawat Mak. Sewaktu usia muda mestilah sentiasa beringat bahawa kita semua akhirnya akan menjadi tua seperti Mak. Jadi kita mestilah dari muda lagi menjadi orang yang baik iaitu yang sentiasa mentaati segala perintah Allah.

Orang-orang yang baik secara zahirnya akan menjadi tua dan sakit tetapi rohaninya akan tetap sihat, tenang-tenteram. Dari mata kasar, seolah-olah orang yang sakit sedang tersiksa menanggung kesakitan tetapi sebenarnya Allah sedang menyucikan dosa-dosa sebelum ke dunia akhirat kelak.

Kesiksaan di dunia ini hanyalah kecil dan sedikit sahaja jika dibandingkan kesiksaan di akhirat.

Kami mendoakan agar Allah mempermudahkan pemergian Mak ke alam yang baru iaitu Akhirat.

Semoga mak dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab.