BAB 1 TERTINGGAL SATU

Menuju Masjidil Aqsa lama menunaikan solat subuh

Menuju Masjidil Aqsa lama menunaikan solat subuh

Hadis ini sangat menarik, “Abu Hurairah r.a. menyatakan Nabi SAW bersabda: Jangan bersusah-susah melakukan perjalanan jauh melainkan untuk mengunjungi tiga masjid, iaitu: masjidku ini (masjid Madinah), Masjidil Haram (di Makkah), dan Masjidil Aqsa (di Jerusalem).”

Inilah tiga tempat disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat. Malah ia lebih signifikan dengan kenyataan “jangan bersusah-susah … kecuali” memberi gambaran harus untuk berada di ketiga-tiga masjid ini walaupun menghadiri kesukaran. Kenyataan ini memberi kesan besar kepada perasaan dalaman mereka yang percaya dengan kekuasaan Allah SWT.

Namun – pada satu masa – pemikiran kami tidak sampai ke tahap tersebut. Kesukaran sisi terasa sukar untuk diatasi. Hakikatnya, saya tidak pernah menyimpan niat untuk berziarah ke tiga-tiga masjid ini sebelum 2005 walaupun ke Makkah atas tuntutan menunaikan fardu haji. Sungguh … saya ketakutan. Banyak perkara bermain-main di fikiran sehingga merasakan ia perlu ditangguhkan. Bukan sekarang. Lebih tepat lagi, ia bukan perkara yang difikirkan.

Hati selalu berbisik, “mereka sudah baik” ketika mendengar kenalan atau keluarga hampir berangkat ke Tanah Suci. Kemudian, ada ketikanya hati nakal berkata-kata, “mereka tetap serupa walaupun sudah bergelar haji,” setelah beberapa ketika pulang dari kedua-dua Tanah Suci.

Sungguh … saya fikir menunaikan fardu haji menyebabkan manusia wajib berubah menjadi lebih baik di kedua-dua sisi, Allah dan masyarakat. Haji perlu mengubah sempadan iman. Gelaran Tok Aji atau Pak Haji hadir bersama dengan watak “ahli syurga” kerana mereka yang mendapat haji mabrur tiada balasan kecuali syurga. Ia bukan soal jubah dan kopiah tetapi melibatkan kehidupan secara keseluruhan.

Ia berbeza dengan Roza. Beliau mengajak saya menunaikan fardu haji bermula 2000 ketika usia di pertengahan 30an. Ajakan disanggah dengan kenyataan main-main seperti, “kita muda lagi, lambat lagi nak mati,” atau “pergi haji pada usia muda, balik nanti payah nak buat dosa,” atau “haji untuk orang tua, nanti bila pencen, kita dapat duit pampasan, kita pergilah.”

Kenyataaan bercorak sinikal ini – sebenarnya – cerminan perasaan ketakutan dalaman. Sungguh … hati berasa yang saya bukanlah manusia hampir denganNya, terasa banyak dosa-dosa lampau, tidak pandai membaca al-Quran dan kerisauan memikirkan kehidupan pasca haji. Pelbagai kisah dikaitkan dengan istilah pembalasan tunai di kedua Tanah Suci nyata membuat jiwa belum mahu ke sana.

Tindak balas Roza terhadap suasana ini sangat mudah. Beliau berdiam diri, bangun malam, bercerita, berdoa dan menangis dengan Allah SWT tentang keinginan mahu menunaikan fardu haji ketika usia muda bersama suaminya. Hampir enam tahun begitu. Kesungguhan menyatakan keinginannya sangat luar biasa. Roza sungguh-sungguh bergantung harap kepadaNya. Ia hanya dalam pengetahuan beliau dan Tuhannya.

Kuasa Allah Maha hebat. Dia Maha Mendengar lalu memakbulkan permintaan Roza. Ringkaskan catatan, perjalanan haji kami telah dibukukan melalui Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Ia kisah manusia jahil bersungguh mohon keampunan Allah SWT dan merayu mahu menjadi tetamu paling istimewa. Ia permohonan gila pada logik akal. Namun saya rasa istimewa dalam dunia kejahilan sendiri.

Dia bagi izin belajar mengenal al-Quran sebelum berangkat ke Tanah Suci. Allah ya Allah … saya mengenal huruf al-Quran ketika berusia 40 tahun. Saya rasa istimewa. Banyak janji-janji lain yang mahu saya lakukan sebelum, semasa dan selepas menunaikan ibadat ini. Sungguh … Dia memberi kekuatan dalaman yang sangat kuat. Saya mahu berubah. Berubah sungguh-sungguh dan merayu kepadaNya agar tidak berpatah balik. Benar – saya fikir – ibadah haji mengubah sempadan Iman.

Kini, hampir 10 tahun saya mewakafkan diri kepada masyarakat mengajak dan menyeru supaya sentiasa mengingati Allah SWT. Premis utama ialah memikirkan kehidupan selepas kematian yang bersifat kekal abadi. Ibadat haji diterangkan melalui pandangan sisi sedikit berbeza berteraskan tacit knowledge pengalaman kerohanian yang telah dilalui.  Ia hanya secalit ilmu mahu dikongsi bersama.

Banyak peristiwa berlaku semasa di Makkah dan Madinah. Saya jatuh cinta dengan kedua tempat ini. Sungguh, perjalanan haji membawa keinginan mahu bermukim di Makkah atau Madinah. Saya ungkapkan kata-kata berikut semasa bersama Roza, Kak Mie dan Adik Na di Makkah,

Ya Allah Na, jika abang ada peluang mahu rasanya menetap di Mekah ataupun Madinah. Mana-mana abang tidak kisah. Kedua-dua tempat yang barakah. Hati jadi seronok, tenang dan damai.

Allah Maha Mendengar. Dia tunaikan permintaan ini. Kami bermukim di kota Madinah. Hampir setiap hari – lima waktu solat berjemaah – dapat sujud di Masjid Nabawi. Secara konsisten hampir setiap dua minggu kami “bersusah payah bermusafir” ke Makkah untuk bertawaf dan berjemaah di Masjidil Haram. Kisah ini telah kami rakam secara berasingan melalui Anekdot Madinah: DIA Maha Mendengar, Rumah Kecil Di Jabal Uhud, Nota Dari Madinah dan Di Sebalik Niqab: Kisah Tersirat.

Aneh … kehidupan pasca haji terutamanya ketika bermukim di Madinah langsung tidak menggerakkan hati untuk hadir sujud di satu lagi masjid yang disyariatkan, Masjidil Aqsa. Sekurang-kurangnya terbit rasa ingin ke sana. Jurusalem bersempadan Jordan dan hampir dengan Arab Saudi berbanding Malaysia. Kami pernah berada di Jordan bermusafir Utara – Selatan – Timur dan Barat selama beberapa hari di sana. Malah kami ditunjukkan, “di sebelah sana sempadan Israel (tanah Palestin) – Jordan.”

Sungguh … saya – sekali lagi seumpama ketika mula–mula diajak menunaikan fardu haji – diselubungi perasaan ketakutan dan tidak perlu berada di Masjidil Aqsa. Namun perkara paling utama mempengaruhi dan melekat di minda untuk tidak berfkir tentang Masjidil Aqsa ialah kerana kenyataan hitam di pasport Malaysia tertulis, “Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel.” Lalu logiknya, ia bukan satu keperluan untuk ke sana walaupun ia disyariatkan. Ia halangan negara.

Bagaimanapun – di sana-sini – kami mendengar ada rakyat Malaysia keluar masuk Jurusalem. Kami bertanya-tanya di dalam hati sepintas lalu, “bolehkah rakyat Malaysia ke Israel?,” tetapi kerana ia tidak langsung mustahak di dalam kamus kehidupan, maka ia berlalu tanpa perlu membuat penyelidikan lanjut. Saya fikir mereka gila tidak mengikut peraturan. Malah saya fikir, “sengaja mencari nahas kesusahan.”

Sesekali telinga kami mendengar kisah mereka yang pernah ke sana di kalangan rakan-rakan terdekat, “menunggu di sempadan beberapa jam, ditahan sejam dua di tempat pemeriksaan imigresen tanpa sebarang sebab serta beberapa kesukaran lain” menyebabkan muncul rasa takut dalam jiwa. Sekali lagi perasaan tidak perlu ke sana menjadi sangat wajar. Kami hidup atas persepsi sendiri.

Kemudian, ketika bermukim di Arab Saudi, kami dimaklumkan tentang larangan ke negara yang dikuasai Israel. Sebutan mulut menyatakan, “mereka yang pernah ke sana tidak akan dibenarkan masuk ke Arab Saudi.” Lalu tidak perlulah kami membuat usulan lanjut kerana tiada keperluan untuk “bersusah-susah bermusafir dan beramal ibadat” di sana. Saya sayangkan Madinah. Tidak masuk akal mengorbankan masjid Nabawi dan Masjidil Haram kerana Masjidil Aqsa.

Kami berada di Madinah yang solat di dalam masjid Nabawi 1000 kali lebih afdal daripada mana-mana masjid kecuali Masjidil Haram. Allah ya Allah … Masjidil Haram pula hanya kurang-lebih 400 km daripada Madinah. Bukankah solat di dalamnya 100000 kali lebih baik daripada mana-mana masjid?

Masa berlalu pantas. Allah SWT memberi nikmat untuk kami mengembara dan bermusafir lebih daripada 30 buah negara. MasyaAllah … Subhanallah … AllahuAkbar, kami telah solat di beratus-ratus masjid di  seluruh dunia. Hanya ada tiga masjid yang disyariatkan untuk “bermusafir dan beramal ibadat”. Malah ia harus “bersusah payah” jika mahu hadir ke situ. Dua daripadanya sudah berkali-kali kami hadir.

Alahai … Masjid Al-Aqsa, arah kiblat pertama umat Islam solat, tempat persinggahan dan solat Baginda SAW sebelum mengadap Allah SWT (peristiwa Israk dan Mikraj) serta masjid ketiga afdhal untuk solat di dalamnya tiada dalam ingatan. Kami tidak mahu ke sana. Biar kami akhiri catatan ini dengan satu kenyataan,

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Terjemahan surah Al-Israa’ : 1)

Sungguh … ia satu yang tertinggal!