Ini Kisah Amirul

Namanya Ahmad Amirul Imran. Anak ketiga dari empat beradik. Panjang namanya kerana diberikan oleh datok, nenek, ayah dan mama. Semuanya mahu menyumbang.

Hakikatnya … itulah nama yang sudah tertulis. Akhirnya dia sendiri membahasakan diri sebagai Mirul sahaja.

Ini kisah Amirul.

Kisah budak biasa-biasa. Amirul dilihat oleh ayah dan mamanya sebagai budak tidak gemar belajar, kuat makan, manja tetapi baik hati.  Si ayah pernah merasa cemas memerhati perkembangan pelajaran dirinya. Ada wasiat untuk Amirul.

“Yang … saya ada buat simpanan untuk Mirul. Kalau ditakdirkan saya meninggal dunia dan dia masih tidak ke mana-mana – tidak masuk universiti –  … tiada pekerjaan. Gunalah wang simpanan itu untuk masa depannya. 

Rumah di Segamat … kita berikan kepadanya. Biar dia mengajar budak-budak kampung mengaji Quran.”

Sungguh, setiap ibubapa mengharapkan kejayaan anak-anak di dalam pelajaran dan kerjaya. Tidak untuk Amirul. Kami tidak berani menyandarkan apa-apa. Tidak langsung menaruh harapan tinggi.

Begitulah … setiap apa yang berlaku pada hari ini semuanya ada permulaan. Biar pengakhiran lebih baik dari permulaan. Bukankah Allah – Al-Khabir – maha mengetahui segala rahsia yang tidak diketahui oleh manusia?

Sungguh benar. Perjalanan hidup seseorang bukan pilihan mutlak. Ia ketentuan Dia –  Al-Badi’ – yang maha Pencipta. Semuanya tertulis di dalam kitab di lauh mahfuz. Benar, Allah – al-Qadir – yang maha Menentukan perjalanan kehidupan setiap manusia.

Setiap manusia berbeza kisah. Barangkali ada seiras tetapi berlainan lokasi. Masa kejadian juga tidak sedetik. Hebat sekali kisah kehidupan manusia ciptaan Allah Azzawajallah. Amirul pernah berkata,

“Mama … Ada kisah Mirul sama macam kisah dia. Ada masanya bila Mirul membaca kisah orang … rasanya macam membaca kisah Mirul.

Dalam perjalanan hidup Mirul – sehingga usia 18 tahun – terlalu banyak Mirul melihat kebesaran dan kasih sayang Allah. Kalaulah pandai menulis … Mirul mahu kongsikan kisah ini.”  

Tiba-tiba sahaja muncul rasa lucu terselit di hati. Si mama tersenyum menahan tawa. Terasa geli hati mendengar hasrat anak mahu menulis tentang kisah sendiri.

“Apa yang mahu Mirul tulis? Kisah budak malas belajar? Atau kisah budak lelaki yang dilihat oleh ibubapanya seperti tiada masa hadapan?”

Tersentak. Tiba-tiba si mama berhenti tertawa. Wajah bertukar serius merenung wajah sianak. Amirul langsung tidak ketawa. Dia bersungguh.

Mama juga cakap … dalam kisah diri kita ada tanda-tanda kebesaran Allah. Allah telah tahu apa yang akan berlaku pada hari ini dan esok. Kita tidak tahu. Setiap satu ada iktibar yang boleh dipelajari.”    

Melihat wajah si mama berubah Amirul mula bercerita.

Bila Mirul baca al-Quran serta faham sedikit-sedikit kandungan dan maknanya … baru Mirul terasa perjalanan hidup Mirul dipermudah dengan bantuan Allah – Al-Wakil dan al-Wali – yang Maha Memelihara lagi maha Melindungi.

Mirul mula faham … jika kita taat dengan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang, asalkan berserah diri dan bertawakal kepada-Nya serta berdoa, Dia akan bantu kita.

Tentu sekali saya terkedu. Tidak sangka patah-patah itu keluar dari bibirnya. Lalu imbasan kisah hidup Amirul pantas muncul.

Saya terkenang – ketika berumur 10 tahun – Amirul kagum melihat surat beranak sendiri ditulis dalam bahasa Welsh.

“Wow… rupa-rupanya Amirul lahir di Wales. Jadi Mirul budak Wales. Emm … umur 21 tahun bolehlah Mirul pilih mahu jadi warganegara Malaysia atau  British ya?”

Keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) Amirul tidak cemerlang. 4B 1C. Gila untuk anak profesor. Tiada sekolah menengah berhampiran rumah mahu menerimanya.

Kami kehairanan melihat budak manja ini mahu berpisah dan berjauhan dengan keluarga. Amirul bersekolah di sekolah Ma’ahad Kesang Laut di Muar. Beliau mula belajar asas bahasa Arab.

Amirul hanya enam bulan di sini. Ketika usianya 13 tahun, beliau mengikut mama dan ayah yang bertugas di Universiti Taibah Madinah. Sukarnya mencari sekolah Saudi untuk Amirul bersekolah di sana.

Akhirnya – setelah tiada pilihan – Amirul bersekolah di Al-Khair wa al-Barakah, sekolah kelolaan warga Sudan. Ia sekolah mengikut silibus pelajaran negara Sudan tetapi lokasinya di Madinah di dalam bangunan separuh tidak siap.

Pernah kami meraba-raba mendaki anak tangga ke tingkat tiga bangunan kerana tidak berlampu. Entah berapa kali sekolah di kawasan penduduk miskin itu terpaksa berpindah kerana kekurangan dana.

Namun pelajar-pelajarnya terdiri dari pelbagai negara. Anak-anak miskin ini dari Rusia, Yemen, Chad, Nigeria, Albania dan Pakistan. Kesemuanya tidak dibenarkan belajar di sekolah Arab Saudi. Ramai ibubapa gagal membayar yuran sekolah walaupun kenaan yuran kepada pelajarnya sangat rendah.

Amirul menduduki peperiksaan besar Sudan ketika berusia 14 tahun. Tiga matapelajaran (al-Quran, Fiqh dan bahasa Arab) terpaksa dijawab dalam bahasa Arab.

Peperiksaan berlangsung di kedutaan Sudan di Riyadh. Jaraknya 1000 km dari Madinah. Amirul lulus peperiksaan dengan izin Allah dan kemudian menyambung pelajaran malah tinggal di Sudan.

Dari Welsh Boy jadi Budak Sudan. Ya … Mirul pernah tinggal di negara Sudan yang miskin dan bergolak.

Duhai anakku … Ramai yang tidak percaya dan tertanya-tanya bagaimana Amirul boleh terlontar di benua Afrika sendirian ketika berusia 14 tahun. Begitulah ketentuan – al-Mubdik – Dia yang Maha Memulai perjalanan kisah seorang hamba-Nya …

Akhirnya – dengan izinNya – si mama bersedia menulis kisah Amirul sebagaimana yang diceritakan kepada mamanya. Ia kisah betapa Allah lebih Mengetahui dengan apa yang tidak kita ketahui.