Memandikan Jenazah di Seoul

Mac 2017 nanti, genap tiga tahun kami tinggal di Korea. Tempoh yang kedengaran lama tetapi rasa seperti mimpi. Kini, jika ada yang bertanya saya, apakah kenangan paling penting di Korea? Saya sudah ada jawapannya, seperti tajuk catatan kali ini.

Saya kenangkan kembali peristiwa 10 Disember 2016. Hari itu, pulang dari menunaikan Solat Jumaat di Masjid Itaewon, suami mengajak saya ke hospital di tengah Kota Seoul. “Kawan abang di Malaysia minta kita ziarah sahabatnya yang sedang koma,” kata suami. Oleh kerana waktu lawatan pesakit singkat, kami menjemput anak sulung di tadika langsung memecut ke pusat kota yang sesak.

Saya tidak mengenali si pesakit. Malah suami juga hanya diberitahu pesakit adalah rakan baik kepada famili sahabatnya yang tinggal di Temerloh. Saya tidak bertanya lanjut, biarlah nanti kami temui jawapannya di hospital, melalui keluarga dekat si pesakit. Anak-anak aktif luar biasa, barangkali kepenatan dan mahu perhatian. Saya maklum, Darda’ berusaha keras di tadikanya gara-gara belajar dalam Bahasa Korea. Sepatutnya dia makan dan berehat di rumah sekarang tetapi atas niat yang murni, kami semua meredah kesesakan dahsyat Seoul.

Akhirnya, kami tiba juga di hospital. Mulut saya tidak habis menegah Darda’ dan Dawud yang berlari-lari, seolah hospital ini taman permainan. Dawud sampai mahu berbaring di lantai. Rasa geram membuak di dada. Suami memeluk Dawud ke dadanya. Dia juga sabar dengan keletah anak-anak. Sebaik bertemu mata dengan suami si pesakit, saya berubah sebak. “Ini Pakcik Saiful, suami makcik yang sakit tu,” suami memperkenalkan.

Di situ juga ada Kak Siti, pegawai pelancongan Malaysia dan suaminya, seorang pelajar Malaysia dan anak saudara Pakcik Saiful. Beberapa orang Korea sedang berbaris, menunggu giliran melawat keluarga mereka yang sakit. Hanya satu orang dibenarkan masuk ke Unit Kecemasan. “Umi masuklah dulu, abang jaga anak-anak,” kata suami. Pakcik Saiful membawa saya kepada seorang pegawai wad. Saya diberikan pas dan baju khas pelawat. 

Alllahuakbar. Tidak dapat saya bayangkan runtuhnya ego apabila melihat para pesakit yang terlantar nazak. Sebahagiannya tidak sedarkan diri termasuk pesakit yang terbujur di depan saya. Tertulis di katil namanya: Fatmawati Hamzah. Saya hanya mampu berdoa dan membaca al-Fatehah di telinga Makcik Fatmawati. Tubuhnya kelihatan bengkak ditusuk pelbagai ubat. Insafnya, begitu sekali Allah SWT bawa saya ke sini untuk muhasabah diri.

“Cukuplah abang doakan makcik dari jauh. Dia dalam keadaan tidak menutup aurat, tak manis kalau bukan ahli keluarga nak melihatnya dari dekat,” bisik saya kepada suami. Dia mengangguk. Kami berbual sebentar dengan Pakcik Saiful sebelum minta diri kerana anak-anak sudah ‘tidak terkawal’. Kami berjanji akan datang lagi esok. Melihat wajah Pakcik Saiful yang kesedihan, kami simpati. Tambahan beliau keseorangan, jauh dari keluarga di tanah air.

Malam itu, saya terus memikirkan Pakcik Saiful dan isterinya. Baharu kami tahu, mereka datang ke Korea untuk melancong dan meraikan anak tunggal mereka yang dapat masuk ke MRSM. Makcik Fatmawati adalah seorang doktor perubatan, beliau mempunyai klinik persendirian di Mentakab Pahang. Kliniknya terkenal di sana dengan nama Klinik Sulaiman.       

“Dia sihat ketika datang ke Korea, cuma beberapa hari sebelum balik dia rehat di bilik kerana tidak larat. Pada hari Pakcik Saiful bawanya ke hospital, hari itulah dia tidak sedarkan diri. Doktor kata ada masalah di otak,” cerita rakan yang membantu pasangan ini di Korea. Masya Allah, pasti Pakcik Saiful dan anaknya amat sedih.

Rancangan percutian yang tidak dijangka berakhir dengan ujian hebat. Bagaimana kalau saya berada di tempat salah-seorang daripada tiga beranak ini? Ya Allah, tak mampu saya bayangkan. Semoga Allah SWT memberi solusi terbaik dan menyembuhkan Makcik Fatmawati. 

Esok pagi, kami bersiap mahu ke hospital. Saya mengajak Nadiah yang menumpang tidur di rumah minggu ini. Kebetulan, hari ini dia bercuti dari kerjanya sebagai pengasuh anak rakan kami yang pulang ke Malaysia. Saya mahu Nadiah juga mendoakan Makcik Fatmawati yang sedang koma. Hanya ayat-ayat Allah SWT yang dapat memberi ketenangan ke jiwa pesakit. Waktu saya duduk dalam kereta, sebuah pesanan ringkas tiba: ‘Ummu, si pesakit sudah meninggal dunia’ mesej seorang rakan dari Kedutaan Malaysia. Allahuakbar! Kami terus bergerak ke hospital. Hati menjadi sayu. 

Suami memeluk Pakcik Saiful yang merah matanya. Dia membisik kata-kata sabar kepada lelaki berumur 50-an itu. “Pakcik nak bawa jenazah isteri balik ke Malaysia,” kata Pakcik Saiful. Seorang pegawai kedutaan dan rakan kami menguruskan prosedur membawa keluar jenazah Dr Fatmawati.

Saya memandang Nadiah dan dua rakan wanita yang baru sampai. “Pakcik nak bawa isterinya pulang, elok kita mandikan dulu jenazah dan solat sebelum terbang ke tanah air. Nadiah dan Ayla boleh mandikan?” Tanya saya. mereka angguk.

Tidak ada orang lain boleh diharapkan saat genting begini. Tiba-tiba Nadiah bersuara, “Saya pernah mandikan jenazah pesakit ketika menjadi jururawat di hospital dulu,” katanya. “Jadi, nadiah ajar kami nanti, kak Ummu dan kak Ayla akan ikut sahaja,” balas saya. 

Jenazah Dr Fatmawati dibawa ke masjid. Ayla bertanyakan pihak masjid tentang barag-barang mandian jenazah. Syukur, semuanya telah disediakan. “Ayla pernah mandikan jenazah sebelum ni?” Tanya saya. Dia menggeleng kepala. “Kak Ummu pun tak pernah, dulu bantu-bantu mandikan jenazah nenek sahaja,” kata saya. “Alhamdulillah ada Nadiah,” tambah saya lagi.

Di bilik mandi jenazah, Nadiah memberi arahan kepada kami secara profesional. Saat melihat tubuh jenazah Dr Fatmawati yang kaku, saya benar-benar insaf. Hari ini, kami bertiga di pilih Allah SWT memandikan tubuh yang sudah tidak bernyawa, yang suatu waktu, kami pula di tempat jenazah itu. Entah siapa Allah SWT datangkan untuk memandikan kami nanti? Allah ya Allah. Hati saya menangis. 

Kami bertiga memandikan jenazah dengan tertib. Mengikut arahan Nadiah. Pakcik Saiful setia memegang kepala isterinya. Bilik mandi jenazah kecil. Suhu waktu itu pula sangat dingin. Proses terakhir sebelum memakaikan pakaian putih, saya basuhkan anggota wudhuk jenazah, memegang tubuhnya yang kaku. Suatu saat, aku juga begini ya Allah, bisik hati. Nadiah memberi arahan cara mengkafankan mayat.  Kain-kain yang dipotong semuanya memerlukan ilmu dan latihan.

Allahuakbar, begitu sekali Allah swt mudahkan urusan arwah Dr Fatmawati dengan keberadaan Nadiah ‘tanpa sengaja’ di rumah saya hari itu. Apa amal baiknya sehingga mudah sahaja urusan menguruskan jenazah sebelum pulang ke Malaysia? soalan-soalan itu bermain di fikiran.

Saat semuanya selesai dan tinggal menutup muka jenazah, saya lihat wajah itu. Dr Fatmawati seolah-olah sedang tidur. Tenang dan tidak seperti orang yang sakit. Kami bertiga merasakan seperti memandikan orang yang tidur. Lalu setelah semuanya berselimut kain putih, jenazah di bawa keluar ke halaman masjid untuk disolatkan. Dalam suhu bawah 10 celcius, jenazah disolatkan oleh Jemaah Muslim pelbagai bangsa dan negara. Imam Abdul Rahman, orang Korea yang alim mengetuai solat. 

“Terima kasih semua, pakcik rasa syukur sangat dapat mandi dan solatkan jenazah arwah sebelum balik ke Malaysia. Yang itu paling penting,” kata Pakcik Saiful. Kami mengirimkan doa buatnya. Besar ujian ini; datang melancong dan meraikan anak, tetapi diakhiri kematian orang tersayang secara mengejut. 

Ya Allah, walaupun sudah sebulan lebih peristiwa itu, saya masih lagi terimbau. Peristiwa yang mengajar kami tentang hakikat hamba; semua yang kita miliki adalah milikNya, cukup masa akan dipulangkan. Saat semua dipulangkan, kita bukan lagi apa-apa walaupun ketika hidup kita seorang berilmu, berpangkat atau berharta. Apakah diriku mahu sombong lagi, sedangkan aku juga tidak tahu bila, bagaimana, di mana dan siapa yang akan menguruskan perjalanan akhirku? 

Allahuakbar.