Dari Hati Ibu

Sukar.

 

Sungguh, bukan mudah menulis Amirul Budak Sudan. Ia kisah anak kandungan dan kelahiran sendiri. Ia terlebih sukar kerana perlu menyelami perasaan seseorang yang sukar meluahkan. Semuanya terpendam, terbuku dan terkunci dalam hati. Inilah halangan sebenar mahu menyudahkan catatan ini.

 

Saya melihat sebutir mutiara terperosok di dalam lumpur yang perlu dikeluar, cungkil, cuci dan gilap. Barulah mutiara itu terserlah cahaya sehingga bergemerlapan. Prosesnya perlu hati-hati umpama menarik rambut dari tepung, rambut usah terputus … tepung usah bertabur.   

 

Ini kisah Amirul. Ia bukan kisah kejayaan akademik. Ia juga bukan kisah kejayaan kerjaya. Ia kisah kehidupan bagaimana DIA yang lebih mengetahui di atas segala kejadian. Pengalaman hidup anak remaja berada di dunia asing mempunyai kisah yang boleh dikongsi khalayak.

 

Saya cuba menyingkap dan menceritakan tentang perasaan jauh terpendam di lubuk hati Amirul. Ada masanya saya menceritakan pula bagaimana perasaan kami sebagai ayah dan mama apabila mengetahui apa yang telah terjadi kepada anak sendiri. Lalu perasaan dan penulisan bercampur baur.

 

Ia perasaan anak yang dikategorikan khalayak ramai sebagai budak tidak cemerlang di dalam pelajaran jika keputusan peperiksaan sebagai tanda aras.

 

Namun perjalanan kehidupan Amirul sejak kecil penuh warna-warni. Tembuninya tertanam di bumi Ratu. Amirul terpisah jarak usia dengan abang dan adiknya sejauh tujuh tahun. Lama dia menjadi anak bongsu. Lama juga dia menyusu badan.

 

Amirul membesar bersama sungai, kebun buah-buahan serta gunung. Malah sekolah menengahnya berhadapan hamparan lautan sawah bendang menghijau lagi menyegarkan.

 

Telinga kecilnya telah diasak dengan ceramah motivasi ayah yang di dengar dalam keadaan terkepung tidak boleh ke mana-mana. Suka atau tidak … Amirul mendengar dalam terpaksa.

 

Akhirnya mutiara kata ayah menjadi bekal ketika berkelana. Dalam usia mentah Amirul banyak belajar ilmu kehidupan. Bilik kuliahnya tanpa bangunan. Guru-gurunya alam maya serta masyarakat setempat. Kecil, besar, tua dan muda … pelbagai peringkat usia dan bangsa.

 

Amirul dibawa mengerjakan umrah ketika berumur 10 tahun. Di celah-celah ribut ramai manusia, airmatanya gugur kerana dapat mencium Hajarul Aswad.

 

Tiga tahun kemudian … kembali dengan iqomah Arab Saudi ke Tanah Suci kerana mengikut ayah bertugas di sana. Lalu dataran Kaabah dan dataran masjid Nabawi menjadi padang permainan Amirul bersama adiknya Sofea.

 

Usia Amirul belum mencecah 15 tahun ketika berpisah dari keluarga untuk berkelana. Bukan ke Eropah atau Amerika Syarikat tetapi ke sebuah negara yang sedang bergolak di benua Afrika. Amirul membuat pilihan mengikut gurunya, orang Sudan pulang ke Sudan.

 

Lalu … perasaan mamanya bergolak.

 

Ada rasa belas bercampur bersalah, namun dalam masa yang sama membulatkan hati penuh tawakal. Bukankah itu semua taqdir Al-Qadir yang menentukan segalanya? Dia juga Al-Khabir yang mengetahui rahsia yang tidak diketahui oleh manusia.

 

Sukar.

 

Buku ini terhasil atas kesedaran ia bahan berharga untuk dikongsi bersama. Namun Amirul meluahkan isi hati hanya setelah pulang ke pangkuan keluarga.

 

Ada masanya Amirul begitu beremosi. Beliau menceritakan bagaimana perasaannya setelah membuat pilihan untuk ditinggalkan bersama keluarga Sudan. Ada masanya beliau berdiam diri … bagaikan ada sesuatu tersembunyi.

 

Sebagai ibu … saya belajar menyelami apa yang tersurat dan tersirat. Terlalu banyak kisah dari lubuk hati yang diceritakan separuh jalan kemudian ditariknya kembali.

 

Ada kisah meluncur laju tanpa ditahan-tahan. Langsung tidak beralas. Ada kisah lucu mahu dikongsi untuk tertawa bersama. Namun, atas segalanya … saya percaya masih terlalu banyak kekal bersama dirinya.

 

Biarlah begitu duhai anakku. Biar ia menjadi kenangan cerita diri. Nilainya tinggi. Harganya tidak boleh dijualbeli. Sekalipun suatu ketika nanti diri mu mahu berpatah balik ke belakang kerana merindui bumi Sudan … pengalamannya tidak akan serupa sampai bila-bila.

 

Ketahuilah diri mu duhai anak ku … terlontarnya dikau di bumi Afrika kerana takdir Tuhan mu. Kisah mu boleh jadi teladan dan sempadan yang boleh dimanfaatkan.

 

Mudah-mudahan kita semua menjadi hamba yang tahu bersyukur serta menyembah dan beribadat kepada-Nya semata-mata. Mudah-mudahan Allah al-Ghafur memberi keampunanNya kepada kita semua.