PENAWAR (Bab 4: Mencari Reda Allah)

 Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).

(Terjemahan surah Fussilat: 49)

Inikah balasan Tuhan terhadap hamba yang ingkar perintahNya?

Hamba kufur nikmat yang diberikanNya. Jiwa sombong dan bangga dengan keistimewaan yang dikurniakanNya. Minda yang jauh melangkah ke dimensi disangka syurga tetapi sebenarnya neraka yang membakar dan menyeksakan.

Ya Allah, masihkah ada harapan untuk ku? Masihkah ada cahaya di hujung lorong gelap ini?

Air mata berterusan mengalir bagai hujan di musim tengkujuh. Terasa bagai awan hitam berkumpul menutupi mentari dari memancarkan sinarnya.

“Apa yang dimenungkan tu? ” suara Ummi mengalihkan pandangan dari tayangan hebat kisah hidup insan bernama aku. Aku kesat airmata dan memalingkan muka ke arah Ummi. Bibir cuba mengukir senyuman tetapi hambar, sehambar hati ku, sesuram perasaan ku.

“Sudahlah … pergi solat. Lepas tu kita makan …”

Akur. Begitulah … Aku mula solat setiap waktu sekarang. Aku mahu mendekatkan diri dengan Dia yang Maha Pencipta. Mendamba kasihan belas daripada yang Maha Pengasih. Aku ingin mohon keampunan dari yang Maha Pengampun.

Namun ia tidak semudah itu. Tumpuan pada solat nyata terbatas. Lintasan hati muncul silih berganti. Hati bertanya,

Apakah Tuhan masih mahu mendengar jeritan batin ku? Apakah Tuhan mempedulikan rayuan hati ku? Apakah masih ada tempat di sisi Tuhan bagi manusia seperti aku? Mungkinkah Allah telah membenci diri ku lalu menolak rayuan dan mencampak rintihan ku? Mungkinkah dosa ku menimbun tinggi sehingga terlalu jauh tersasar dari jalanNya?

Pertanyaan tanpa jawapan. Dalam kebingungan itulah aku mula memohon penuh mengharap ketika sujud rebah kepadaNya,

Wahai Tuhan ku … apa yang harus aku lakukan? Berilah aku petunjukMu … Tolonglah daku … Lindungilah daku yang tidak berdaya ini.

Benarlah manusia cepat berputus asa. Berdoa dan mengharap kemudian tidak sabar dengan permintaan sendiri. Aku bertanya Ummi apakah Tuhan tidak mahu mendengar pertanyaan ku.

“Bersabarlah … Allah tidak pernah menghampakan permintaan hambanya. Dia makbulkan permintaan kita dengan caraNya.”

Cuti semester hampir tamat tetapi keadaan ku masih begitu. Aku tidak tahu bagaimana mahu menempuh semester seterusnya. Hakikatnya, hati sudah tawar mahu meneruskan pengajian. Aku nyatakan rasa hati.

Apa gunanya semua itu bagi orang yang akan mati. Ia tidak perlu untuk akak yang tiada masa depan.

Akak mesti lawan semua perasaan. Takkan akak nak berhenti macam tu saja. Akak mesti berubat.

Adik cuba memberi semangat. Berubat? Aku sentiasa dibawa berubat oleh Abah dan Ummi. Berubat dengan perawat tradisional yang dicadangkan oleh jiran-jiran dan jemaah surau tempat kami tinggal.

Aku masih ingat rawatan pertama di Sungai Besi. Setiba di rumah ustaz ini sudah ramai yang sedang menunggu. Mata memandang pesakit dan peneman satu persatu. Ada yang berbual, ada yang hanya tunduk, ada yang baring dan juga yang meracau-racau.

Agaknya adakah yang berkeadaan serupa dengan ku?”

Lama aku menunggu. Ustaz bertanya apa masalahku. Aku bercerita serba sedikit sambil ditokok tambah oleh Ummi. Ustaz itu mula memicit-micit tangan dan kakiku serta menepuk-nepuk belakang sambil membaca ayat-ayat Al Quran. Kemudian Ustaz meniup sebotol air mineral dan juga beberapa biji limau purut.

Ini terkena gangguan. Balik nanti mandi limau dan minum air yang telah dijampi.

Beberapa kali kami berulang menemuinya dan setiap kali beliau akan melakukan perkara yang sama. Aku disuruh mandi limau dan minum  air jampi. Namun keadaan ku tidak berubah.

Aku di bawa berjumpa dengan perawat lain pula. Kemudian seorang lagi dan seorang lagi. Hasilnya aku tetap sakit, takut, sedih, tiada selera dan masih tidak dapat tidur. Tidak hairanlah kalau aku kecewa dan berputus asa. Mungkin benar sangkaan ku … Tiada lagi harapan untuk ku. Tiada lagi kebahagiaan buat ku. Semua telah musnah.

Pergantungan kepada perawat tradisional nyata tidak bermanfaat. Fikiran berkecamuk tetapi hati berbolak balik. Perasaan tidak tentu arah antara berputus harap dan mahu terus hidup nyata menguasai minda. Ketika aku sedikit rasional, terfikir mahu mencuba perubatan moden. Aku mahu berjumpa pakar perubatan.

Bagus akak. Saya setuju. Memang saya tidak pernah setuju dengan Tok Bomoh. Saya rasa ia tidak betul dengan kehendak agama kita.

Diam. Ya Allah … permudahkanlah.