Hanyut di Sungai Nil

 

“Mama … abla kata dia mahu tutup sekolah. Dia mahu pulang ke Sudan sebab kakak Fatimah dan abang Muhamad sudah masuk Universiti Khartoum.”

“Habis … sekolah Amirul macamana?”

“Abla tanya Mirul nak bersekolah di sana tak? Tinggal di Sudan bersama mereka.”

“Apa Amirul jawab?”

“Mirul nak …”

Itulah berita mengemparkan buat si mama dan si ayah. Ya Allah – ya Fattah – Yang Maha Pembuka laluan yang tidak terduga.  Dia yang membuka mulut dan pintu hati. Tentu sekali ibubapa sentiasa berdoa yang terbaik buat anak-anak. Lalu, apakah alasan harus diberikan apabila berdepan dengan perkara seumpama ini? 

Kesediaan Amirul mahu ke Sudan menyelesaikan masalah ayahnya. Sungguh, isu mencari sekolah berbahasa Arab di Arab Saudi bukan main-main. Ia bukan mudah sekalipun ada yang mahu membantu.

Saya terdiam. Tiba air mata jatuh berguguran. Saya menangis teresak-esak.

Mirul tidak pernah lihat mama menangis sebegini. Mata mama membengkak. Mama memberi pelbagai alasan … antaranya mama sedih selepas membaca terjemahan al-Quran kisah ibu nabi Musa dalam ayat 7 surah Al-Qasas. Mama baca pada Mirul,

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-Rasul Kami.

Ia asas tauhid bagaimana kebergantungan ibubapa kepada Allah – al-Raqib – yang maha Mengawasi. Sesungguhnya, setiap kali anak-anak melangkah keluar dari rumah … tiada seorang ibubapa pun yang boleh menjamin keselamatan anak-anak mereka. Hanya Allah sebagai pelindung – al-wakil – yang maha Memelihara. Amirul cuba mengalih perhatian,

“Mama … abla bercerita tentang sejarah peperangan Sudan. Cerita tentang sungai-sungai Nil Putih dan Biru yang mengalir di sepanjang benua Afrika. Sungai itu anugerah Allah – al-Wahhab – pemberi kurnia kepada manusia. Mirul mahu melihatnya.”

Amirul catatkan lagi … sayu melihat mama menangis lagi berhari-hari sedangkan hati Amirul sudah hanyut di Sungai Nil. Sehinggalah pada suatu hari … wajah mama tenang, ceria dan reda. Mama baca terjemahan ayat 37-38 dari surah Taha yang bermaksud,

Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.

Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.

Allahu Akbar! Ibu nabi Musa menyerahkan sepenuh kebergantungan dan kepercayaan kepada Tuhan yang maha pencipta. Bayi yang masih dalam susuan dihanyutkan ke dalam sungai Nil sebagaimana diilhamkan Tuhan kepadanya.

Namun, dalam kes Amirul … abla Ibtisam serta keluarganya memang sudah dikenali hati budi. Mereka menerima dan menyayangi Amirul seperti anak sendiri. Ia bukan perkara yang dibuat-buat.

Kami menyaksikan sendiri bagaimana ketulusan hati dan bersungguhnya abla mengajar Amirul. Misinya jelas – mahu melihat Amirul berjaya!

Selain mengajar silibus sukatan pelajaran Sudan … abla juga mengajar teknik menghafal dan menjawab soalan mengenai surah-surah dalam al-Quran. Allah ya Allah … apa lagi yang mahu dibimbangkan jika anak yang mahu dilepaskan itu pergi kepada orang yang mengajarkan al-Quran?

Kami terfikir … ramai ibubapa tidak merasa gusar jika melepaskan anak-anak remaja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia ke Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia. Tahukah ibubapa anak-anak mereka pergi sendirian dan hanya bersama rakan sebaya?

Duhai anak  … Lalu, mama dan ayah menyerahkan Amirul dalam jagaan-Nya. Sesungguhnya Dia – Al-Hadi – yang Memimpin dan Memberi Petunjuk yang terbaik.  

Ya Allah ya Qahhar … Jadikanlah kami dari kalangan hamba yang menyerahkan diri sebagaimana ibu Nabi Musa bertawakal kepada Allah dengan menghanyutkan bayinya ke dalam sungai Nil sedangkan sungai itu mengalir terus ke istana Firaun yang menjadi musuh Allah dan musuh ibu Musa.

Ya Allah ya Fattah … Jadikanlah kami memiliki kekuatan tauhid sebagaiman Nabi Ibrahim meninggalkankan isteri dan bayi di tengah padang pasir gersang semata-mata menurut perintah Tuhannya. 

Ya Allah … kami serahkan Amirul kepadaMu.