Tidak Berdosa?

“Prof … boleh maklumkan tajuk kuliah yang ingin disampaikan …”

“Kita Tidak Berdosa.”

Beberapa hari kemudian pihak penganjur berhubung lagi dengan pertanyaan lain, “Prof … boleh kita tukar tajuk?” Tentu sekali saya berasa tidak senang tetapi bersedia mendengar permintaan tersebut.

“Mahu tukar kepada …?”

“Ya Allah … Ampunilah Kami.”

“Itu tajuk budak sekolah. Biar saya berterus terang. Saya memilih tajuk Kita Tidak Berdosa atas beberapa sebab. Tiada paksaan untuk menjemput saya berceramah. Jemput saya percuma tetapi ada sesuatu yang ingin saya sampaikan. Tuan(puan) belum pun mendengar apa yang ingin saya tuturkan tetapi sudah mempunyai tanggapan tertentu. Saya tidak akan pergi jika tajuk ditukar.

Mereka mengalah.

Hakikatnya, saya sentiasa berasa teruja dan dihargai jika diberi peluang menyampaikan ilmu di universiti. Namun saya mempunyai beberapa prinsip yang perlu dipertahan terutamanya dalam konteks menyampaikan syarahan dan menulis buku-buku motivasi. Saya cuba melihat pelbagai isu daripada sudut berbeza agar khalayak berfikir dan mampu membuat keputusan.

Sungguh … ia bukan soal benar atau salah tetapi lebih kepada memberi peluang agar ketajaman pemikiran dihargai serta diraikan. Malah ia – sebenarnya – satu cabaran menyampaikan idea yang kelihatan berlawanan dengan kefahaman sedia ada dalam bentuk mudah faham sebelum saya sendiri dan khalayak membuat keputusan seterusnya. Bersifat terbuka nyata elemen mustahak untuk menjadikan ilmu terus berkembang.

Saya mempunyai dua ceramah pada hari tersebut. Pertama di IPT pada sebelah pagi dan kemudian kuliah Maghrib di sebuah masjid. Pengerusi masjid juga berhubung bertanya tajuk yang akan disampaikan. Saya memberi tajuk yang sama. Komennya sangat menarik,

“Prof … menarik dan pelik tajuk ini. Saya ingin mendengar apa yang ingin prof sampaikan. Tidak sabar rasanya. Terima kasih prof kerana sudi hadir ke masjid kami.”

Saya ketawa dengan kenyataan tersebut sambil menyatakan, “Tuan nyata bersifat terbuka. Saya fikir tuan tidak mahu menerima tajuk tersebut.” Begitulah … bagaimana fikiran manusia berbeza pengamatan. Pengerusi masjid hanyalah insan biasa-biasa yang tidak belajar sehingga ke peringkat PhD tetapi sanggup menunggu apa yang mahu disampaikan sebelum membuat suatu kesimpulan.

“Fikirannya luar biasa.”

Pagi itu … 28 Januari 2016, kereta bergerak masuk ke lokasi untuk saya menyampaikan kuliah bertajuk Kita Tidak Berdosa. Mata saya terpandang banner yang tergantung. Allah ya Allah … tajuknya telah ditukar,

KITA TIDAK BERDOSA?