Penawar 15: Hujung

Apakah hujung kehidupan yang diimpikan bagi setiap manusia yang meyakini adanya hari kiamat? Ia tidak lagi impian dan harapan. Sungguh … kita tidak mempunyai pilihan. Hanya satu yang pasti … memasuki syurga tanpa dihisab.

Menunggu walau sehari (sehari di sana barangkali 1000 tahun di sini) di Padang Mahsyar pun perlu dielakkan. Perlukah ditanya, “Mahukah kita dicampak ke dalam api neraka?”

Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.

(Terjemahan surah al-Mulk:  6-7)

Lalu kita tidak boleh ada dosa tercatat di bahu kiri. Allah SWT memberi penawar paling berkesan untuk mengubati segala penyakit yang boleh menghalang manusia ke syurga Firdaus. Itulah RahmatNya. Bukankah Baginda SAW telah menyatakan,

“Semua keturunan Adam berdosa dan sebaik-baik orang berdosa adalah orang bertaubat.”

(Nota Hadis: Hadis riwayat Imam Tirmizi pada sohihnya Jami’ Tirmizi melalui kitab: Zuhud, bab : Taubat. Ia hadis nombor 4257)

Benar … manusia sekali-kali tidak boleh berputus harap. Pintu taubat sentiasa terbuka sehinggalah nyawa sudah sampai ke kerongkong ia tidak berguna lagi. Tidak ada manusia cukup jahat untuk tidak diampunkan olehNya. Sifat maha pengasih, maha penyayang dan penerima taubat mengatasi segala-galanya.

Mahukah kita bertaubat nasuha?

Alangkah manisnya jika Allah SWT memakbulkan permintaan para malaikat sebagaimana yang disebut melalui ayat 8, surah Ghafir yang bermaksud,

Wahai Tuhan kami!

Dan masukkanlah mereka ke dalam syurga Adn yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masuklah bersama-sama mereka):

Orang-orang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Bayangkan ibu bapa yang amat disayangi bertemu kembali di Firdaus. Bukankah kita tersedu menangis apabila menyaksikan jenazah mereka dibawa pergi? Ayah meninggalkan kami pada 1995, kurang lebih 21 tahun telah berlalu. Ibu berpisah di dunia hampir 15 tahun. Kedua-duanya sangat berjasa kepada kami adik-beradik seramai 12 orang.

Allah ya Allah … kami rindu mereka berdua. Kerinduan juga merupa satu penyakit jika tidak diubati. Lalu penawar untuk menghilangkan kerinduan ini di dunia dengan menjadi anak soleh (solehah) yang mendoakan kedua mereka. Akhirnya … InsyaAllah kami dan mereka berkumpul kembali di Jannah.

Jika itu rasa dan harapan kami kepada ayah dan ibu maka doa kepada keturunan (anak, cucu dan cicit) juga seiras. Kami juga mahu kesemua kaum keluarga, sahabat handai dan seluruh muslimin dan muslimat berada di kawasan yang sama di Firdaus. Ia boleh berlaku dengan setiap daripada kita menjaga diri, ahli keluarga dan umat Islam.

Bagaimana?

Penawar kehidupan dunia kelihatan mudah. Ia tidak berbelit-belit untuk dicapai. Allah SWT berfirman melalui ayat 21, surah Thur yang bermaksud,

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

Tidak mahukah kita berkumpul di sana?